Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor, S’pura bincang tambah lokasi hantar, ambil penumpang teksi rentas sempadan

Aug 25, 2025 | 5:30 AM
Johor, Singapura, rentas
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Kerajaan Johor sedang berbincang dengan pihak berkuasa Singapura untuk menambah lokasi hantar dan ambil penumpang teksi rentas sempadan bagi memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara, kata anggota Exco Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, berkata buat masa ini semua teksi Malaysia hanya boleh menurunkan penumpang di Queen Street atau Rochor Road di Singapura, manakala teksi Singapura hanya boleh menurunkan penumpang di Stesen Teksi Larkin Sentral.

“Perbincangan sedang diadakan untuk menambah lima lokasi baru di Johor Bahru dan lima di Singapura bagi fasa pertama. Ini akan memberi lebih pilihan kepada pengguna dan meningkatkan keselesaan perjalanan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut Encik Mohamad Fazli, fasa kedua akan membabitkan pertimbangan terhadap kenderaan e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) rentas sempadan, namun isu keselamatan akan diberi keutamaan.

“Kita sedang meneliti lokasi yang sesuai untuk kenderaan sewa dan e-hailing. Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada perluasan lokasi hantar dan ambil penumpang bagi teksi berpermit,” katanya.

Encik Mohamad Fazli turut mengulas aduan kira-kira 400 pengusaha agensi pelancongan yang mendakwa tidak dapat mendaftar Permit Masuk Kenderaan (VEP) Singapura untuk kenderaan syarikat mereka.

“Saya baru dimaklumkan tentang perkara ini pada 23 Ogos dan sudah berhubung dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mencari penyelesaian.

“Ini berkemungkinan berpunca daripada isu pembayaran untuk VEP; di Malaysia, isu pembayaran untuk VEP syarikat telah diselesaikan dengan penggunaan kad kredit korporat, tetapi di Singapura mungkin masih ada kekangan.

“Saya percaya isu ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam antara MOT dengan pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau mengakui masalah kenderaan tidak berpermit dan pemandu haram rentas sempadan wujud kerana terdapat kekosongan pasaran.

“Isu ini berkait rapat dengan keselamatan. Jika pemandu tidak berdaftar, sukar untuk dipantau. Sementara menunggu penyelesaian, kita sedang mengumpul cadangan termasuk penambahan kuota kenderaan rentas sempadan dan lokasi baru secara berperingkat.

“Ada cadangan untuk menambah 200 kuota tambahan bagi Johor dan 200 kuota tambahan bagi Singapura. Namun, ia masih di peringkat awal dan bergantung kepada hasil kajian serta keperluan semasa,” katanya.

Difahamkan, antara lokasi yang dicadangkan di Singapura ialah Lapangan Terbang Changi, Lapangan Terbang Seletar, stesen MRT Jurong East, stesen MRT Kranji dan Shenton Way/Asia Square, manakala di Johor Bahru pula ialah Eco Botanic, JB Sentral/CIQ, Lapangan Terbang Senai dan Toppen Tebrau.

Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata pihaknya telah mengangkat isu ini ke peringkat persekutuan.

“Kami telah berhubung dengan Exco dan MOT. Diharap akan ada libat urus bersama LTA dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Tiga Persatuan Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru–Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, berkata pihaknya menyokong cadangan menambah lokasi baru tetapi menegaskan kuota sedia ada mesti diutamakan untuk teksi berpermit.

“Kami setuju lima lokasi tambahan di Johor Bahru dan lima di Singapura. Namun, jika kuota ditambah untuk kenderaan e-hailing atau kereta persendirian, pendapatan pemandu teksi akan terjejas.

“Sekarang pun ada 200 kuota teksi rentas sempadan yang dikawal oleh tiga persatuan utama. Kami harap kerajaan memberi keutamaan kepada teksi sebelum melibatkan perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa operasi rentas sempadan masih terhad kepada teksi berpermit dan menggesa penguatkuasaan tegas terhadap kenderaan sapu atau pemandu tanpa kebenaran.

Antara persatuan yang mengendalikan teksi rentas sempadan ialah Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi Cab Majlis Bandaraya Johor Bahru ke Singapura, Persatuan Pemandu Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru ke Singapura dan Syarikat Perkhidmatan Teksi Johor Bahru ke Singapura Sdn Bhd.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura sebelum ini berkata ia sedang mempertimbangkan langkah menambah bilangan tempat menaiki dan turun dari teksi rentas sempadan berlesen antara Singapura dengan Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada 3 Ogos, LTA menyatakan sungguhpun ia terbuka kepada saranan bagi meningkatkan pengalaman pengangkutan rentas sempadan bagi pengguna, pihak berkuasa tersebut “tiada rancangan melonggarkan sepenuhnya pengangkutan rentas sempadan dari satu tempat ke satu tempat melalui khidmat tempahan pengangkutan”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg