Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Etomidate disenarai di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana situasi mendesak di S’pura

Sep 26, 2025 | 10:51 PM
Singapura sedang berdepan masalah serius melibatkan vape yang dicampur dengan etomidate, juga dikenali sebagai Kpod.
Singapura sedang berdepan masalah serius melibatkan vape yang dicampur dengan etomidate, juga dikenali sebagai Kpod. - Foto fail

Pemerintah memutuskan untuk menyenaraikan etomidate di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) buat sementara disebabkan situasi yang dianggap mendesak.

Langkah ini tidak kekal kerana lebih banyak kajian tentang bahaya dan potensi ketagihan bahan tersebut masih diperlukan, lebih-lebih lagi dengan hukuman berat di bawah MDA.

Namun, penyenaraian sementara itu perlu dilakukan untuk mengukuhkan undang-undang sedia ada dalam menangani isu vape, termasuk yang mengandungi bahan berbahaya seperti etomidate, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, di Parlimen, pada 26 September.

Singapura sedang berdepan masalah serius melibatkan vape yang dicampur dengan etomidate, juga dikenali sebagai Kpod.

Situasi itu dianggap amat membimbangkan sehingga pemerintah mengumumkan pada 28 Ogos hukuman lebih berat akan dikenakan bagi mereka yang menyalahguna dan menyeludup etomidate, lapor The Straits Times (ST).

Di Parlimen, Encik Vikram Nair (GRC Sembawang) meminta penjelasan mengapa etomidate diklasifikasikan sebagai dadah Kelas C hanya untuk tempoh enam bulan – dari 1 September 2025 hingga 28 Februari 2026 – sedangkan sebelum ini ia dikawal di bawah Akta Racun.

Dr Faishal berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) amat berhati-hati dalam menyenaraikan sesuatu bahan di bawah MDA, memandangkan hukuman berat yang dikenakan di bawah akta itu.

Beliau menambah setiap bahan yang diusul untuk disenaraikan di bawah MDA dinilai dengan teliti, dan memerlukan bukti saintifik kukuh mengenai bahaya dan potensi ketagihan, sebelum pihak berkuasa membuat keputusan untuk menyenaraikannya.

“Kami juga merujuk kepada dadah yang disenaraikan di bawah konvensyen dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Memandangkan penyalahgunaan etomidate adalah sesuatu yang agak baru, buat masa ini bukti mengenai potensi ketagihan jangka panjangnya masih tidak mencukupi,” jelas Dr Faishal.

Dr Faishal menambah bahawa etomidate belum disenaraikan sebagai dadah terkawal di bawah konvensyen dadah PBB.

Namun, kerana situasi etomidate di Singapura dianggap mendesak, pemerintah memutuskan untuk menyenaraikannya di bawah MDA sebagai langkah sementara.

Langkah ini juga membolehkan pemerintah menahan penyalahguna, penjual dan pembekal etomidate di bawah kuasa perundangan yang dipertingkat, sementara Kementerian Kesihatan (MOH) meneliti usulan untuk melaksanakan perubahan perundangan kekal menjelang 28 Februari 2026.

Encik Vikram turut bertanya mengenai kesan buruk etomidate yang telah dikenal pasti.

Dr Faishal menjawab bahawa penyalahgunaan bahan tersebut dikaitkan dengan beberapa kesan psikologi dan fizikal yang serius, termasuk kecenderungan untuk bertindak membunuh diri, masalah pernafasan, dan ketidakseimbangan hormon.

Antara langkah dipertingkatkan yang diumumkan pada 28 Ogos termasuk pengimport Kpod boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat sehingga 15 kali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg