Pendekatan yang menyeluruh dalam memastikan warga emas meniti usia senja dengan baik perlu mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk sistem penjagaan kesihatan dan juga gaya hidup sosial yang baik, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.
Ini termasuk mempunyai hubungan sosial, kegiatan jasmani, tabiat pemakanan, pendekatan kognitif dan peluang pekerjaan yang baik.
Walaupun rakyat Singapura kini hidup lebih lama dengan jangka hayat purata 84.3 tahun pada 2025, tahun-tahun yang dinikmati dalam kesihatan baik pula hanya 74.2 tahun – perbezaan 10 tahun antara jangka hayat dengan jangka kesihatan.
“Ini bermakna rakyat Singapura meluangkan dekad terakhir hayat mereka dalam kesihatan yang lemah, bergelut dengan penyakit kronik, ketidakupayaan atau isu berkaitan usia yang lain.
“Meskipun Singapura mempunyai jangka hayat yang panjang, cabaran kesihatan mungkin mempunyai kesan besar ke atas mutu kehidupan pada tahun-tahun lanjut usia,” kata beliau pada hari pertama perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 26 Februari.
Dalam usaha menangani masalah itu, Encik Chua berkata hasil penjagaan kesihatan rakyat bukan bergantung hanya pada sistem penjagaan kesihatan yang baik atau maju, malah penentu sosial juga.
Misalnya, hubungan masyarakat yang kukuh memainkan peranan penting dalam memastikan warga emas meniti usia senja dengan baik.
Sebaliknya, kajian menunjukkan bahawa pengasingan sosial menyumbang kepada kemerosotan kognitif dan hasil kesihatan yang lemah.
Penglibatan dalam kegiatan jasmani pula membantu warga emas mengekalkan mobiliti jangka panjang dan membolehkan mereka hidup berdikari, manakala pemakanan sihat memastikan kesihatan keseluruhan.
Selain itu, pekerjaan memberikan peluang kepada warga emas kekal aktif dari segi mental dan juga interaksi sosial, selain menambahkan kestabilan kewangan.
Dengan penduduk yang semakin menua, Encik Chua berkata orang ramai perlu memikirkan semula tentang peranan warga emas dalam masyarakat, termasuk dalam soal persaraan dan pekerjaan.
Beliau menambah bahawa ramai warga senja mempunyai tujuan, stimulasi mental dan penglibatan sosial apabila mereka terus bekerja.
Bahkan, golongan itu melihat pekerjaan bukan sekadar sebagai sumber pendapatan, tetapi juga memberikan struktur, rasa tujuan dan peranan berterusan dalam masyarakat.
“Sesetengah warga emas secara aktif menentang persaraan kerana pekerjaan mereka menentukan identiti mereka.
“Oleh itu, cabarannya bukan sekadar melanjutkan hayat kerja tetapi memikirkan semula strukturnya: Bagaimanakah pekerjaan boleh dijadikan lebih fleksibel, bermakna dan disesuaikan dengan kekuatan tenaga kerja yang semakin menua?” kata beliau.
Encik Chua bagaimanapun mengemukakan beberapa cabaran, termasuk persepsi majikan terhadap pekerja lanjut usia dan perubahan yang perlu dilaksanakan di tempat kerja untuk mempermudahkan penyepaduan lebih ramai pekerja sedemikian.
Ramai pekerja warga emas prihatin tentang persepsi diskriminasi usia di tempat kerja dan ramai juga mahu mengutamakan masa bagi orang tersayang dalam usia senja mereka, tambah beliau.
Keprihatinan mengenai kesejahteraan jasmani dan mental juga bererti ramai yang keberatan untuk memasuki semula atau kekal dalam tenaga kerja dalam usia senja.
“Jelas sekali, anjakan minda dan tindakan nyata, pada kededua majikan dan pekerja, diperlukan.
“Jika kita serius tentang cita-cita Zon Biru 3.0 kita, sudah tentu kita mesti menerajui tanggungjawab dalam merangka semula isu persaraan dan pekerjaan warga emas, antara isu lain.
“Lagipun, untuk mendiskriminasi berdasarkan usia, hanyalah tindakan mendiskriminasi terhadap diri kita sendiri – versi masa depan diri kita,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg