Seorang lelaki telah dikenakan pertuduhan keenam berkaitan dakwaan memiliki pod dan peranti vape.
Pada 21 Ogos, Byron Chua Longming, 37 tahun, didakwa memiliki 194 vape yang dicampur etomidate, atau dikenali sebagai Kpod, yang didakwa untuk dijual.
Kpod tersebut didakwa disimpan di dalam keretanya yang diletakkan berhampiran pusat beli-belah Bugis Plus pada sekitar tengah hari 6 Ogos.
Kesnya akan disebut semula pada 18 September.
Chua kini berdepan lima lagi pertuduhan lain yang kali pertama dikenakan kepadanya pada 30 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Pada 6 Ogos, Chua ditemui dengan lebih 300 pod vape dan 70 peranti vape di dalam sebuah kereta, sebahagian besarnya untuk dijual.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa selain pod dan peranti vape tersebut, Chua turut memiliki 30 pod dan dua peranti vape yang disimpan di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tampines.
Sekiranya disabit kesalahan memiliki vape dan barangan berkaitan untuk dijual, Chua boleh didenda sehingga $10,000 dan dipenjara sehingga enam bulan bagi setiap pertuduhan.
Sekiranya disabit kesalahan memiliki, mengimport atau menjual pod yang dicampur etomidate, Chua boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata tindakan lebih tegas akan diambil terhadap penggunaan vape – yang pada masa ini membawa denda maksimum $2,000 bagi mereka yang memiliki, menggunakan atau membeli vape.
Encik Wong berkata meskipun penggunaan vape telah diharamkan di Singapura pada 2018, ramai masih mencari cara untuk mengelak undang-undang dan menyeludup peranti itu ke negara ini.
Pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penggunaan vape dan menganggapnya sebagai isu dadah, serta mengenakan hukuman lebih berat.
“Sejumlah besar vape dicampur dengan bahan yang membawa kepada ketagihan serta berbahaya seperti etomidate. Jadi, vape hanyalah satu peranti. Bahaya sebenar ialah kandungan di dalamnya.
“Sekarang, ia mengandungi etomidate. Pada masa akan datang, ia mungkin sesuatu yang lebih teruk – dadah yang lebih kuat atau jauh lebih berbahaya,” kata Encik Wong.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dijangka akan mengambil langkah menyenaraikan etomidate di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, sementara Kementerian Kesihatan (MOH) terus mengkaji tindakan perundangan lanjut terhadap pengguna Kpod.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg