Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeguam Harpreet Singh sertai CEC WP
Peguam Harpreet Singh sertai CEC WP
Peguam Harpreet Singh sertai CEC WP
Calon Parti Pekerja (WP) bagi GRC Punggol pada Pilihan Raya Umum 2025, Encik Harpreet Singh, telah dilantik ke badan kepimpinan tertinggi parti tersebut.
Peguam itu merupakan satu-satunya muka baharu dalam kalangan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti yang baharu dipilih pada 28 Jun.
WP turut melantik 12 anggota lain ke dalam CEC, termasuk Encik Pritam Singh sebagai Setiausaha Agung dan Cik Sylvia Lim sebagai Pengerusi.
Anggota CEC WP lain termasuk Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Louis Chua, Encik Dennis Tan, Cik Eileen Chong, Encik Gerald Giam, Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim, Encik Kenneth Tiong, Encik Low Thia Khiang, Encik Muhammad Faisal Abdul Manap dan Encik Tan Kong Soon.
Mereka akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun akan datang. CEC yang baharu juga mempunyai pilihan untuk memilih sehingga tujuh ahli lagi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan WP, Encik Pritam berkata:
“Seperti CEC yang lalu, tumpuan parti kekal tepat pada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat Singapura.
“Dalam masa ketidakpastian sejagat yang semakin meningkat, kami kekal lebih komited berbanding sebelum ini terhadap visi Singapura yang benar-benar bersedia untuk masa depan – masa depan yang sesuai untuk semua orang. Kami terus berusaha untuk Singapura.”
Pelantikan pemegang jawatan CEC akan diumumkan dalam masa terdekat, kata WP sambil menambah bahawa CEC yang baharu sudah pun memulakan tugas, dengan gabungan ahli daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Encik Pritam dilantik semula sebagai Setiausaha Agung tanpa dicabar bagi jawatannya itu.
Sementara itu, Cik Lim terus menjadi Pengerusi WP, jawatan yang telah disandangnya selama lebih dua dekad.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf bahawa saya telah menjadi pengerusi parti selama 23 tahun sekarang,” kata Cik Lim kepada pihak media.
Beliau berkata WP sedar pembaharuan kepimpinan adalah sangat penting dan oleh itu, parti tersebut telah berusaha ke arah itu.
“Kami sangat menyedari hakikat pembaharuan kepimpinan adalah sangat penting kepada organisasi, jadi kami telah berusaha bagi perkara tersebut, jadi diharapkan sidang media seterusnya anda akan bertemu dengan orang lain di sini,” ujar Cik Lim.
Beliau menambah parti itu akan menyambut ulang tahun ke-70 pada 2027.
“Ia merupakan satu peristiwa penting. Jadi sila nantikan. Kami akan mempunyai lebih banyak berita tentang parti ini,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, WP berkata ia berdiri teguh di belakang kepimpinannya.
CEC baharu yang telah dilantik “menyelesaikan persoalan kepimpinan utama dan mewujudkan mandat yang jelas dan demokratik untuk penggal berikutnya”.
“Parti ini bersatu di belakang kepimpinannya dan kekal fokus sepenuhnya kepada kerjanya bagi semua rakyat Singapura, di Parlimen dan di lapangan. Kami meneruskan kerja membina sistem politik yang lebih seimbang bagi Singapura,” jelas kenyataan itu.
