Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FairPrice Group agih 200 hamper kepada golongan berpendapatan rendah

Apr 21, 2024 | 11:04 AM
(Dari kanan) Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok, Encik Murali Pillai dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan, Encik Ng Chee Meng mengagihkan hamper kepada Encik Senin Ahmad (membelakang kamera) sempena acara ‘Block Party’ anjuran FairPrice Group pada 20 April.
(Dari kanan) Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok, Encik Murali Pillai dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan, Encik Ng Chee Meng mengagihkan hamper kepada Encik Senin Ahmad (membelakang kamera) sempena acara ‘Block Party’ anjuran FairPrice Group pada 20 April. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi pesara Encik Senin Ahmad dan isteri, yang enggan namanya disiarkan, hamper sumbangan FairPrice Group (FPG) yang mengandungi keperluan harian bernilai $20 memberikan sedikit kelegaan buat mereka.

Apa tidaknya, bapa tiga orang anak berusia 76 tahun itu – yang tinggal berduaan dengan isteri di unit empat bilik di Bukit Batok Street 11 – berkata makanan itu dapat menampung beliau dan isterinya untuk sekurang-kurangnya seminggu.

Beliau menjelaskan: “Ini kali kami dapat jimat sedikit wang perbelanjaan makan. Kami pun ada juga terima bantuan makanan bulanan daripada salah satu pertubuhan (badan Melayu/Islam).”

Mereka merupakan antara penerima hamper dalam acara ‘Block Party’ anjuran FPG – ditubuhkan pada 2019, ia merangkumi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) FairPrice, Kopitiam, NTUC Foodfare dan NTUC Link – di Gelanggang Bola Keranjang bersebelahan Blok 162 Bukit Batok Street 11 pada 20 April.

Acara itu diadakan sempena perayaan Hari Raya dan merupakan antara usaha FPG untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

FPG mengagihkan 100 hamper kepada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di daerah Bukit Batok Street 11.

Ia dihadiri tetamu terhormat Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, dan penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok, Encik Murali Pillai.

Dalam ucapannya, Encik Pillai berkata: “Kami (penduduk Bukit Batok) bertuah kerana dengan adanya rakan kongsi seperti NTUC FairPrice, kami dapat memberi anda sokongan.

“Lebih-lebih lagi kita sedang hadapi isu serius seperti kos sara hidup (yang tinggi). Jadi inilah cara kita melakukannya di Singapura – anda tidak bersendirian.”

Pada sebelah pagi, acara yang sama juga diadakan di kolong Blok 118 Bedok North Street 2, dengan 100 hamper turut diberikan kepada penduduk berpendapatan rendah di kawasan itu.

Menurut pihak penganjur, sekitar 1,000 penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan lokasi acara hadir bagi kededua acara ‘Block Party’ FPG.

Pelbagai aktiviti turut disajikan bagi hadirin seperti lukisan inai di tangan secara percuma dengan setiap pembelian $20 dari lori FairPrice on Wheels.

Kemudahan yang diperkenalkan pada 2020 semasa pandemik Covid-19 itu meronda ke kawasan perumahan terpilih, terutama kawasan dengan bilangan besar keluarga berpendapatan rendah dan warga tua.

Ia mampu memuatkan hampir sekitar 200 produk termasuk buah-buahan segar dan sayur-sayuran serta produk sejuk dan beku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg