Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Dialog BH-ZB sedia platform bermakna bincang isu Gaza dari lensa warga S’pura

Oct 8, 2025 | 4:06 PM
Gaza, Faishal, perbincangan
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) dalam bahagian kedua siri dialog terbuka ‘Gaza Dari Lensa Kita’ anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB). Bersama beliau ialah Ketua Media Sosial BH, Cik Siti Aisyah Nordin (kanan); dan Editor Berita Bersekutu ZB, Cik Wong Siew Fong, selaku moderator. - Foto ZAOBAO

Perbincangan berhubung isu rumit dan mencabar seperti konflik Gaza tidak selalu mudah, namun perlu demi mendalami pemahaman isu tersebut, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam satu catatan Facebook pada 7 Oktober, Dr Faishal berkata beliau berterima kasih dapat mengambil bahagian dalam siri dialog terbuka Gaza Dari Lensa Kita, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB), di mana beliau berkongsi pandangannya dan pendekatan pemerintah mengenai isu Gaza.

Namun, juga sama penting, Dr Faishal berkata beliau dapat mendengar perspektif berbeza rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang hasil perbincangan yang diadakan berkenaan isu Gaza itu.

“Mendengar pandangan yang pelbagai itu mengingatkan saya betapa pentingnya bagi kita mendekati satu sama lain, secara hormat dan dengan empati.

“Perbincangan ini tidak selalu mudah, tetapi adalah perlu jika kita mahu mendalami pemahaman kita tentang isu itu,” kata beliau.

Siri dialog terbuka Gaza Dari Lensa Kita itu – kerjasama yang pertama seumpamanya antara BH dengan ZB – menampilkan video dalam dua bahagian.

Bahagian yang pertama mengumpulkan enam peserta daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi perspektif masing-masing mengenai situasi Gaza dan kesannya ke atas masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.

Bahagian kedua pula menampilkan Dr Faishal, yang berkongsi pandangannya tentang inti pati perbincangan enam peserta tersebut.

Dalam video itu, Dr Faishal, antara lain, telah berkata bahawa Singapura akan melakukan yang terbaik untuk membantu dan berusaha membawa perubahan dalam isu konflik Gaza, namun ini mesti dilaksanakan dengan mengutamakan kepentingan nasional.

Selain itu, beliau berkata rakyat Singapura bebas meluahkan pandangan mereka mengenai konflik Gaza, namun mereka harus mempertimbangkan sentimen masyarakat berbilang kaum dan agama negara ini ketika berbuat demikian.

Rakaman siri dialog itu kini boleh ditonton di laman web BH dan menerusi akaun YouTube rasmi.

Dr Faishal mengucapkan terima kasih kepada BH dan ZB kerana menyediakan platform tersebut untuk mengadakan pertukaran pandangan dan pemahaman mengenai isu Gaza.

“Saya meninggalkan dialog dengan perasaan rendah hati dan terinspirasi – rendah hati dengan semangat dan keprihatinan semua yang mengambil bahagian dan mendapat inspirasi oleh bagaimana kita boleh belajar daripada satu sama lain dengan keterbukaan dan rasa hormat,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg