Faishal: Buku panduan Perancangan Legasi Islam versi Tamil bakal dilancar pada 2026
Faishal: Buku panduan Perancangan Legasi Islam versi Tamil bakal dilancar pada 2026
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan mengeluarkan versi Tamil buku panduan Perancangan Legasi Islam (ILP), ‘The Final Amanah’, pada tahun ini (2026) untuk meningkatkan aksesibiliti sumber ILP kepada masyarakat India/Islam.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen (AP) Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) pada 26 Februari.
Encik Muhaimin telah bertanya sama ada Muis merancang bekerjasama dengan Pertubuhan India/Islam (IMO) untuk menganjurkan edisi khusus masyarakat India/Islam bagi Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV).
Beliau juga bertanya bagaimana Muis bekerjasama dengan IMO untuk memudahkan bengkel perancangan legasi Islam yang disesuaikan dengan masyarakat India/Islam.
Dalam jawapannya, Dr Faishal berkata Muis bekerjasama rapat dengan IMO dan pemimpin India/Islam, melalui Jawatankuasa Pemandu Masyarakat India/Islam, untuk meningkatkan kesedaran tentang program ILP dalam masyarakat India/Islam.
“Ini termasuk melatih duta India/Islam dan pegawai masjid untuk memberi panduan mengenai perkara ILP.
“Muis menggalak masyarakat Islam Singapura, termasuk masyarakat India/Islam, untuk memulakan ILP lebih awal,” kata Dr Faishal.
Beliau menambah Muis telah melantik Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW), yang merangkumi seorang ahli yang mewakili masyarakat India/Islam, untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran tentang ILP menerusi kempen seperti ILPV.

