Topik diikuti
Pergi ke BHkuBendung radikalisasi dalam talian melalui pendekatan menyeluruh masyarakat
Bendung radikalisasi dalam talian melalui pendekatan menyeluruh masyarakat
Daripada pencegahan kepada daya tahan: Pendekatan menyeluruh masyarakat (WOC) melalui Rangka Kerja Daya Tahan Masyarakat (CRF)
Bendung radikalisasi dalam talian melalui pendekatan menyeluruh masyarakat
Penahanan seorang warga Singapura berusia 19 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjadi peringatan bahawa ancaman radikalisasi kendiri dalam talian terus berkembang.
Dipengaruhi pelbagai fahaman melampau yang sering bercanggah di alam maya, kes ini menunjukkan bahawa radikalisasi kendiri semakin disesuaikan mengikut individu dan dibentuk melalui perantaraan persekitaran digital.
Walaupun setiap kes mempunyai ciri tersendiri, semuanya menunjukkan bahawa fahaman melampau kini terbentuk bukan lagi melalui organisasi rasmi atau pengambilan ahli secara langsung, tetapi hasil gabungan faktor psikososial di luar talian, naratif dalam talian, kandungan yang dipilih oleh algoritma serta jaringan dalam talian.
Pendekatan Keseluruhan Pemerintah (WOG) Singapura menjadi teras usaha membanteras keganasan melalui penyelarasan langkah keselamatan, pemulihan dan usaha kemasyarakatan.
Di samping itu, SGSecure dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menunjukkan bagaimana kerjasama masyarakat memperkukuh daya tahan.
Langkah-langkah ini mengukuhkan asas strategi antikeganasan Singapura.
Namun, perubahan corak radikalisasi kendiri dalam talian menunjukkan bahawa usaha pencegahan tidak boleh bergantung pada badan pemerintah semata-mata.
Walaupun usaha ini kekal penting, ia perlu dilengkapi dengan pendekatan berasaskan masyarakat bagi memperkukuh daya tahan sosial.
Rencana ini mengusulkan agar langkah seterusnya dalam menangani radikalisasi dalam talian ialah menerapkan pendekatan WOG melalui rangka kerja daya tahan masyarakat (CRF), yang mengukuhkan ekosistem epistemik (ilmu), hubungan sosial, nilai moral, ruang digital dan masyarakat yang menyokong golongan muda.
Daripada Pencegahan kepada Daya Tahan: Rangka Kerja Daya Tahan Masyarakat (CRF)
Membina daya tahan memerlukan lebih daripada langkah keselamatan yang kukuh dan pemantauan dalam talian yang meluas.
Pendekatan semasa tertumpu pada usaha mengenal pasti kerentanan, melumpuhkan rangkaian melampau, dan menghalang mereka daripada terjerumus ke dalam radikalisasi.
Walaupun tindakan pencegahan kekal penting, sifat radikalisasi kendiri semakin disesuaikan mengikut individu dan dibentuk melalui perantaraan teknologi digital.
Oleh itu, usaha semasa perlu dilengkapi dengan pendekatan yang memperkukuh perlindungan diri agar individu dan masyarakat kurang terdedah kepada naratif berbahaya.
Langkah ini penting bagi mengelakkan pihak tertentu daripada mengambil kesempatan ke atas kelemahan mereka.
CRF dicadangkan sebagai model pelengkap bagi menyokong peralihan ini.
Ia melihat daya tahan sebagai keupayaan individu dan masyarakat untuk berfikir secara kritikal, kekal berpegang pada prinsip etika, mengekalkan hubungan yang dipercayai, serta bertindak balas secara bijaksana terhadap ketidakpastian, ketidakadilan dan muslihat dalam talian.
Daya tahan bukan sekadar ketiadaan kerentanan, tetapi keupayaan menyesuaikan diri yang membolehkan golongan muda mengharungi persekitaran digital dengan yakin, berhemat dan bertanggungjawab.
Berdasarkan konsep daya tahan sosial-ekologi Michael Ungar, CRF menafsir daya tahan sebagai proses yang sentiasa berubah, yang lahir daripada pergaulan antara individu dengan sistem sosial yang membentuk kehidupan mereka.
Dalam era digital, daya tahan juga perlu merangkumi persekitaran epistemik (ilmu) dan digital yang membentuk cara golongan muda memperoleh pengetahuan, membina identiti dan membentuk pemahaman tentang dunia.
Dalam era kandungan yang dipilih algoritma, kecerdasan buatan (AI) dan naratif dalam talian yang semakin bercelaru, daya tahan bergantung bukan sahaja kepada hubungan yang menyokong dan rangkaian sokongan masyarakat, tetapi juga kepada keupayaan menilai maklumat dengan teliti serta membuat pertimbangan sendiri.
Justeru, CRF menggariskan lima unsur daya tahan yang saling melengkapi bagi memperkukuh keupayaan golongan muda menolak muslihat dan bergaul secara matang dengan dunia yang semakin rumit.
Melaksanakan Rangka Kerja Daya Tahan Masyarakat (CRF)
CRF dilaksanakan melalui lima unsur yang saling bergantung bagi memperkukuh daya tahan terhadap radikalisasi dalam talian.
Walaupun kajian semasa menumpukan kepada daya tahan psikologi dan sosial, radikalisasi digital memperkenalkan kerentanan baharu.
Oleh itu, CRF memperluaskan konsep daya tahan kepada lima unsur yang saling mengukuhkan: daya tahan epistemik (ilmu), hubungan sosial, nilai moral, ruang digital dan daya tahan masyarakat.
Kelima-lima unsur ini membantu golongan muda menilai maklumat dengan teliti, mengekalkan hubungan yang dipercayai, berpegang pada prinsip etika, mengemudi ruang digital secara bertanggungjawab serta memperoleh kekuatan daripada ekosistem masyarakat yang menyokong.
Kesemuanya saling mengukuhkan bagi mewujudkan ekosistem yang membolehkan golongan muda mengharungi persekitaran digital dengan pertimbangan yang wajar, berpegang pada nilai etika dan mendapat sokongan sosial.
Daya tahan ilmu menjadi asas rangka kerja ini. Ia membolehkan golongan muda menilai pelbagai dakwaan, mengenal pasti naratif yang memperdaya, dan membezakan pengetahuan yang sah daripada penyelewengan ideologi.
Di Singapura, usaha RRG menangkis salah faham dan program kefahaman agama membantu golongan muda memahami ajaran agama dalam konteks yang betul serta menolak salah tafsiran yang melampau.
Daya tahan hubungan sosial mengiktiraf hubungan yang berasaskan kepercayaan sebagai antara benteng paling kukuh terhadap radikalisasi. Ibu bapa, guru dan sukarelawan masyarakat menyediakan ruang selamat untuk golongan muda mengemukakan persoalan, mendapatkan bimbingan dan membina kepercayaan sebelum dipengaruhi suara-suara tanpa nama di alam maya.
Daya tahan moral ialah keupayaan menghadapi konflik, ketidakadilan dan ketidakpastian berlandaskan pertimbangan etika, bukan dorongan emosi.
Dalam konteks Singapura, daya tahan ini diperkukuh melalui perpaduan sosial serta pendidikan nasional oleh Kementerian Pendidikan (MOE), termasuk pembinaan sahsiah dan kewarganegaraan yang bertanggungjawab. Hal ini membolehkan golongan muda menyalurkan keprihatinan moral kepada penglibatan dalam masyarakat, bukannya permusuhan atau keganasan.
Daya tahan ruang digital melangkaui kefahaman digital dengan merangkumi pemahaman tentang pengaruh algoritma, teknologi pemalsuan mendalam (deepfake), janaan AI dan kandungan yang diputarbelitkan.
Golongan muda perlu menggunakan ruang digital secara bertanggungjawab, manakala wadah teknologi perlu memperkukuh perlindungan, ketelusan dan keselamatan sejak peringkat reka bentuk bagi mengurangkan penyebaran kandungan berbahaya.
Akhir sekali, daya tahan masyarakat mencerminkan keupayaan bersama keluarga, sekolah, pertubuhan agama, badan masyarakat, industri dan pemerintah untuk mengekalkan persekitaran yang melindungi.
Di Singapura, langkah seperti SGSecure, dialog antara agama oleh Pertubuhan Antara Agama (IRO), dan Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama (Harmony Circles) memperkukuh kepercayaan, perpaduan sosial serta keupayaan masyarakat menghadapi radikalisasi.
Kesimpulan
Kes ISA yang terbaharu menunjukkan bahawa radikalisasi dalam talian terus berkembang seiring kemajuan digital.
Apabila laluan ke arah radikalisasi semakin disesuaikan mengikut individu dan dipengaruhi pelbagai sumber dalam talian, tindak balas yang berkesan perlu melengkapkan langkah pencegahan dan penguatkuasaan semasa dengan memperkukuh perlindungan diri agar golongan muda dapat mengharungi cabaran dunia digital dengan yakin dan bertanggungjawab.
CRF melengkapi WOG dengan memperkenalkan Pendekatan Menyeluruh Masyarakat (WOC) yang meletakkan daya tahan sebagai teras pencegahan jangka panjang.
Dengan menggabungkan daya tahan ilmu, hubungan sosial, nilai moral, ruang digital dan masyarakat, rangka kerja ini mengiktiraf bahawa daya tahan dibina melalui kerjasama berterusan antara keluarga, sekolah, pertubuhan agama, badan masyarakat, wadah teknologi dan pemerintah.
Akhirnya, mencengah radikalisasi dalam talian bukan sekadar menangkis fahaman melampau, tetapi membina individu dan masyarakat yang berdaya tahan sehingga naratif berbahaya sukar bertapak.
Pelaburan dalam daya tahan masyarakat hari ini merupakan pelaburan demi keselamatan jangka panjang, perpaduan sosial dan keamanan Singapura.
Biodata penulis dan artikel ini pertama kali diterbitkan dalam RSIS Commentary. Dr Sabariah Pensyarah Bersekutu di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan alumni Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Dr Mubarak memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Tamadun Islam dan Isu-Isu Kontemporari dari Universiti Brunei Darussalam. Kedua-duanya merupakan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
