Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EWL akan disambung semula sepenuhnya 1 Okt; tren arah barat bergerak lebih perlahan

Sep 30, 2024 | 5:02 PM
Kereta api MRT bergerak antara stesen Clementi dan Jurong East sepanjang Laluan Timur-Barat sewaktu kerja ujian dijalankan pada 5 petang, 30 September.
Kereta api MRT bergerak antara stesen Clementi dan Jurong East sepanjang Laluan Timur-Barat sewaktu kerja ujian dijalankan pada 5 petang, 30 September. - Foto ST

Perkhidmatan kereta api MRT di Laluan Timur-Barat (EWL) akan disambung semula sepenuhnya pada 1 Oktober dari permulaan waktu perkhidmatan penumpang, enam hari selepas perkhidmatan antara stesen MRT Jurong East dengan Buona Vista lumpuh kerana kerosakan landasan yang teruk.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali rel SMRT berkata pada petang 30 September bahawa atas sebab keselamatan, had laju sementara 40 kilometer sejam (kmj) – turun daripada 60kmj hingga 80kmj yang biasa – akan dikenakan ke atas tren arah barat yang bergerak di bahagian yang dibaiki.

Sekatan kelajuan itu akan dilaksanakan sehingga 3 Oktober, dan merupakan sebahagian proses standard selepas penggantian rel, tambah mereka, lapor The Straits Times (ST).

“Kami menasihatkan penumpang yang melakukan perjalanan ke barat di Laluan Timur-Barat untuk merancang tambahan lima minit masa perjalanan mereka,” kata LTA dan SMRT.

Mereka berkata jurutera dan juruteknik mereka pada lewat 29 September telah menggantikan 10 segmen landasan di mana 12 keretakan baru telah ditemui.

Ujian menyeluruh ke atas peralatan trek dan tepi landasan telah dilakukan demi keselamatan penumpang.

Ujian ini terdiri daripada ujian fungsian dan keselamatan pada landasan, bekalan kuasa dan sistem isyarat kereta api.

Landasan-landasan itu juga dikenakan ujian muatan dan pemeriksaan ultrabunyi, diikuti dengan larian ketahanan menggunakan kereta api penumpang yang dimuatkan dengan beg pasir untuk mensimulasikan kereta api yang penuh sesak.

Gangguan itu telah menjejaskan kira-kira 2.1 juta penumpang setakat ini.

Pada pagi 30 September, LTA berkata bahawa semua segmen rel yang terjejas itu – di mana 46 bahagian yang pecah seperti keretakan atau serpihan ditemui – telah diganti.

Ini menjangkau landasan sepanjang 2.55 kilometer.

Rel ketiga – yang membekalkan kuasa kepada kereta api – juga telah dipulihkan.

SMRT juga berkata juruteranya telah menyelesaikan ujian ultrasonik kimpalan, yang merujuk kepada pemeriksaan kimpalan dengan mengukur pantulan gelombang bunyi frekuensi tinggi.

SMRT sebelum ini menyasarkan untuk memulakan semula perkhidmatan pada 30 September, tetapi ujian tekanan pada 28 September mendapati 12 keretakan yang sebelum ini tidak kelihatan pada segmen rel yang tidak diganti.

Ini bermakna jurutera terpaksa menggantikan 10 lagi segmen rel di sepanjang landasan arah barat dari Clementi ke Depoh Ulu Pandan, menangguhkan penyambungan perkhidmatan kereta api sehingga 1 Oktober.

Dalam satu kenyataan, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata:

“SMRT dan LTA telah berjaya menyelesaikan semua pemeriksaan dan ujian keselamatan, dan oleh itu kami dapat menyambung sepenuhnya perkhidmatan kereta api mulai pagi esok (1 Oktober).

“Saya telah bertemu dengan pekerja kami yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan, kerja-kerja pemeriksaan dan ujian, dan juga mereka yang berada di barisan hadapan membantu penumpang kami dalam perjalanan mereka.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka semua atas kerja keras dan dedikasi mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg