Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EnterpriseSG lancar laman web baru bantu syarikat lebih mesra alam

Sumber bantuan termasuk skim dan program kewangan, kursus latihan dan pembangunan serta panduan mula usaha lebih mesra alam
May 6, 2025 | 4:41 PM
EnterpriseSG, SME
Satu laman web baru yang dilancarkan Enterprise Singapore (EnterpriseSG), iaitu Hab Kemampanan Syarikat Kecil dan Sederhana (SME), merupakan wadah sehenti untuk membantu perusahaan tempatan mengakses sumber, program sokongan, dan panduan dalam usaha mengamalkan amalan kemampanan dan pengurusan karbon. - Foto ST

Enterprise Singapore (EnterpriseSG) melancarkan Hab Kemampanan SME, satu laman web baru yang direka untuk membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) mengemudi dan mengakses program dan sumber sokongan kemampanan pemerintah pada 6 Mei.

Sumber itu termasuk skim dan program kewangan, kursus latihan dan pembangunan, serta panduan untuk membantu mereka memulakan usaha menjadi lebih mesra alam, lapor The Straits Times (ST).

Penolong Pengarah Urusan bagi Keupayaan, Produk dan Dasar di EnterpriseSG, Encik Geoffrey Yeo, berkata meskipun terdapat peningkatan minat dalam kalangan SME untuk memulakan usaha menjadi lebih mampan, ramai masih tidak pasti cara melaksanakannya.

Beliau menambah, Hab Kemampanan SME akan berfungsi sebagai wadah sehenti untuk membantu perniagaan tempatan mendapatkan maklumat dan sokongan yang diperlukan dengan cepat bagi amalan kemampanan.

Pengarah Urusan, sebuah SME tempatan iaitu XCEL Industrial Supplies, Cik Jean Goh, berkata melayari maklumat yang banyak tanpa bimbingan boleh menjadi mencabar.

“Hab Kemampanan SME boleh membantu memendekkan proses pembelajaran bagi perusahaan tempatan seperti kami dengan berkongsi bidang utama dan langkah-langkah yang perlu diberi perhatian oleh syarikat dalam perjalanan kemampanan mereka, serta memberi panduan tentang sokongan dan sumber yang berkaitan,” ujarnya.

Salah satu program sokongan kemampanan yang akan disediakan kepada syarikat melalui Hab Kemampanan SME ialah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) bagi huraian pengurusan karbon yang telah ditetapkan skopnya.

Huraian tersebut boleh membantu SME memulakan usaha menjadi lebih mampan dengan membina keupayaan perakaunan karbon mereka, di samping memberi nasihat mengenai pelepasan Karbon Skop 1 dan Skop 2.

SME yang ingin memajukan lagi keupayaan pengurusan dan pelaporan karbon mereka juga boleh memanfaatkan PSG untuk pengiraan pelepasan Skop 3, penetapan sasaran penurunan karbon, pengurusan pelepasan rantaian bekalan, dan persediaan pelaporan awam.

Pelepasan Skop 1 merujuk kepada apa yang dihasilkan secara langsung oleh syarikat, seperti daripada kenderaan atau kilangnya sendiri, manakala Skop 2 berasal daripada tenaga yang dibeli oleh syarikat tersebut.

Skop 3 merangkumi semua pelepasan tidak langsung yang lain daripada perkara yang tidak dapat dikawal oleh syarikat, seperti pembekal, perjalanan perniagaan, dan cara pelanggan menggunakan produk mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg