Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (gambar), tidak akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Ini dinyatakan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, semasa beliau mengumumkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di kawasan undi tersebut pada GE2025.
Namun beliau tidak memberikan pengesahan sama ada Encik Fahmi, yang menyertai politik pada GE2020, akan bertanding di kawasan lain atau bersara dari politik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mayor Fahmi Aliman, yang bersama kami pada 2020 dan berkhidmat di kawasan Geylang Serai dan juga sebagai Mayor CDC South East.
“Sebagai Mayor, beliau telah membantu menyelia banyak inisiatif yang memberi impak... dan setiap tahun kami berkumpul untuk merancang banyak aktiviti, baik untuk Ramadan dan juga untuk orang Melayu/Islam di GRC ini,” kata Dr Tan.
Tempat Encik Fahmi dalam pasukan PAP digantikan oleh Cik Diana Pang, seorang pengarah pembangunan perniagaan berusia 51 tahun yang telah dilihat bertemu penduduk di kawasan undi tersebut sebelum ini.
Dr Tan, yang akan memimpin pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights di GE2025, memperkenalkan pasukannya kepada wartawan dalam satu sidang media yang diadakan di cawangan PAP Marine Parade di Marine Crescent pada 20 April.
Encik Fahmi tidak hadir di sidang media itu.
Encik Fahmi, yang bertugas sebagai Pengarah Sekretariat Bahagian Operasi dan Mobilisasi, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menyertai politik pada 2020.
Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat lebih 26 tahun dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sebelum meninggalkan SAF pada Februari 2019 dengan pangkat Kolonel.
Beliau menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif, sebelum mengundur diri pada Mac 2020 untuk bertanding di GE2020.
Dalam pada itu, Dr Tan juga mengumumkan persaraan Timbalan Speaker Parlimen, Encik Lim Biow Chuan, daripada politik.
Encik Lim merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi SMC Mountbatten telah berkhidmat di kawasan undi itu sejak 2011
Tempatnya digantikan oleh Cik Gho Sze Kee, 46 tahun, seorang peguam perkapalan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg