Satu perintah mahkamah telah diperoleh yang memerlukan penyedia perkhidmatan Internet tempatan menyekat akses kepada 50 domain cetak rompak yang dikaitkan dengan aplikasi dan laman web yang menyiarkan perlawanan bola sepak Liga Perdana England secara haram.
Dalam kenyataan pada 27 November, Liga Perdana itu berkata ini bermakna kini terdapat lebih 600 domain sedemikian disekat di sini, berikutan satu siri perintah mahkamah yang diperolehnya sejak musim 2018/2019.
Ia menambah bahawa keputusan terbaru Mahkamah Tinggi Singapura menjejaskan akses kepada aplikasi dan laman web haram yang sering dimuatkan ke dalam peranti penstriman haram, lapor The Straits Times.
Penasihat Umum Liga Perdana, Encik Kevin Plumb, berkata pertubuhan itu gembira kerana mahkamah dan pihak penguatkuasa undang-undang di Singapura terus mengiktiraf kepentingan melindungi hak harta intelek.
Beliau menambah bahawa walaupun kebanyakan peminat Liga Perdana menonton perlawanan bola sepak secara sah, mereka yang menggunakan laman, peranti dan aplikasi penstriman haram terdedah kepada risiko dipergunakan oleh penjenayah siber yang sering menggunakan platform ini untuk pencurian data dan penipuan.
“Dengan menyekat laman haram ini, kita bukan sahaja menghentikan jenayah yang lebih meluas tetapi juga membantu memastikan peminat menonton perlawanan Liga Perdana dengan cara yang selamat dan bermutu tinggi,” tambahnya.
Di seluruh rantau ini, Liga Perdana berkata ia sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan rakan penyiaran di Singapura, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam untuk membanteras mereka yang terlibat dalam penjualan dan pengedaran kandungan secara haram.
Sepanjang lima tahun lalu, lebih 5,000 domain di Indonesia, lebih 2,500 di Vietnam dan hampir 300 domain di Malaysia telah disekat.
Pada 24 November 2024, pihak berkuasa di Hong Kong menyerbu sebuah restoran yang menayangkan siaran langsung cetak rompak perlawanan Liga Perdana dan menahan dua lelaki.
Peranti penstriman haram, peralatan audio-visual dan peralatan rangkaian bernilai kira-kira HK$18,000 ($3,110) telah dirampas.
Liga Perdana berkata ia adalah tindakan penguatkuasaan jenayah pertama terhadap premis komersial kerana pelanggaran hak cipta di bawah undang-undang hak cipta Hong Kong.
Pada Oktober 2024, seorang lelaki berusia 37 tahun yang menjual peranti penstriman haram di Sim Lim Square dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh mahkamah Singapura.
Dia mengaku melanggar hak cipta yang dimiliki oleh pertubuhan termasuk Disney, Netflix, Paramount Pictures dan Liga Perdana itu.
Dua kedainya di pusat beli-belah itu masing-masing didenda $200,000 dan $100,000 di bawah Akta Hak Cipta.
Sabitan itu adalah pendakwaan pertama sedemikian di bawah Seksyen 150 Akta Hak Cipta di Singapura, yang menyasarkan pelanggaran hak cipta oleh peniaga komersial peranti penstriman haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg