Parti Pekerja (WP) telah mengumumkan pelantikan badan pembuat keputusan tertingginya dan memilih dua Anggota Parlimen (AP) mereka untuk menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tersebut.

AP GRC Aljunied, Encik Fadli Fawzi dan AP WP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low, telah disertakan ke dalam CEC apabila ia bermesyuarat buat kali pertama pada 7 Julai.

Encik Fadli memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Penganjur, sementara Encik Low merupakan Timbalan Ketua, Pasukan Media WP.

Ia berlaku susulan pilihan raya dalamannya dan mesyuarat kader khas yang diadakan pada 28 Jun.

Mesyuarat tersebut diminta oleh 25 kader yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Encik Pritam Singh, berikutan penghakiman Mahkamah Tinggi yang mensabitkan beliau kerana memalsukan keterangan melibatkan mantan AP WP, Cik Raeesah Khan, di hadapan Jawatankuasa Parlimen.

Semasa mesyuarat itu, supermajoriti kader, atau 82 daripada 106 ahli, mengundi Encik Pritam kekal sebagai Ketua Parti.

Encik Pritam kemudian menang tanpa bertanding dan kekal sebagai Setiausaha Agung semasa pilihan raya parti.

AP GRC Aljunied, Cik Sylvia Lim yang merupakan Pengerusi WP dan telah memegang jawatan itu selama 23 tahun, juga dipilih semula tanpa bertanding.

Kader parti juga telah memilih 12 ahli lain untuk menyertai CEC, dengan peguam kanan, Encik Harpreet Singh, satu-satunya ahli tambahan baharu kepada jawatankuasa itu.

Encik Harpreet merupakan calon WP yang bertanding di GRC Punggol semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Dengan tambahan Encik Fadli dan Encik Low, CEC WP kini mempunyai 16 ahli.

Dalam pengumumannya pada 8 Julai, parti tersebut berkata orang kuat WP, Encik Faisal Manap, akan terus berkhidmat sebagai Naib Pengerusi.

AP GRC Aljunied, Encik Kenneth Tiong, telah dilantik sebagai Bendahari, menggantikan AP GRC Sengkang, Cik He Ting Ru yang memegang jawatan itu sebelum ini.

Cik He kini merupakan salah seorang daripada dua Setiausaha Penganjur, bersama AP Hougang, Encik Dennis Tan.

Terdapat dua ahli jawatankuasa tanpa pelantikan – Encik Harpreet, yang dilihat sebagai ketua pasukan de facto bagi pasukan GRC Punggol; dan mantan Ketua WP, Encik Low Thia Khiang, yang juga dilantik ke dalam CEC.

“Dengan pasukan yang dibentuk ini, WP memandang ke hadapan dengan keyakinan berkhidmat kepada penduduk dengan dedikasi, dan untuk memajukan kepentingan Singapura dan semua rakyat Singapura pada tahun-tahun akan datang,” kata WP.

Senarai ahli CEC WP:

– Setiausaha Agung: Encik Pritam Singh

– Pengerusi: Cik Sylvia Lim

– Naib Pengerusi: Encik Faisal Manap

– Bendahari: Encik Kenneth Tiong

– Naib Bendahari: Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik

– Setiausaha Penganjur: Encik Dennis Tan, Cik He Ting Ru

– Timbalan Setiausaha Penganjur: Encik Tan Kong Soon, Encik Fadli Fawzi

– Ketua, Pasukan Media: Encik Louis Chua

– Timbalan Ketua, Pasukan Media: Encik Andre Low

– Ketua, Kajian Dasar: Dr Jamus Lim

– Timbalan Ketua, Kajian Dasar: Encik Gerald Giam

– Presiden Sayap Belia: Cik Eileen Chong

– Ahli Jawatankuasa: Encik Low Thia Khiang, Encik Harpreet Singh

Laporan berkaitan
Pritam kekal pimpin WPJun 28, 2026 | 8:53 PM