Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat MRT Laluan Timur-Barat disasar kembali operasi 30 Sep

Kereta api ulang-alik selang 20 minit antara stesen Jurong East dan Buona Vista ditiadakan
Sep 26, 2024 | 8:20 PM
Kakitangan SMRT memeriksa gerabak kereta api yang terjejas di luar Depot Ulu Pandan kira-kira 1.45 petang pada 26 September.
Kakitangan SMRT memeriksa gerabak kereta api yang terjejas di luar Depot Ulu Pandan kira-kira 1.45 petang pada 26 September. - Foto ZAOBAO

Gangguan khidmat kereta api antara stesen Jurong East dengan Buona Vista di Laluan Timur-Barat (EWL) akan berlanjutan selama beberapa hari lagi, dengan pengendali rel, SMRT menyasarkan untuk kembalikan khidmat sepenuhnya pada 30 September, kata satu kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SMRT pada 26 September.

Langkah itu diambil bagi mengutamakan pembaikan dan mempercepatkan langkah mengembalikan khidmat sepenuhnya berbanding menyediakan kereta api ulang-alik selang 20 minit antara stesen Jurong East dan Buona Vista.

Sebelum ini SMRT dan LTA telah mengumumkan pada 26 September bahawa mereka menyasarkan untuk kembalikan sebahagian khidmat pada 27 September dengan menyediakan khidmat kereta api ulang alik yang akan beroperasi di empat stesen yang terjejas selang 20 minit.

Kenyataan itu menambah menyediakan kereta api ulang alik itu boleh menimbulkan risiko melengahkan usaha untuk kembalikan khidmat sepenuhnya sekurang-kurangnya untuk beberapa hari.

Sementara itu tidak akan ada khidmat kereta api di EWL antara stesen Jurong East dengan Buona Vista pada 27 September, jelas kenyataan itu lagi.

“Sebelum ini kami ada menyatakan bahawa kami sedang meneroka kemungkinan untuk menyediakan khidmat kereta api ulang-alik antara stesen Jurong East dengan Buona Vista.

“Kami telah cuba sedaya upaya untuk memastikan langkah ini dapat dicapai dengan mempercepatkan kerja pembaikan pada salah satu landasan.

“Sejak itu, kami telah memastikan bahawa ia boleh dilakukan, tetapi ini bermakna melengahkan kerja pembaikan pada rel selari yang rosak kerana kerja pembaikan tidak boleh dilakukan apabila khidmat kereta api ulang-alik beroperasi,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu, semakan mendapati bahawa sebuah kereta api yang rosak telah sebabkan kerosakan besar pada landasan dan bahagian tepi landasan pada 25 September.

Antara lain, ia mengakibatkan 34 keretakan pada rel sepanjang 1.6 kilometer antara stesen Clementi dengan Dover.

Setakat ini, tempoh gangguan pada rel ini adalah kedua paling lama di Singapura, dan menjejas sekitar 358,000 penumpang pada 25 September dengan 516,000 lagi penumpang dijangka akan alami gangguan perjalanan pada 26 September.

Awal daripada itu, menerusi satu hantaran Facebooknya pada 26 September, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata bahawa EWL tidak dapat jalankan perkhidmatan sepenuhnya jelang 27 September.

“Jurutera dari SMRT dan LTA telah bekerja sepanjang malam untuk menilai dan menjalankan pembaikan pada landasan dan peralatan yang rosak.

“Memandangkan kerosakannya sangat besar, mereka perlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan pembaikan dan selepas itu menjalankan ujian dan semakan untuk memastikan keselamatan penumpang, sebelum memulihkan perkhidmatan kereta api sepenuhnya,” katanya yang sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura dari Forum Pengangkutan Kemampanan Sejagat di Beijing.

Kerosakan ini berpunca dari sebuah kereta api Kawasaki Heavy Industries (KHI) generasi pertama, yang telah beroperasi lebih dari 35 tahun.

Ia mengalami kerosakan pada sekitar 9 pagi pada 25 September ketika dalam perjalanan ke arah Timur di EWL berhampiran stesen Clementi.

Menurut LTA dan SMRT, kereta api itu kemudian diarahkan kembali ke Depot Ulu Pandan dan dalam perjalanannya ke sana, kotak gandar (axle box) gerabak ketiga dari enam-gerabak kereta api itu tercabut dan jatuh.

Ini menyebabkan roda bogi – struktur di bawah kereta api yang menyokong dan membantu kereta api bergerak dengan lancar di atas rel – terputus keluar dari rel, merosakkan peralatan landasan dengan teruk.

Selain itu, tiga mesin yang digunakan untuk mengalihkan kereta api ke landasan yang berbeza, selain rel ketiga yang bekalkan kuasa kepada kereta api, serta kabel kuasa dan klip rel, juga rosak.

Kereta api rosak yang sedang dalam perjalanan ke Depot Ulu Pandan telah mengakibatkan keretakan pada rel.
Kereta api rosak yang sedang dalam perjalanan ke Depot Ulu Pandan telah mengakibatkan keretakan pada rel. - Foto LTA

Ini akibatkan gangguan kuasa sekitar 9.25 pagi pada 25 September, menyebabkan sebuah lagi kereta api berhampiran stesen Clementi terhenti.

Kira-kira 850 penumpang kereta api itu kemudian terpaksa berjalan di landasan dan dibawa kembali ke platform stesen.

Perkhidmatan kereta api juga terganggu di sembilan stesen antara Boon Lay dengan Queenstown.

Setakat ini, LTA dan SMRT mengatakan bahawa kesemua 48 kereta api Kawasaki Heavy Industries yang berfungsi pada Khamis telah lulus semakan kotak gandar.

Petugas SMRT melakukan pemeriksaan pada kotak gandar kereta api.
Petugas SMRT melakukan pemeriksaan pada kotak gandar kereta api. - Foto LTA

Sejak 25 September, LTA dan SMRT sedang giat perbaiki dan gantikan rel yang rosak supaya dapat meneruskan perkhidmatan EWL secepat mungkin.

Namun, dengan hujan lebat pada pagi 26 September serta ruang yang kecil di jejambat, mereka perlu menjaga keselamatan pekerja yang bertugas, dan ini memberi kesan kepada tempoh pembaikan itu.

Menurut laporan The Straits Times pada 26 September, hujan yang turun dari 8 pagi hingga 11 pagi itu telah menyukarkan lagi pergerakan dengan kebanyakan staf stesen MRT dilihat memberi isyarat kepada pemandu bas untuk menghentikan bas lebih dekat dengan perhentian, supaya penumpang tidak basah semasa menaikinya. 

Presiden Kereta Api SMRT, Encik Lam Sheau Kai, berkata: “Saya dan pasukan saya telah bekerja keras sepanjang malam, dan kami melakukan yang terbaik untuk memulihkan perkhidmatan kereta api dengan selamat di kawasan yang terjejas.

“Keselamatan penumpang dan kakitangan kami adalah keutamaan kami,” katanya.

Mereka termasuk pegawai polis serta pekerja dari LTA, SMRT, SBS Transit dan Tower Transit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg