Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah pada 26 Mac atas tuduhan melanggar hak cipta karya milik syarikat dan pertubuhan seperti Disney, Netflix dan Persatuan Bola Sepak Liga Perdana.
Kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh, Ge Xin, adalah berkaitan rancangan hak cipta seperti Raya And The Last Dragon, dan siaran perlawanan bola sepak Liga Perdana, termasuk perlawanan antara Liverpool dengan Manchester City.
Dia dikatakan cuba menjual peranti penstriman yang membolehkan pengguna mengakses kandungan atau karya cetak rompak.
Warga Singapura berusia 36 tahun itu yang merupakan pengarah dan pemegang saham di beberapa syarikat, menghadapi 24 tuduhan di bawah Akta Hak Cipta, lapor The Straits Times (ST).
Carian dengan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) mendapati bahawa Ge mempunyai kepentingan dalam firma termasuk MT Gadget+, Modern Tech dan Gepower Technology.
Sebanyak 12 daripada tuduhannya dikaitkan dengan MT Gadget+, manakala 12 lagi dikatakan melibatkan satu lagi syarikat, Grandnew.
Pada 26 Mac, kedua-dua syarikat itu turut didakwa melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Hak Cipta.
Namun pencarian Acra tidak mendedahkan peranan Ge dalam Grandnew.
Pada masa kesalahan tersebut dikatakan berlaku, syarikat itu beroperasi di pusat beli-belah Sim Lim Square di Rochor Canal Road.
Antara lain, Ge ialah pegawai di MT Gadget+ apabila dia dikatakan cuba menjual peranti dikenali sebagai M18, yang mengandungi program komputer Cloud TV.
Pelanggan boleh menggunakannya untuk mengakses pelbagai siaran perlawanan Liga Perdana.
Ge juga dikatakan menawarkan jualan peranti dikenali sebagai Global AI TV Media Player, yang mengandungi satu program komputer yang digelar 3FNF VOD, semasa dia menjadi pegawai di Grandnew.
Dokumen mahkamah menyatakan pelanggan boleh menggunakannya untuk mengakses rancangan Netflix, The Adam Project.
Kesalahan yang dikatakan dilakukan Ge terbongkar selepas pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) melakukan serbuan di beberapa kedai di Sim Lim Square pada 4 Oktober 2022.
Bagi setiap tuduhan di bawah Akta Hak Cipta, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga $100,000.
Sebuah syarikat yang didapati bersalah pula boleh didenda sehingga $200,000 untuk setiap tuduhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg