Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saktiandi: Tidak adil kata inflasi diburukkan oleh kenaikan GST

Pritam timbulkan isu kenaikan GST; inflasi naik kerana perang dan gangguan rantaian bekalan, kata Saktiandi
Feb 26, 2025 | 6:08 PM
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh. - Foto MDDI

Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa inflasi yang dialami penduduk telah diburukkan oleh kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ini kerana inflasi meningkat di Singapura sama seperti negara lain di dunia disebabkan oleh perkara lain seperti perang dan gangguan rantaian bekalan yang berlaku di peringkat global.

Demikian menurut Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), menyangkal pandangan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang mengatakan bahawa kenaikan GST daripada 7 peratus kepada 9 peratus telah memburukkan lagi inflasi.

Membuka perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 26 Februari, Encik Pritam berkata kedudukan fiskal negara yang sangat utuh telah menyebabkan segolongan warga Singapura mempersoalkan mengapa GST perlu dinaikkan pada 2023 dan 2024.

Menggariskan kedudukan fiskal Singapura semasa ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah menjangkakan lebihan sebanyak $6.4 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2024 (FY2024).

Bagi FY2025, pemerintah menjangkakan kedudukan fiskal dengan lebihan $6.8 bilion.

“Kedudukan fiskal pemerintah yang sangat sihat telah menyebabkan ramai warga Singapura mempersoalkan mengapa GST perlu dinaikkan pada 2023 dan 2024.

“Walaupun selepas program baucar CDC dan SG60 terkini, lebihan fiskal 2024, yang pada asalnya dianggarkan pada jumlah sihat sebanyak $778 juta, telah disemak secara besar-besaran kepada $6.4 bilion.”

Beliau berkata meskipun inflasi yang diimport telah menyebabkan kenaikan harga di Singapura, pemerintah tidak sepatutnya memburukkan lagi keadaan dengan menaikkan GST.

“Kalau pun keputusan telah diambil untuk menaikkan GST pada 2023, terdapat ruang dasar yang banyak untuk melewatkan kenaikan kedua pada 2024 apabila negara ini berada di kemuncak inflasi.

“Mengapa PAP (Parti Tindakan Rakyat) masih berkeras menaikkan GST dan dengan itu, merangsang lagi inflasi adalah sesuatu yang hanya boleh dijawab PAP kepada warga Singapura,” ujar beliau.

“Keputusan untuk meneruskan kenaikan GST dengan inflasi yang melanda adalah buruk,” tambah Encik Pritam.

Semasa berucap, Encik Saktiandi akur kos sara hidup merupakan kerisauan besar ramai warga Singapura.

“Tetapi saya fikir untuk mengatakan bahawa inflasi diburukkan oleh GST secara am adalah tidak adil kerana inflasi naik di Singapura, seperti negara-negara lain, disebabkan perkara lain seperti peperangan dan gangguan rantaian bekalan.

“Lagi pula, inflasi pada puncaknya di Singapura tidak setinggi banyak negara lain di rantau ini, bahkan di peringkat global juga,” kata Encik Saktiandi.

Beliau menambah bahawa kenaikan GST dianggarkan menyumbang kepada hanya kurang daripada 1 mata peratusan kepada inflasi teras.

Apabila diumumkan bahawa GST akan dinaikkan 2 peratusan mata – daripada 7 peratus kepada 8 peratus pada 1 Januari 2023, dan kepada 9 peratus pada 1 Januari 2024 – pemerintah ketika itu berkata ia bertujuan merapatkan jurang antara pendapatan dengan perbelanjaan sehingga 2030.

Pemerintah sebelum itu berkata pendapatan daripada kenaikan GST akan digunakan untuk memenuhi keperluan jangka sederhana Singapura, seperti dalam penjagaan kesihatan dan perbelanjaan sosial.

Menyentuh isu GST dalam perbahasan Belanjawan, Cik Foo Mee Har (GRC West Coast), berkata:

“Terdapat persoalan sama ada kita boleh menangguhkan kenaikan GST atau lebih murah hati dengan pemberian. Namun, ini mesti dilihat dalam konteks.

“Dengan ketegangan geopolitik dan pergeseran perdagangan yang semakin memuncak, Singapura – salah satu ekonomi yang paling bergantung kepada perdagangan –- menghadapi risiko lebih tinggi daripada pemecahan geoekonomi.

“Dalam landskap yang tidak menentu ini, adalah bijak untuk mengekalkan beberapa simpanan fiskal untuk bertindak balas dengan pantas kepada kejutan ekonomi yang tidak dijangka yang mungkin kita hadapi,” ujar Cik Foo.

Kalau pun keputusan telah diambil untuk menaikkan GST pada 2023, terdapat ruang dasar yang banyak untuk melewatkan kenaikan kedua pada 2024 apabila negara ini berada di kemuncak inflasi...Keputusan untuk meneruskan kenaikan GST dengan inflasi yang melanda adalah buruk.
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh

Saya fikir untuk mengatakan bahawa inflasi diburukkan oleh GST secara amnya tidaklah adil kerana inflasi naik di Singapura, seperti negara-negara lain, disebabkan perkara lain seperti peperangan dan gangguan rantaian bekalan. Lagi pula, inflasi pada puncaknya di Singapura tidaklah setinggi banyak negara lain di rantau ini, bahkan di peringkat global juga.
Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg