Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Luah pandangan tentang Gaza secara bebas, namun prihatin sentimen berbilang kaum

Faishal: Dalam memperjuangkan Gaza dan Palestin, keselamatan dan kepentingan negara perlu diutama
Oct 7, 2025 | 5:30 AM
Faishal, dialog terbuka ‘Gaza Dari Lensa Kita’, BH, ZB
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, memberi reaksi terhadap intipati perbincangan enam warga Singapura daripada pelbagai latar belakang berkenaan situasi di Gaza dan kesannya ke atas masyarakat Singapura berbilang kaum dan agama dalam bahagian kedua siri dialog terbuka ‘Gaza Dari Lensa Kita’ anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB).  - Foto ZAOBAO

Rakyat Singapura bebas meluahkan pandangan mereka mengenai konflik Gaza, namun mereka harus mempertimbangkan sentimen masyarakat berbilang kaum dan agama negara ini ketika berbuat demikian, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan dan kepentingan nasional Singapura perlu diutamakan dalam apa jua yang dilakukan, sama ada dalam perbincangan dan luahan pandangan mengenai isu Gaza mahupun dalam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mereka.

“Apa yang penting adalah bagi kita bersikap objektif, bagi kita benar-benar melihat isu tersebut, apakah perbezaan yang boleh kita lakukan, dan pada masa yang sama, melindungi kepentingan kita sendiri.

“Meskipun kita mempunyai pandangan mengenai isu tersebut, kita tidak boleh berkompromi dengan kepentingan negara kita,” kata beliau.

Dr Faishal berkata demikian dalam bahagian kedua siri dialog terbuka Gaza Dari Lensa Kita, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB).

Dalam bahagian kedua itu, Dr Faishal telah memberi reaksi terhadap intipati perbincangan enam warga Singapura daripada pelbagai latar belakang – yang dirakam dalam bahagian pertama – berkenaan situasi di Gaza dan kesannya ke atas masyarakat Singapura berbilang kaum dan agama.

Rakaman video kedua-dua bahagian itu boleh ditonton di laman web BH dan menerusi akaun YouTube rasmi.

Lebih 66,000 warga Palestin, termasuk kanak-kanak, telah terkorban dalam konflik di Gaza itu setakat ini, yang tercetus selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, manakala yang lain pula berada di ambang kebuluran.

Pemerintah Singapura telah mengecam pembunuhan orang awam yang tidak bersalah di Gaza, sambil menyifatkan tindak balas Israel sebagai keterlaluan – seperti yang diutarakan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di Parlimen pada 22 September.

Dalam sidang Parlimen pada hari yang sama itu, Dr Faishal turut menyatakan bahawa tindakan Israel adalah tidak wajar dan mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta “sudah tentu bertentangan dengan moral” dan “telah melampaui batas”.

Sejak berlakunya konflik itu, pemerintah telah mendekati pelbagai segmen masyarakat dan kumpulan yang berbeza untuk berbincang tentang keadaan di Gaza dan menyediakan ruang yang selamat dan membina bagi rakyat Singapura meluahkan perasaan dan pandangan mereka.

Ini seperti melalui sesi pendekatan anjuran unit maklum balas pemerintah Reach, dialog tertutup dengan pemimpin dan anggota masyarakat pelbagai agama, dan Pesta Filem Palestin yang diadakan pada 2024.

Pemerintah bagaimanapun berpendirian bahawa permit tidak akan diberikan bagi acara awam dan perhimpunan yang berkaitan dengan konflik Israel-Hamas, seperti dinyatakan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam jawapannya kepada soalan Parlimen pada 2024.

Dalam bahagian kedua siri Gaza Dari Lensa Kita itu, Dr Faishal berkata walaupun pemerintah tidak menghalang sesiapa daripada meluahkan dan berkongsi pandangan mereka mengenai Gaza, perhimpunan atau perarakan secara fizikal tidak dibenarkan.

Ini kerana pengalaman di negara lain telah menunjukkan bahawa walaupun perhimpunan yang dianjurkan bermula dengan niat baik dan damai, ia kadangkala boleh membawa kepada kejadian yang tidak diingini.

Namun, perbincangan yang diadakan dalam ruang selamat dan peluang yang telah disediakan bagi orang ramai menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza dalam cara yang aman, membina dan bermakna telah membolehkan rakyat lebih memahami satu sama lain dan juga sebab mengapa pemerintah melakukan sesetengah perkara dan mengutamakan kepentingan nasional.

“Melalui pendekatan dan dialog yang diadakan secara membina dan bermakna, kita boleh melakukan lebih banyak lagi, dan pada masa yang sama, kami akan melakukan lebih lagi untuk membantu rakyat Gaza,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg