Sungguhpun bahang Pilihan Raya Umum (GE) kian dirasai, urusannya untuk berkhidmat kepada penduduk di Bukit Panjang masih berjalan seperti biasa, kata Anggota Parlimen (AP) penggal pertama, Encik Liang Eng Hwa.
Encik Liang berkata beliau telah mendampingi penduduk di sana sejak memenangi kerusi SMC Bukit Panjang di GE 2020.
“Saya tidak melihat (usaha menambat hati penduduk) sebagai satu perkara yang harus dilakukan menjelang GE semata-mata.
“Bagi saya, usaha dan kerja keras berlaku sepanjang lima tahun ini apabila saya ambil alih sebagai AP, jadi saya akan terus bekerja keras,” ujar beliau apabila ditemui Berita Minggu (BM) di satu acara akar umbi pada 15 Februari.
Encik Liang memenangi kawasan undi tersebut dalam GE 2020 bersama Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan 53.73 peratus undi, mengatasi Dr Paul Tambyah daripada Parti Demokratik Singapura (SDP) yang meraih 46.27 peratus undi.
Encik Liang berkata beliau telah mengunjungi 400 blok HDB untuk bertemu dan mendengar hujah penduduk buat masa ini.
Menurut beliau, antara keprihatinan ketara yang diutarakan penduduknya adalah mengenai kos sara hidup dan prasarana yang lebih mesra warga emas.
Ini sedang seperlima atau 20 peratus penduduk di kawasan undi itu berusia lebih 60 tahun, dengan angka itu dijangka mencecah satu perempat pada tahun mendatang.
Bercakap di luar jamuan makan tengah hari beramai-ramai untuk penduduk Melayu warga emas di Kelab Masyarakat Bukit Panjang, Encik Liang berkata lebih banyak Pusat Penuaan Aktif (AAC) sedang dalam perancangan bagi Bukit Panjang untuk menampung jumlah penduduk warga emas yang kian meningkat.
Beliau telah menyertai sekitar 210 penduduk Melayu warga emas untuk menikmati nasi ambeng yang disajikan dalam dulang.
Acara tersebut dianjurkan tiga AAC di Bukit Panjang – AAC Fei Yue, AAC Adventist dan AAC Precious – selain Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Bukit Panjang dengan sokongan Masjid Al-Iman.
Encik Liang berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menambah satu hingga dua AAC di lokasi berbeza di Bukit Panjang.
Ini agar kemudahan dan perkhidmatan AAC – seperti bersenam dan kegiatan seni dalam persekitaran indah – lebih mudah diakses oleh penduduk warga emas di sana, ujar beliau.
Buat masa ini, Bukit Panjang mempunyai tiga AAC, dengan yang keempat sedang dibina di Pasar Bangkit, tambah beliau.
Pemerintah telah menetapkan matlamat mempunyai 220 AAC pada 2025, supaya lapan daripada 10 penduduk akan mempunyai pusat sedemikian berhampiran rumah mereka.
Sehingga November 2024, 214 AAC telah diadakan.
Ini sedang Singapura sedang membuat persiapan bagi warga yang pesat menua.
Menjelang 2030, satu perempat warga Singapura akan berumur 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada satu perenam kini.
Dalam pada itu, pada 13 Februari, Encik Liang pernah memberitahu akhbar The Straits Times bahawa di samping penduduk yang menua, estet-estet Bukit Panjang juga semakin dimamah usia, dengan apa yang disifatkannya sebagai “masalah penuaan berkembar”.
Oleh demikian, beliau berkata usaha telah dilakukan untuk menyuntik kesegaran pada prasarana estet itu, antara lain seperti memasang lif baru di blok lama dan mengadakan kemudahan bebas halangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg