Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Belia perlu celik digital, fikiran kritikal bagi tangani ancaman radikalisasi diri

Nov 17, 2025 | 4:52 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan) beramah mesra dengan para pelajar dari sekolah madrasah dan sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) yang merangkumi (dari kiri) Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi; Nur Alya Nabilah Muhammad Farid; Dhiya’ Ulfah Mohammad Rizal; Djie Atria; Sophia Or Wei Yin; Koo Zi Han; dan Kieran Teng Kai Le di Seminar Madrasah Kelapan yang diadakan di Madrasah Aljunied yang terletak di Victoria Lane pada 17 November.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan) beramah mesra dengan para pelajar dari sekolah madrasah dan sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) yang merangkumi (dari kiri) Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi; Nur Alya Nabilah Muhammad Farid; Dhiya’ Ulfah Mohammad Rizal; Djie Atria; Sophia Or Wei Yin; Koo Zi Han; dan Kieran Teng Kai Le di Seminar Madrasah Kelapan yang diadakan di Madrasah Aljunied yang terletak di Victoria Lane pada 17 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Adalah penting untuk belia diperkasakan dengan kemahiran celik digital, pemikiran kritikal, dan kesedaran etika memandangkan kecerdasan buatan (AI) sedang membentuk landskap ancaman dan telah pun muncul dalam beberapa kes radikalisasi diri melibatkan golongan belia di Singapura.

Demikian yang dikatakan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa berucap di sesi dialog tertutup bersama pelajar dari sekolah madrasah dan sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) pada 17 November.

Seminar yang diadakan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang terletak di Victoria Lane itu bertujuan memberi inspirasi kepada para peserta untuk memahami potensi dan risiko AI, di samping memperkukuh nilai-nilai Islam seperti tanggungjawab dan kearifan.

Seramai 160 pelajar menengah peringkat atas dan pra-universiti dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah hadir di seminar tersebut.

Pelajar daripada tiga Sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) iaitu Sekolah Tinggi Dunman (DHS), Sekolah Tinggi Chung Cheng, dan Institusi Hwa Chong juga turut serta dalam seminar yang bertemakan “#Klik untuk Berubah: Belia, AI, dan Extremisme dalam Talian”.

Bermula sejak 2010, seminar dwitahunan tersebut dianjurkan bersama oleh Madrasah Aljunied dan Madrasah Wak Tanjong, dan disokong oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Berucap sebelum sesi dialog tertutup diadakan, Dr Faishal menekankan bagaimana kumpulan ekstremis dan pihak berniat jahat semakin menggunakan alat berasaskan AI untuk menyebarkan ideologi pengganasan dan menyasarkan golongan belia yang terdedah.

“Kumpulan ekstremis dan pelaku berniat jahat kini menggunakan alat berasaskan AI untuk menghasilkan propaganda yang meyakinkan, menyebarkan maklumat salah, dan menyamar sebagai suara yang dipercayai.

“AI boleh meluaskan penyebaran dan kecanggihan kandungan radikal, menjadikannya lebih sukar untuk dikenal pasti dan dipadamkan, dan lebih sukar lagi bagi minda muda untuk membezakan antara kebenaran dengan manipulasi,” jelas beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Beliau menukil beberapa contoh penggunaan tidak baik oleh belia yang membawa kepada tindakan pengganasan, antaranya, kes seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan pada Ogos 2024, yang menggunakan chatbot AI untuk mengambil bai’ah atau berikrar kepada kumpulan militan ISIS.

Dalam kes lain, seorang remaja 17 tahun yang memegang ideologi kanan pula menyelidik pembelian senjata dalam talian dan meneroka pencetakan 3D untuk mendapatkan bahagian alat senjata.

Dr Faishal berkata sejak 2015, terdapat lebih 12 kes yang membabitkan belia Singapura bawah usia 21 tahun yang menjadi radikal, dengan yang termuda berusia hanya 14 tahun.

Menyifatkan kes-kes sedemikian sebagai “bukan kisah jauh” daripada Singapura, Dr Faishal berkata mereka yang ditangkap merupakan anak muda Singapura yang menjadi radikal selepas mereka terdedah kepada kandungan ekstremis dalam talian.

“Kadangkala, ia bermula dengan pencarian identiti dan rasa kebersamaan, atau rasa simpati terhadap penderitaan di kawasan konflik.

“Namun, dalam talian, mereka menemui naratif yang direka untuk mengeksploitasi emosi dan menyebarkan keganasan.”

“Kita campur tangan bukan untuk menjejaskan masa depan belia, tetapi untuk membawa mereka kembali ke arus perdana dan menyelamatkan mereka daripada mencederakan diri sendiri dan orang lain,” kata Dr Faishal.

Seminar tersebut turut menampilkan pertandingan video pendek yang membolehkan para pelajar madrasah meluahkan secara kreatif bagaimana AI boleh dimanfaatkan untuk mengekang ekstremisme dalam talian.

Menurut satu kenyataan media pada 17 November, Madrasah Aljunied berkata aktiviti tersebut bertujuan memupuk penghasilan kandungan yang bertanggungjawab, mengasah pemikiran kritikal, dan memberi pengaruh positif dalam talian.

Menyentuh tentang usaha ini, Dr Faishal berkata pertandingan video pendek itu adalah satu pendekatan yang membentuk belia berdaya tahan dan beretika.

“Ini adalah satu langkah yang sangat progresif dan positif untuk pembangunan belia kita, serta bagi masyarakat dan negara kita.

“Melalui aktiviti seperti ini, kita memupuk ketahanan, menggalak keamanan, dan memberi inspirasi pengaruh positif dalam talian, menangkis naratif kebencian dengan kisah-kisah empati, tanggungjawab, dan harapan,” kata Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg