Topik diikuti
Pergi ke BHkuEng Hen terima anugerah berprestij Australia
Diiktiraf atas usaha perkukuh hubungan pertahanan dua hala
Mantan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, telah dianugerahkan Pingat Pegawai Kehormat Australia sebagai pengiktirafan atas khidmat cemerlang beliau dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara Singapura dengan Australia.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Gabenor Jeneral, Cik Sam Mostyn, dalam satu upacara yang diadakan di Canberra, Australia, pada 18 Ogos.
Dalam satu hantaran Facebook pada 19 Ogos, Kementerian Pertahanan (Mindef) menyatakan Pingat Pegawai Kehormat Australia dianugerahkan atas khidmat cemerlang peringkat tinggi kepada Australia atau kemanusiaan secara umumnya.
Pingat Pegawai Kehormat Australia itu merupakan anugerah kedua tertinggi setelah Pingat Sahabat Kehormat Australia, yang dianugerahkan kepada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 2025.
Semasa upacara tersebut, Dr Ng mengucapkan terima kasih kepada Australia atas kemurahan hati dan kerjasama mereka.
Dr Ng berkata:
“Tiada siapa yang dapat memastikan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan, namun kita tahu bahawa persahabatan yang kukuh dan boleh dipercayai seperti yang terjalin antara kita dengan Australia akan membantu kededua negara menghadapi cabaran mendatang.”
Beliau turut berkata anugerah yang diterima itu bersifat peribadi dan mencerminkan usaha gigih selama bertahun-tahun lamanya oleh semua mantan Menteri Pertahanan terdahulu, serta kakitangan utama daripada kedua-dua kementerian dan tentera Singapura dan Australia.
Dr Ng dilantik sebagai Menteri Kedua Pertahanan pada 2005, sebelum mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, pada 2011.
Beliau memegang jawatan itu sehingga 2025 apabila beliau mengumumkan persaraannya.
Dalam ucapannya, Dr Ng berkata Australia merupakan salah satu daripada beberapa negara yang telah melabur dalam keupayaan pertahanan Singapura seawal selepas kemerdekaan Singapura menerusi Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) pada 1971.
Kemudahan yang ada di Rockhampton merupakan bukti nyata komitmen berterusan tersebut, tambah beliau.
“Apakah yang menjelaskan hubungan yang begitu mudah dan produktif antara kedua-dua pertubuhan pertahanan kita – ‘rasa kasih yang tulus’ itu?
“Sesetengah rakan saya mungkin mengatakan bahawa ini merupakan satu perkara unik yang dikongsi bersama, tetapi saya berpendapat bahawa nilai dan matlamat yang dikongsi demi masa depan bersama sememangnya menjadi antara sebabnya.
“Namun, saya fikir ia juga kerana kededua pihak sentiasa mengambil langkah tambahan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan satu sama lain,” ujar Dr Ng.
Menurutnya lagi, Angkatan Tentera Australia (ADF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah bekerjasama erat dalam beberapa keadaan dan cabaran yang paling sengit.
Di samping pelbagai operasi bersama, antara operasi utama termasuk di Afghanistan dari 2007 hingga 2013, dan di Iraq pada 2014, dalam usaha menentang keganasan global, kata Dr Ng.
Selain itu, pada 2018, pegawai Tentera Laut Diraja Australia menyertai SAF sebagai sebahagian daripada Pasukan Petugas Bersama (CTF) 151 bagi melindungi Teluk Aden daripada lanun.
