Musim cuti hujung tahun biasanya merupakan tempoh yang menggembirakan, tetapi lain halnya pula bagi sesetengah individu yang tertekan kerana perlu membuat pelbagai persiapan cuti.
Satu tinjauan dalam talian yang dijalankan platform kedai makan Kopitiam on the Mileau mendapati 54 peratus penduduk Singapura rasa tertekan apabila tiba musim cuti akhir tahun disebabkan harga yang tinggi dan tempat awam yang semakin sesak.
Namun, 71 peratus daripada 500 individu yang ditinjau tetap makan di luar sekali hingga dua kali seminggu, dengan 61 peratus daripada golongan itu pula sering keluar untuk mencari makanan yang sederhana dan selesa untuk bersama keluarga, terutama keluarga muda.
Dapatan itu menunjukkan betapa pentingnya makan di luar bagi warga Singapura.
Bagi mengekalkan kegiatan itu, Kopitiam melancarkan kempen, Take A Break, untuk mengingatkan orang ramai tentang kepentingan mengambil masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Pengunjung Lau Pa Sat boleh mencuba permainan karusel, Take A Break, dan mesin cekau atau ‘claw machine’ Catch A Break pada Disember.
“Kami mengambil berat akan keperluan pelanggan dan kami sedia maklum kegiatan keluar makan bersama orang tersayang merupakan sesuatu yang bermakna.
“Maka, pada musim cuti ini, kami mahu mencipta pengalaman yang boleh pelanggan nikmati supaya mereka dapat Take A Break (berehat),” kata Cik Pauline Png, pengarah inovasi pelanggan dan pemasaran (perkhidmatan makanan) FairPrice Group.
Selain itu, sepanjang musim cuti Krismas hingga Tahun Baru Cina, pelanggan Kopitiam berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah apabila menggunakan Linkpoints.
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan mengunjungi laman web Kopitiam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg