FairPrice Group telah memohon maaf selepas seorang wanita mendakwa menemui seekor ulat dalam ikan salmon yang dibelinya dari salah satu cawangan FairPrice di Bedok North.
Dalam satu kenyataan pada 19 Ogos, rangkaian pasar raya itu berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut bersama pembekalnya.
Kejadian itu juga telah dilaporkan kepada Agensi Makanan Singapura (SFA), yang sedang menjalankan siasatan sendiri.
Wanita tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Liz, memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa beliau telah membeli sebungkus salmon bertulang yang ditawarkan pada harga diskaun pada 12 Ogos.
Menurut resit yang dilihat ST, wanita itu membeli empat barang terdiri daripada tiga bungkus kubis Cina dan sebungkus salmon pada sekitar 11.25 malam pada 12 Ogos.
Kesemua barang itu berharga $5.47.
Liz memberitahu ST bahawa ibunya telah memasak salmon itu pada 15 Ogos. Beliau memakannya pada malam sama dan hanya menyedari sesuatu yang tidak kena ketika sedang makan.
“Saya rasa ibu bapa saya tidak makan bahagian tulang salmon yang digoreng itu. Saya makan dua setengah keping.
“Separuh terakhir itulah yang mengandungi ulat,” katanya kepada ST, sambil menambah bahawa ulat itu kelihatan berwarna putih dan “sangat panjang”.
Beliau kemudian mengukurnya dengan pembaris dan mendapati panjangnya ialah 6.5 sentimeter.
Liz, yang berusia 40-an dan bekerja dalam bidang transformasi proses, berkata beliau mengalami kembung perut selepas makan salmon itu tetapi tidak mendapatkan rawatan doktor kerana tidak mengalami cirit-birit.
SFA mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat kejadian itu.
“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Sementara SFA melaksanakan dan menguatkuasakan langkah kawal selia, pengendali makanan juga mesti memainkan peranan mereka dengan mematuhi amalan kebersihan dan penyediaan makanan yang baik,” kata SFA.
Jurucakap FairPrice Group berkata:
“Kami memohon maaf atas kesulitan dan kecemasan yang dialami pelanggan kami dan telah menghubunginya bagi menangani kebimbangannya.”
Jurucakap itu menambah bahawa FairPrice memandang serius terhadap keselamatan dan mutu makanan, serta berkata makanan yang dijual di pasar raya FairPrice adalah selamat untuk dimakan sekiranya dikendalikan dan dimasak dengan baik di rumah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg