Perjalanan haram oleh teksi rentas sempadan di Singapura mungkin dapat dibendung dengan menggunakan penjejakan lokasi menerusi sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya generasi baru, atau ERP 2.0.
Kemungkinan itu dibangkitkan dalam satu mesyuarat antara pihak berkuasa dengan persatuan industri minggu lalu, dan peserta membincangkan peraturan serta penambahbaikan terhadap perkhidmatan tersebut.
Ini termasuk cara menghalang perkhidmatan kenderaan haram daripada menjejas mata pencarian pemandu tempatan.
Kenderaan berdaftar di Singapura dipasang dengan peranti dalam kenderaan atau ‘On-Board Unit’ (OBU) secara berperingkat sejak 2023, yang boleh menjejak lokasi mereka di bawah sistem ERP 2.0.
Namun, kenderaan Malaysia yang memasuki Singapura pada masa ini tidak perlu memasang OBU.
Mesyuarat itu disertai wakil Persatuan Teksi Nasional (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Singapura-JB.
Ia turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling; serta pegawai dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Dalam satu hantaran Facebook pada 2 September, LTA berkata peserta mesyuarat menekankan bahawa perkhidmatan teksi rentas sempadan sedia ada tidak dapat memenuhi permintaan beberapa jenis pelanggan.
Ini termasuk keluarga besar dengan anak kecil, warga emas serta pelawat perniagaan, lapor The Straits Times (ST).
“Terdapat rakyat Singapura yang sanggup membayar untuk perkhidmatan ini, dan terdapat juga pemandu teksi Singapura yang berminat serta mampu memenuhi permintaan tersebut,” tambah kenyataan itu.
Di bawah Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) sedia ada, sehingga 200 teksi berlesen dari setiap negara dibenarkan membawa penumpang antara Singapura dengan Johor Bahru.
Namun, teksi itu hanya boleh mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi yang ditetapkan – iaitu Larkin Sentral di Johor Bahru bagi teksi Singapura, dan Terminal Ban San Street di Singapura bagi teksi Malaysia.
“Kami akui skim rentas sempadan sedia ada boleh diperbaiki, seperti dengan menetapkan lebih banyak lokasi mengambil dan menurunkan penumpang, serta memudahkan urusan pelepasan (imigresen).
“Kami juga membincangkan peluasan CBTS untuk membolehkan kuota lebih tinggi dan kenderaan berkapasiti lebih besar, serta bekerjasama dengan syarikat platform bagi tempahan melalui aplikasi,” kata LTA.
LTA turut berikrar meneruskan usaha penguatkuasaan terhadap kenderaan asing yang melanggar undang-undang.
Dalam satu lagi hantaran Facebook pada 2 September, NPHVA dan NTA berkata perkhidmatan haram dari satu tempat ke satu tempat (P2P) yang beroperasi merentas sempadan mewujudkan persaingan tidak adil dan menimbulkan risiko keselamatan bagi penumpang.
Justeru, penyelesaian untuk menambah baik perkhidmatan rentas sempadan perlu mengambil kira “persekitaran operasi yang tidak seimbang akibat perbezaan harga kereta, kos perniagaan, kadar pertukaran mata wang dan kos sara hidup”, tambah mereka.
NPHVA dan NTA berkata mereka mahukan padanan penumpang lebih baik menerusi aplikasi e-panggilan khidmat pengangkutan (ride-hailing), penambahan lokasi menaikkan dan menurunkan penumpang, serta akses teksi ke lorong pengangkutan awam bagi mempercepat pelepasan imigresen.
“Menyokong pemandu teksi tempatan bermanfaat bagi ekonomi Singapura di samping mengekalkan mata pencarian pekerja, serta memelihara piawaian perkhidmatan dan keselamatan,” tambah NPHVA.
Usaha membanteras perkhidmatan pengangkutan haram telah dipertingkat kebelakangan ini, susulan aduan daripada para pemandu.
Antara 2022 dengan Julai 2025, seramai 136 pemandu ditangkap kerana menawarkan perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan haram dan kenderaan berdaftar asing mereka turut disita.
Pegawai Singapura dan Malaysia juga telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan pengaturan perkhidmatan rentas sempadan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg