Matlamat untuk menyambung semula khidmat kereta api di Laluan Timur-Barat (EWL) antara stesen MRT Buona Vista dengan Jurong East pada 30 September tidak kesampaian selepas 12 keretakan baru ditemui sepanjang salah satu sektor landasan terjejas.
Dalam satu kenyataan bersama SMRT dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 29 September, khidmat kereta api antara dua stesen tersebut hanya dijangka kembali beroperasi pada 1 Oktober selepas ujian yang menyeluruh dijalankan dan bergantung pada cuaca.
Sebanyak 12 keretakan baru ditemui selepas SMRT melakukan ujian berfungsi di landasan agar kesemua sistem dapat dikendali secara selamat.
“Semasa ujian tegasan atau stress test, 12 keretakan baru yang sebelum ini tidak dapat dilihat terhasil pada segmen yang tidak diganti di sepanjang bahagian landasan menghala ke barat dari stesen Clementi ke Depoh Ulu Pandan.
“Keretakan ini adalah disebabkan segmen landasan yang sudah menjadi lemah dek kereta api yang rosak apabila ia diarahkan kembali ke Depoh Ulu Pandan pada pagi 25 September,” kata kenyataan itu lagi.
Pada 25 September sekitar 9 pagi, kereta api Kawasaki Heavy Industries (KHI) generasi pertama, yang telah beroperasi lebih 35 tahun, mengalami kerosakan berhampiran stesen Clementi, ketika dalam perjalanan ke arah timur.
Menurut LTA dan SMRT, kereta api itu kemudian diarahkan kembali ke Depoh Ulu Pandan dan dalam perjalanannya ke sana, kotak gandar atau axle box gerabak ketiga tercabut dan jatuh.
Kereta api itu mempunyai enam gerabak kesemuanya.
Ini menyebabkan roda bogi – struktur di bawah kereta api yang menyokong dan membantu kereta api bergerak dengan lancar di atas rel – terputus keluar dari rel, merosakkan peralatan landasan dengan teruk.
Susulan pengumuman LTA dan SMRT pada 29 September, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata dalam satu hantaran Facebook bahawa jurutera dan juruteknik SMRT dan LTA telah bekerja keras tanpa lelah untuk membaiki kerosakan pada landasan dan peralatan terjejas.
Beliau berkata: “Kami menilai bahawa keretakan itu berpunca daripada segmen landasan yang menjadi lemah setelah dilalui kereta api rosak semasa ia dalam perjalanan pulang ke depoh.
“SMRT dan LTA kini perlu menggantikan 10 lagi segmen landasan disebabkan keretakan baru ini.
“Jika cuaca mengizinkan, kami menjangkakan penggantian landasan ini akan siap malam ini, diikuti dengan ujian lanjutan yang berlangsung untuk sebahagian besar tempoh esok (30 Oktober).”
Justeru, LTA dan SMRT menggesa agar para penumpang terus menggunakan pengangkutan alternatif yang disediakan.
Ini termasuk perkhidmatan kereta api ulang-alik, serta perkhidmatan bas penghubung percuma antara Jurong East dengan Buona Vista, dan perkhidmatan bas biasa antara stesen Boon Lay dengan Queenstown.
Setakat ini, pihak SMRT telah menggantikan 33 segmen landasan yang rosak dan rel ketiga yang membekalkan kuasa kepada kereta api.
Ia juga telah menyelesaikan ujian pada peralatan tepi landasan dan mesin ubah landasan atau track point machines yang mengalihkan kereta api ke landasan yang berbeza.
Kejadian pada 25 September itu, antara lain, mengakibatkan 34 keretakan pada landasan sepanjang 1.6 kilometer antara stesen Clementi dengan Dover.
Dianggarkan sekitar 358,000 penumpang terjejas dengan gangguan kereta api pada 25 September; 516,000 penumpang terjejas pada 26 September dan 500,000 penumpang pada 27 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg