Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, ingin membuka lebih banyak ruang untuk penduduk, khususnya masyarakat Melayu/Islam, untuk menyuarakan keprihatinan mereka kepadanya dengan lebih mudah.
Malah, jika diberi peluang untuk berkhidmat di GRC Marine Parade-Braddell Heights, pengamal politik berpengalaman itu ingin menyepadukan program dan inisiatif dari pelbagai badan pemerintah dan agensi untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat Melayu/Islam.
Ketika ditanya bagaimana penduduk boleh mengutarakan masalah mereka dengannya, Dr Faishal berkata: “Boleh jumpa saya, sama-sama kita minum teh. Tidak ada masalah pun tidak apa, kita boleh jumpa juga untuk beramah mesra dan mengenali antara satu sama lain”.
“Saya harap ini akan membuka lebih banyak ruang bagi saya untuk mengeratkan hubungan dengan mereka dan melihat apakah isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam di GRC Marine Parade-Braddell Heights dan juga kelompok Marine Parade,” kata Dr Faishal, 56 tahun.
Dr Faishal berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama Berita Harian (BH), bagi berkongsi rancangan beliau sekiranya diberikan mandat penduduk untuk terus berkhidmat pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pada 20 April, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, mengumumkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025, serta bakal calon bagi SMC Mountbatten.
Pasukan lima anggota PAP itu terdiri daripada Dr Tan, Dr Faishal, Encik Seah Kian Peng, Cik Tin Pei Ling, dan seorang muka baru, Cik Diana Pang.
Seorang lagi muka baru, Cik Gho Sze Kee, akan bertanding di SMC Mountbatten, menggantikan mantan Timbalan Speaker Parlimen, Encik Lim Biow Chuan.
Dr Faishal berkata beliau akan “membina dari kekuatan yang ada” dan akan meningkatkan kolaborasi antara badan-badan di kelompok Marine Parade, khususnya di sepanjang Jalur Budaya Geylang Serai, untuk mendekati penduduk dan penjaja dengan lebih berkesan.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan aktivis-aktivis dan juga sukarelawan untuk melihat bagaimana kita boleh meningkatkan kolaborasi di antara akar umbi dengan Jalur Budaya Geylang Serai.
“Ada banyak nilai-nilai kebudayaan dan wadah untuk memberikan ruang bagi masyarakat kita membangun dan menggunakan Jalur Budaya Geylang Serai dalam pendekatan kita,” kata Dr Faishal, yang juga Penasihat Utama Wisma Geylang Serai (WGS).
Beliau juga ingin membuka lebih banyak ruang bagi masyarakat untuk memahami dasar dan juga program yang telah disediakan oleh badan pemerintah, badan swasta dan badan sosial.
Menambah, Dr Faishal berkata beliau berharap pengalamannya dalam arena politik dan berkhidmat enam kementerian, dapat digunakan untuk memanfaatkan penduduk di Marine Parade.
Beliau menukil pengalaman berharganya dari Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Beliau turut berkongsi reaksi awal apabila mendapat tahu beliau akan dikeluarkan dari GRC Nee Soon.
Katanya, beliau tidak sangka Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong akan memintanya keluar dari GRC Nee Soon selepas 14 tahun berkhidmat di sana.
Beliau juga akur, saingan di GRC Marine Parade-Braddell Heights dijangka lebih sengit berbanding GRC Nee Soon.
Meskipun demikian, Dr Faishal berkata beliau menerima keputusan itu dengan rela hati kerana beliau memahami tanggungjawab penting oleh parti untuk terus mempereratkan hubungan baik dengan penduduk di kelompok Marine Parade, seperti mana beliau telah melakukan sebelum ini di GRC Nee Soon.
“Saya terperanjat kerana saya tak sangka yang saya akan kembali ke sini. Penduduk-penduduk di Nee Soon dengan saya sudah jadi macam kawan, bukan macam AP (Anggota Parlimen) dengan penduduk.
“Tapi apabila PM beritahu saya untuk pulang ke Marine Parade untuk bertanding, saya rasa ini adalah satu tanggungjawab dan saya terus beritahu beliau bahawa saya boleh,” kata Dr Faishal, yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum yang kelima pada 2025.
“
“Boleh jumpa saya, sama-sama kita minum teh. Tidak ada masalah pun tidak apa, kita boleh jumpa juga untuk beramah mesra dan mengenali antara satu sama lain. Saya harap ini akan membuka lebih banyak ruang bagi saya untuk mengeratkan hubungan dengan mereka dan melihat apakah isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam di GRC Marine Parade-Braddell Heights dan juga kelompok Marine Parade.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg