ESM Goh: S’pura perlu pemimpin berintegriti, kuat; Shanmugam lancar buku rakam perjalanan politik
ESM Goh: S’pura perlu pemimpin berintegriti, kuat; Shanmugam lancar buku rakam perjalanan politik
Tadbir urus dan dasar awam yang baik tidak akan tercapai tanpa adanya pemimpin yang hebat, cekap dan amanah, kata Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong.
Dengan landskap politik, ekonomi dan sosial Singapura yang kini telah banyak berubah, Encik Goh berkata adalah semakin sukar untuk menarik individu yang berkaliber, khususnya mereka yang berada di kemuncak kerjaya, untuk menceburi khidmat politik.
Beliau menegaskan bahawa keadaan itu tidak membawa petanda baik untuk negara.
“Tadbir urus dan dasar awam yang baik hanyalah aspirasi semata-mata, melainkan terdapat pemimpin yang hebat, cekap dan amanah di tampuk kepimpinan,” kata Encik Goh.
“Ia bukan satu petanda baik buat Singapura jika golongan paling berbakat dalam setiap generasi rakyat Singapura menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam.
“Mereka produk sistem Singapura, namun mereka mungkin tidak rasakan tanggungjawab yang sama untuk menyumbang kembali kepada negara seperti generasi-generasi terdahulu,” tambah beliau.
Encik Goh berkata demikian ketika berucap dimajlis pelancaran buku bertajuk Policy, Fairness, and Compassion oleh Menteri Penyelaras Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 6 Februari di Auditorium SPH.
Dalam ucapan pertama beliau sejak bersara dari bidang politik pada 2020, Encik Goh berkata Singapura mungkin tidak lagi melahirkan tokoh seperti mendiang Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew dan dua mantan Timbalan Perdana Menteri – mendiang Dr Goh Keng Swee dan Encik S Rajaratnam – yang dilihat semasa era awal kemerdekaan negara.
Namun, beliau menegaskan bahawa Singapura memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Encik Shanmugam yang merupakan “produk cemerlang” sistem Singapura dan sanggup berkorban demi khidmat kepada negara.
Menyentuh tentang perjalanan politik dan sumbangan Encik Shanmugam, Encik Goh berkata walaupun Menteri Ehwal Dalam Negeri itu dikenali bagi pendekatan tegasnya dalam menegakkan undang-undang serta ketenteraman awam, beliau sebenarnya mengamalkan prinsip tadbir urus yang adil dan berteraskan belas ihsan.
Menurut Encik Goh, nilai tersebut jelas terpancar dalam buku sekitar 380 halaman yang dilancarkan itu, yang merakam lebih 30 tahun perjalanan politik Encik Shanmugam melalui ucapan, wawancara dan artikel beliau.
“Malah, seperti yang sering dinasihatkan oleh mendiang Encik Lee Kuan Yew, ‘Untuk memerintah, anda mesti ditakuti.’ (Tetapi) Saya rasa Shan akan menambah, ‘tetapi memerintahlah dengan adil dan belas ihsan’,” kata Encik Goh.
Sementara itu, dalam satu sesi perbincangan di acara pelancaran buku itu, Encik Shanmugam menyingkap semula perjalanannya dalam politik, sambil mengimbas bagaimana pendiriannya dalam soal tadbir urus berubah seiring pengalaman.
Ketika mula menyertai politik pada usia 29 tahun, beliau bersikap lebih idealistik dalam mempersoalkan undang-undang.
Namun, pengalaman memimpin dan mentadbir selama lebih tiga dekad telah membentuk pemahaman yang lebih seimbang antara prinsip keadilan dengan keperluan menjaga kestabilan masyarakat.
“Pengalaman mengajar saya bahawa rangka kerja undang-undang ini perlu wujud untuk memastikan keharmonian dan keselamatan, walaupun ia mesti sentiasa dinilai dan dipertahankan semula,” kata beliau.
Ketika ditanya sama ada penerbitan buku itu merupakan satu petanda terhadap hala tuju kerjaya politiknya, Encik Shanmugam berkata bahawa buku tersebut dan kerjaya politiknya tidak mempunyai sebarang kaitan.
“Penerbitan buku ini bukan satu petunjuk, dan bukan juga penentu kepada kerjaya politik saya. Kedua-duanya tidak berkaitan,” kata beliau dalam sesi itu.
Encik Shanmugam turut menjelaskan bahawa persaraannya kelak akan berlaku mengikut amalan dan tradisi generasi menteri terdahulu, dan bukan dipengaruhi oleh penerbitan buku tersebut.

