Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: West Coast, East Coast, Sengkang antara kawasan hangat GE 2025

Tidak mengejutkan jika lebih ramai calon minoriti diketengah kerana lebih banyak GRC, SMC dijangka
Jan 25, 2025 | 5:30 AM
Poster Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) yang ditampal semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020 di GRC East Coast.
Poster Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) yang ditampal semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020 di GRC East Coast. - Foto fail

Kawasan undi yang meraih kemenangan tipis semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020 dijangka menjadi tumpuan dan harus diperhatikan dengan lebih dekat oleh para pengundi dalam GE 2025, menurut beberapa pengamat politik.

Ini termasuk Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) West Coast, GRC East Coast dan GRC Sengkang – yang telah menerima undian kemenangan kurang daripada 53.5 peratus dalam pilihan raya yang lalu.

Beberapa pengamat politik yang ditinjau Berita Harian (BH), turut berpandangan bahawa tidak mengejutkan sekiranya lebih ramai calon minoriti diketengahkan dalam GE 2025 memandangkan lebih banyak GRC dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dijangkakan. Namun mereka bersependapat yang tidak mungkin jumlah calon minoriti akan meningkat mendadak.

Menjelaskan lebih lanjut, Profesor Madya Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Eugene Tan, berkata kawasan undi yang dimenang tipis oleh parti memerintah, Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), boleh dijangka menjadi tumpuan dalam pilihan raya akan datang.

“Kerusi yang dimenangi oleh PAP pada peringkat rendah hingga pertengahan 50 peratus boleh dijangkakan sebagai ‘kerusi hangat’. Ini termasuk GRC West Coast, GRC East Coast dan GRC Marine Parade.

“Bagi SMC pula, Bukit Panjang boleh menyaksikan pertandingan yang sengit jika Paul Tambyah berlawan dengan Liang Eng Hwa sekali lagi,” kata Dr Tan.

PAP memenangi 51.68 peratus undian di GRC West Coast semasa bersaing dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP), dan 53.39 peratus undian di GRC East Coast semasa berentap dengan Parti Pekerja (WP) pada GE 2020.

Di GRC Sengkang pula, pasukan PAP tewas di tangan WP, yang meraih 52.12 peratus undian, sekali gus mencipta sejarah sebagai parti pembangkang yang memenangi dua GRC termasuk Aljunied.

Kawasan undi lain yang juga harus diperhatikan termasuk GRC Aljunied, GRC Marine Parade, Bukit Batok dan Bukit Panjang, kata penganalisis.

Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata kawasan-kawasan undi yang dimenangi WP seperti GRC Aljunied, GRC Sengkang dan Hougang adalah kawasan yang harus diberikan perhatian.

“Mungkin kawasan undi yang perlu kita beri perhatian khusus adalah Sengkang. Ia satu kawasan undi yang sangat baru, di mana WP menang tipis semasa GE 2020.

“Kita tahu bahawa ada beberapa isu tentang kepimpinan parti-parti politik, dan sama ada ia akan menjejaskan prestasi, itu mungkin kita akan lihat,” kata Dr Norshahril.

Bagi GE 2025, Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) telah diminta untuk mengekalkan saiz purata GRC, bahagian Anggota Parlimen (AP) yang dipilih daripada SMC dan nisbah purata pemilih kepada AP yang dipilih agar kekal hampir sama seperti GE 2020.

Memandangkan terdapat lebih banyak estet perumahan baru dalam tempoh lima tahun yang lalu seperti di kawasan Tengah dan Bidadari, Zamil Penyelidik Kanan Institut Kajian Dasar (IPS), Dr Gillian Koh, berkata kemungkinan besar akan terdapat lebih banyak GRC dan SMC yang akan ditubuhkan, sekali gus memerlukan lebih banyak calon minoriti.

“Jika terdapat lebih banyak GRC, maka akan ada keperluan untuk lebih ramai calon minoriti. Selain daripada isu memenuhi keperluan sistem GRC, terpulang kepada setiap parti untuk membentangkan siapa yang mereka fikir adalah calon terbaik.

“Ada parti politik yang mungkin memilih barisan calon tanpa mengira kaum, ini bermakna tidak penting bagi mereka jika mereka mempunyai lebih banyak calon minoriti daripada yang diperlukan,” kata Dr Koh.

Para penganalisis berkata meskipun bilangan GRC dan SMC akan ditambah, mereka tidak menjangkakan nisbah calon minoriti yang diperkenal oleh parti-parti politik akan berubah berbanding GE 2020.

Namun, mereka menambah tidak mengejutkan juga jika lebih ramai calon minoriti diperkenalkan melebihi kriteria yang diperlukan, seperti yang dapat dilihat di GRC Ang Mo Kio dan GRC Pasir Ris-Punggol buat masa kini.

Mengenai langkah seterusnya yang dijangka diambil oleh parti-parti berikutan pengumuman EBRC, pengamat berkata parti politik kesemuanya akan meningkatkan usaha untuk mendekati penduduk dalam minggu-minggu akan datang.

Ini memandangkan GE 2025 dijangkakan berlangsung pada pertengahan pertama 2025, atau seawal Mei, kata pengamat.

“Saya fikir kita mungkin menjangkakan untuk melihat pelbagai pihak meningkatkan penglibatan pengundi, mendekati pengundi dan mempunyai lebih banyak kegiatan secara umum.

“Kita juga boleh mengharapkan mereka mula memperkenalkan wajah baru yang kemungkinan besar akan ditampilkan dalam pilihan raya, dan bagi parti pembangkang, lebih aktif di kawasan yang mereka berminat untuk bertanding,” kata Zamil Penyelidik di IPS, Dr Teo Kay Key.

“Kerusi yang dimenangi oleh PAP pada peringkat rendah hingga pertengahan 50 peratus boleh dijangkakan sebagai ‘kerusi hangat’. Ini termasuk GRC West Coast, GRC East Coast dan GRC Marine Parade.”
Dr Eugene Tan, Profesor Madya Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

“Mungkin kawasan undi yang perlu kita beri perhatian khusus adalah Sengkang. Ia satu kawasan undi yang sangat baru, di mana WP menang tipis semasa GE2020.”
Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak.

“Jika terdapat lebih banyak GRC, maka akan ada keperluan untuk lebih ramai calon minoriti. Selain daripada isu memenuhi keperluan sistem GRC, terpulang kepada setiap parti untuk membentangkan siapa yang mereka fikir adalah calon terbaik.”
Dr Gillian Koh, Zamil Penyelidik Kanan Institut Kajian Dasar (IPS).

“Saya fikir kita mungkin menjangkakan untuk melihat pelbagai pihak meningkatkan penglibatan pengundi, mendekati pengundi dan mempunyai lebih banyak kegiatan secara umum.  Kita juga boleh mengharapkan mereka mula memperkenalkan wajah baru yang kemungkinan besar akan ditampilkan dalam pilihan raya, dan bagi parti pembangkang, lebih aktif di kawasan yang mereka berminat untuk bertanding.”
Dr Teo Kay Key, Zamil Penyelidik di Institut Kajian Dasar (IPS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg