Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Inisiatif Biasiswa Palestin contoh daya usaha masyarakat bantu Gaza

Oct 9, 2025 | 6:57 PM
Palestin, pelajar, Singapura, Gaza
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, bertemu dengan tiga pelajar Palestin yang menerima biasiswa di bawah Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI) dalam satu sesi pertemuan tertutup pada 9 Oktober. - Foto MHA

Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI) merupakan satu contoh daya usaha baik masyarakat yang menyediakan platform bagi rakyat Singapura bersatu untuk membantu rakyat Gaza, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Bercakap dengan media pada 9 Oktober menyusuli sesi pertemuan tertutup bersama tiga pelajar Palestin yang telah menerima biasiswa di bawah inisiatif itu, Encik Shanmugam berkata rakyat Singapura bekerjasama sebagai satu masyarakat, dengan sokongan pemerintah, untuk membantu rakyat Gaza melalui pelbagai inisiatif.

Ini termasuk dengan mengumpulkan dana dan barangan yang diperlukan rakyat Gaza, yang kemudiannya dihantar oleh Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Pada 8 Oktober, Berita Harian melaporkan bahawa tiga pelajar Palestin yang merupakan penerima biasiswa PSI telah tiba di Singapura untuk memulakan pengajian sepenuh masa di universiti tempatan.

Mereka termasuk seorang wanita dan dua lelaki, yang berasal dari Gaza, dan dalam lingkungan usia antara 19 dengan 29 tahun.

Dua daripada mereka, masing-masing sedang mengikuti pengajian ijazah Sarjana di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), manakala seorang lagi mengikuti program ijazah Sarjana Muda di Institut Pengurusan Singapura (SIM), kongsi PSI.

Encik Shanmugam berkata Singapura menyokong sebuah Palestin yang bebas dan mengalu-alukan pelajar yang baik ke sini supaya mereka dapat meraih ilmu dan kemudian pulang untuk menyumbang dan membangunkan Palestin.

“Kita semua mahu lihat sebuah negara Palestin yang bebas, dan itu akan memerlukan pentadbir. Ia akan memerlukan orang yang dapat membantu mengendalikan negara itu,” ujar Encik Shanmugam ketika ditemui media di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

“Saya beritahu mereka, serap sebanyak yang anda boleh, belajar bersungguh-sungguh, dan serap apa yang Singapura tawarkan. Apabila mereka pulang, mereka ada jambatan antara Singapura dengan Palestin, dan kami mendoakan yang terbaik untuk mereka.

“Kami berharap apabila mereka pulang nanti, mereka dapat menyumbang kembali kepada masyarakat mereka dengan cara yang sangat penting.

“Kami mahu pelajar baik yang datang meraih manfaat, dan kita juga boleh mendapat manfaat daripada mereka, dengan pelajar kita berinteraksi dengan mereka dan memahami budaya yang berbeza,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Encik Shanmugam turut mengulas tentang perjanjian damai Israel-Hamas, sambil berkata perkembangan terkini itu adalah menggalakkan dan memberikan harapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg