Peranan asatizah wanita Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) amat diperlukan, terutama sekali dalam dunia yang pesat berubah, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menurutnya, asatizah wanita membolehkan campur tangan dan pemahaman unik tentang faktor kompleks yang mendorong fenomena radikalisasi dalam kalangan wanita dan belia, sesuatu yang penting dalam membantu menentang daya tarikan ekstremisme.
Berucap di Rahat RRG ke-20 di Mandai Rainforest Resort yang bertema, ‘Peranan Wanita dalam Extremisme Ganas (CVE): Memperingati 20 tahun Perkhidmatan dari Hati oleh Ustazah RRG’ pada 24 Jun, Dr Faishal berkata:
“Sejak dua dekad ini, kita telah melihat persekitaran ancaman domestik kita berkembang secara mendadak.
“Walaupun RRG bermula dengan menangani ancaman pelampau Islam daripada anggota kumpulan pengganas, khususnya JI (Jemaah Islamiyah), kepakaran RRG terpaksa disesuaikan untuk menangani ancaman radikalisasi diri, daripada pelbagai ideologi pelampau yang ganas,” kata beliau.
Asatizah wanita RRG telah dilibatkan dalam menasihati isteri dan anak-anak anggota JI di Singapura mulai 2005, melengkapi mereka dengan pengetahuan agama dan daya ketahanan yang diperlukan bagi menyokong suami mereka semasa ditahan dan selepas dibebaskan.
Kisah kejayaan bekas anggota JI yang telah dipulihkan dan disepadukan semula ke dalam masyarakat menunjukkan kepentingan peranan asatizah wanita, kata Dr Faishal, sambil berkongsi bagaimana bekas anggota JI tersebut menjadi rakyat berjaya dan bertanggungjawab.
Selain itu, beliau menambah, profil individu yang menjadi radikal juga telah berkembang termasuk wanita, dan bilangan belia turut meningkat.
Memberi contoh, Dr Faishal merujuk kepada remaja perempuan berusia 15 tahun yang berhasrat menikahi anggota ISIS, membesarkan keluarga pro-ISIS dan sanggup berjuang untuk kumpulan itu di Syria.
Remaja itu merupakan remaja perempuan pertama yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari 2025.
Turut membimbangkan, kata Dr Faishal, adalah bagaimana 17 belia telah ditangani di bawah ISA dalam tempoh sedekad, dengan dua pertiga daripadanya dikesan dalam tempoh lima tahun lalu.
Dr Faishal menambah, dalam dunia yang semakin saling berkait, percambahan bahan pelampau dan fenomena ‘echo chamber’, atau ruang gema, telah memudahkan dan mempercepatkan radikalisasi belia.
Ruang gema membawa maksud apabila seseorang hanya menemui maklumat atau pendapat yang mencerminkan dan menguatkan pandangan mereka.
Justeru, adalah penting bagi RRG meneruskan kerja dalam pemulihan belia, untuk mengelakkan mereka daripada didoktrinkan oleh ideologi pelampau.
Di samping itu, skop sumbangan asatizah wanita juga telah berkembang dengan ketara melangkaui kerja teras kaunseling agama.
Antaranya, kini mereka memberi bimbingan kepada pekerja migran, selain membangunkan Manual Kaunseling dan Pementoran Belia RRG serta mencipta kandungan antiradikalisasi dalam talian secara aktif.
“Para asatizah kita memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan kepada masyarakat.
“Masyarakat Islam Singapura sentiasa menunjukkan ketabahan dalam mengharungi pelbagai cabaran, dan para sukarelawan RRG adalah contoh yang terbaik.
“Usaha anda semua mencerminkan semangat gotong-royong dan menggambarkan keunggulan Singapura sebagai sebuah negara di mana rakyat daripada pelbagai latar belakang, bekerjasama dengan pemerintah untuk memperteguh dan melindungi cara hidup kita bersama,” kata Dr Faishal.
Dalam pada itu, beliau berharap agar RRG dapat mengambil pendekatan fleksibel untuk memberi tumpuan terhadap menangani takrifan radikal tertentu dan menawarkan tingkah laku prososial alternatif, selain membincangkan tujuan agama yang lebih tinggi dan membezakan pegangan asas daripada aspek yang boleh disesuaikan.
“
“Sejak dua dekad ini, kita telah melihat persekitaran ancaman domestik kita berkembang secara mendadak. Walaupun RRG (Kumpulan Pemulihan Keagamaan) bermula dengan menangani ancaman pelampau Islam daripada anggota kumpulan pengganas, khususnya JI (Jemaah Islamiyah), kepakaran RRG terpaksa disesuaikan untuk menangani ancaman radikalisasi diri, daripada pelbagai ideologi pelampau yang ganas.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg