Kejayaan Singapura dengan Projek Wolbachia dalam mengurangkan bilangan nyamuk tempatan telah menarik perhatian pegawai Kesatuan Eropah (EU) untuk mengkaji pendekatan itu dalam memerangi denggi. 

Ini berlaku ekoran perubahan iklim yang menyebabkan penyakit tropika yang dibawa nyamuk kini merebak ke benua yang semakin panas itu.

Pada 1 September, Ketua Pengarah Penguasa kesediaan dan respons kecemasan kesihatan (Hera) di bawah Suruhanjaya Eropah, Cik Florika Fink-Hooijer, melawat sebuah kilang pembiakan nyamuk di Ang Mo Kio untuk melihat sama ada negara Eropah boleh menggunakan kaedah Wolbachia bagi mengurangkan bilangan nyamuk. 

Dilancarkan pada 2016, Projek Wolbachia mengawal bilangan nyamuk Aedes di sini melalui pelepasan nyamuk jantan yang dibiakkan di makmal dan dijangkiti bakteria Wolbachia.

Nyamuk betina yang mengawan dengan nyamuk jantan itu akan menghasilkan telur yang tidak menetas, sekali gus mengurangkan populasi nyamuk dari semasa ke semasa.

Populasi nyamuk di kawasan Project Wolbachia telah menurun sebanyak 80 hingga 90 peratus, manakala risiko menghidap denggi pula berkurangan lebih 70 peratus.

Menjelang Oktober, lebih separuh daripada semua isi rumah di Singapura akan diliputi oleh projek itu.

Walaupun pendekatan Singapura itu mengagumkan, ia tidak boleh dipindahkan begitu sahaja ke EU kerana perbezaan keadaan persekitaran, spesies nyamuk dan isu perundangan, kata Cik Fink-Hooijer kepada wartawan selepas lawatan ke kemudahan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

“Wolbachia akan mengambil sedikit masa kerana ia tidak begitu mudah dipindahkan (ke Eropah)... Kami kini sedang mengkaji apakah halangan yang bakal timbul sekiranya kami ingin memperkenalkan pendekatan Wolbachia ini, atau apakah faktor yang boleh menyokongnya,” katanya.

Antara sebabnya, nyamuk harimau yang gemarkan kawasan hijau adalah pembawa denggi di Eropah, manakala nyamuk Aedes aegypti yang gemarkan kawasan dalaman bangunan pula merupakan vektor utama di Singapura.

Ini akan mengubah cara nyamuk jantan dilepaskan dan dikesan di Eropah, berbanding kaedah yang digunakan di Singapura, kata pengarah kumpulan di Institut Kesihatan Sekitaran NEA, Profesor Madya Ng Lee Ching.

“Ia bukan pendekatan yang boleh digunakan dalam semua situasi... Anda hanya boleh membangunkannya berdasarkan keadaan epidemiologi dan landskap anda sendiri.

“Dan mungkin dalam Eropah sendiri pun keadaannya akan berbeza. Cara penglibatan masyarakat dijalankan juga akan berbeza,” tambah Profesor Ng.

Secara tradisinya, denggi memberi kesan kepada kawasan tropika dan sub-tropika di serata dunia yang mempunyai iklim panas dan lembap, sesuai untuk nyamuk membiak. 

Namun akibat perubahan iklim, kes denggi kini turut meningkat di kawasan beriklim sederhana seperti Amerika Utara dan Eropah, yang mengalami musim sejuk yang lebih pendek dan lebih panas.

Cik Fink-Hooijer memberitahu bahawa antara 2015 dan 2024, kes denggi di EU meningkat sebanyak 300 peratus.

“Pada mulanya kami hanya mengesan (denggi) di negara paling selatan seperti Italy, Portugal, Greece dan Sepanyol, tetapi kini ia semakin merebak dan boleh dijumpai di Belgium,” katanya, sambil menambah bahawa kes itu bukan lagi sekadar kes import.

Setakat Ogos 2026, Perancis telah mencatatkan beberapa kes denggi yang ditularkan secara tempatan.

Selain denggi, penyakit lain yang dibawa nyamuk seperti chikungunya dan virus West Nile turut mula muncul di rantau itu.

Hera ditubuhkan susulan pandemik Covid-19 bagi menjangka ancaman dan potensi krisis kesihatan.

Penyakit bawaan vektor – iaitu virus yang dibawa oleh nyamuk dan kutu – merupakan antara empat ancaman perubatan yang sedang dikaji pihak berkuasa itu, selain daripada rintangan antimikrob, pandemik, serta risiko kimia, biologi, radiologi dan nuklear. 

Sekurang-kurangnya 12 negara di Eropah telah melaporkan kes virus West Nile yang diperoleh secara tempatan, dan satu kematian telah dilaporkan di Belanda pada 26 Ogos.