Apabila jam berdetik 12 tengah hari di Pusat Penamaan Calon Sekolah Kong Hwa pada Hari Penamaan Calon pada 23 April, beliau tidak percaya dengan keputusan menang tanpa bertanding atau ‘walkover’.
Sejak 11.20 pagi, beliau tenang menanti sama ada wakil parti pembangkang akan hadir bagi mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Namun, penantian itu berakhir dengan tiada pencabar.
Begitulah perasaan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang kini merupakan Anggota Parlimen (AP) terbaru untuk GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Dalam wawancara khas bersama Berita Harian (BH) di Pasar Geylang Serai pada 24 April, beliau menyifatkan kemenangan tanpa bertanding itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai – satu fenomena yang jarang berlaku dalam landskap politik masa kini.
Berkongsi lanjut mengenai keadaan pada Hari Penamaan Calon, Dr Faishal berkata:
“Kami tenang. Ini kali kelima saya bertanding dalam Pilihan Raya, dan alhamdulillah saya tenang.
“Minit demi minit sehingga masa penghabisan pada 12 tengah hari, rasa macam tidak percaya. ‘Betul ke ‘walkover’?’ Kami pun tidak sangka.”
Ini adalah kali pertama sejak 2011, Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang tanpa bertanding. Pada tahun itu, PAP memenangi GRC Tanjong Pagar tanpa bertanding.
Sebelum ini, pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights dijangka menghadapi tentangan daripada pasukan Parti Pekerja (WP).
WP telah bertanding di GRC Marine Parade pada 2020 dan memperoleh 42.26 peratus undi – kalah kepada PAP yang memenangi 57.74 peratus undi.
Lazimnya, sesebuah pasukan boleh berehat selepas meraih kemenangan.
Namun tidak bagi pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Kurang 24 jam selepas diumumkan menang tanpa bertanding, pasukan yang terdiri daripada Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Cik Tin Pei Ling; serta dua muka baru, Cik Diana Pang dan Encik Goh Pei Ming; itu dilihat memperkenalkan diri kepada penduduk di GRC tersebut.
Mereka dilihat berpecah untuk bertemu penduduk di beberapa kawasan berbeza pada 24 April.
Dr Faishal turun padang ke Pasar Geylang Serai dan Marine Terrace untuk beramah-tamah dengan penduduk, bahkan sempat berbual dan bergambar bersama pelanggan di Pasar Geylang Serai.
Sebelum ini, BH melaporkan beliau dikenali sebagai ‘pemikat mak cik’ di Nee Soon – gelaran yang mungkin sedang dibina di kawasan baru itu, apabila ramai pelanggan dilihat meminta bergambar dengannya.
Menurutnya, sebelum Hari Penamaan Calon, beliau berbesar hati penduduk di GRC Marine Parade-Braddell Heights masih lagi mengingatinya.
Kawasan itu juga bukan asing untuk Dr Faishal.
Beliau pernah menjadi AP di GRC Marine Parade ketika pertama kali bertanding dalam GE2006.
Ketika itu, pasukan yang dianggotai oleh Dr Faishal itu juga terdiri daripada Encik Goh Chok Tong, Encik Ong Seh Hong, Encik Seah Kian Peng, Encik Lim Biow Chuan dan Profesor Madya Fatimah Lateef.
Menariknya, kemenangan pertama beliau ketika itu juga diperolehi tanpa pertandingan.
Selepas itu, beliau berkhidmat di GRC Nee Soon selama tiga penggal.
Apabila ditanya sama ada kepulangannya ke kawasan itu menggamit kenangan, Dr Faishal menjawab:
“Terdapat imbas kembali terutama sekali apabila saya diberitahu Perdana Menteri (Encik Lawrence Wong) ingin saya kembali (ke Marine Parade).
“Jadi, ini satu fenomena yang walaupun saya pernah alami, ia mempunyai pelbagai makna.”
Walaupun mereka memenangi kawasan itu tanpa bertanding, Dr Faishal berkata pasukannya sudah memulakan usaha berkhidmat kepada masyarakat.
“Yang penting, kami akan terus bersama penduduk di sini untuk membangunkan masyarakat yang lebih baik… walaupun ia (kemenangan) adalah satu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan,” katanya.
Dr Faishal menambah bahawa bagi mereka, kerja tetap diteruskan.
“Kami telah memastikan bahawa ‘walkover’ atau tidak, kami akan terus mendekati mereka (penduduk).
“Kerja kami tidak berhenti. Tumpuan kami adalah kemaslahatan penduduk di Marine Parade,” ujarnya.
Berkongsi mengenai langkah seterusnya, beliau akan membantu calon PAP di kawasan lain untuk mengadakan program pendekatan bagi penduduk Melayu/Islam.
Di samping itu, beliau akan menyediakan wadah untuk mendekati penduduk di kawasannya, seperti di Kembangan, Ubi, Eunos, Haig Road, dan pusat penjaja seperti Pasar Geylang Serai dan Eunos Crescent.
“Saya akan bekerjasama dengan rakan-rakan saya untuk melihat bagaimana kami boleh menyediakan wadah bagi saya mendekati penduduk Melayu/Islam serta bagaimana kami boleh melestarikan program ini,” katanya.
Beliau berazam untuk menyediakan wadah pendekatan masyarakat, termasuk mengadakan sesi seperti ‘teh tarik bersama penduduk’ yang pernah dianjurkannya di Nee Soon.
Beliau turut mahu membangunkan jalur budaya di Geylang Serai dan meningkatkan kerjasama antara masyarakat dengan agensi tempatan, selaku penasihat utama Wisma Geylang Serai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg