Topik diikuti
Pergi ke BHkuFairPrice beku harga lebih 300 barangan keperluan hingga 31 Mei
FairPrice beku harga lebih 300 barangan keperluan hingga 31 Mei
FairPrice beku harga lebih 300 barangan keperluan hingga 31 Mei
Lebih banyak barangan keperluan harian di pasar raya FairPrice akan dibekukan harganya bagi membantu rakyat Singapura menghadapi kenaikan kos di tengah krisis tenaga sejagat.
Mulai 23 April, Kumpulan FairPrice (FPG) menambah jumlah senarai asal 100 barangan keperluan harian kepada lebih 200 barangan tambahan.
Harga barangan ini akan dikekalkan sehingga 31 Mei, menurut peruncit tersebut.
Produk tambahan termasuk bijirin dan campuran kopi Nestle, mi bungkusan Kang Kang, syampu Head & Shoulders, sos dan perencah Lee Kum Kee serta ubat gigi Colgate.
Langkah ini melanjutkan pengumuman pembekuan harga awal FPG pada 8 April.
Senarai asal pembekuan harga, yang juga berkuat kuasa hingga 31 Mei, merangkumi 100 barangan keperluan seperti beras jenama FairPrice, minyak, telur dan ayam segar atau beku.
Langkah ini diambil apabila FPG bekerjasama dengan lebih 30 pembekal makanan dan runcit untuk memperluas sokongan kepada rakyat Singapura di tengah gangguan rantaian bekalan dunia akibat pertempuran di Timur Tengah.
Pembekal termasuk Nestle Singapore, Tan Seng Kee Foods, New Moon, Lee Kum Kee, Colgate dan Head & Shoulders.
Pada 23 April, Pengarah Eksekutif Tan Seng Kee Foods, Cik Annie Tan, menjelaskan usaha mengekalkan harga keperluan harian di tengah ketidaktentuan yang berlarutan merupakan cara syarikat itu membalas sokongan masyarakat sejak 1936.
Selain menggandakan diskaun pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) Biru dan Jingga daripada 3 peratus kepada 6 peratus, FPG turut memberikan pengecualian tambahan yuran perkhidmatan $3.99 bagi pesanan penghantaran dalam talian.
Diskaun dan manfaat penghantaran dalam talian ini ditawarkan hingga 28 Mei bagi pemegang kad Chas Biru dan hingga 29 Mei bagi pemegang kad Chas Jingga.
Diskaun Chas dibiayai oleh Yayasan FairPrice.
“Kami menyedari isi rumah menghadapi tekanan ekonomi berlarutan dan kekangan belanjawan runcit.
“Dengan meningkatkan jumlah barangan yang dibekukan harganya, kami bertekad membantu rakyat memanfaatkan sepenuhnya nilai perbelanjaan sepanjang tempoh ini,” kata Pengarah Urusan Produk FPG, Encik Leroy Seow.
Pelanggan yang layak boleh menikmati penjimatan ini melalui aplikasi FPG.
Pelanggan boleh berbuat demikian dengan mengesahkan maklumat melalui MyInfo dalam aplikasi FPG supaya diskaun, termasuk diskaun mingguan warga emas dan Chas, digunakan secara automatik semasa pembayaran.
Untuk maklumat lanjut mengenai pembekuan harga, layari laman FairPrice di pautan https://www.fairprice.com.sg/events/in-store/fairprice-price-freeze.
