Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat, PR boleh didakwa jika salah guna etomidate di luar negara

Sep 22, 2025 | 6:05 PM
Vape, luar negara, didakwa
Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang didapati menyalahgunakan Kpod, rokok elektronik atau vape yang mengandungi bahan etomidate, di luar negara masih boleh didakwa di bawah undang-undang Singapura. - Foto ZAOBAO

Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang didapati menyalahgunakan bahan Kpod atau vape yang mengandungi etomidate di luar negara masih boleh didakwa di bawah undang-undang Singapura.

Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata hal ini berkuatkuasa memandangkan etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) sejak 1 September.

Etomidate, yang sepatutnya digunakan sebagai anestesia, digolongkan sebagai dadah Kelas C selepas ia semakin disalahgunakan melalui vape.

Beliau berkata warga Singapura dan PR boleh didakwa di bawah Seksyen 8A MDA, di mana penyalahguna bahan terlarang atau dadah di luar negara boleh didakwa seolah-olah kesalahan itu dilakukan di Singapura, sekiranya ujian air kencing didapati positif mengandungi bahan terlarang.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) SMC Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng, dalam Sidang Parlimen pada 22 September.

Encik Yip bertanya sama ada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mempertimbangkan untuk memperluaskan bidang kuasa luar daerah di bawah MDA berhubung penyalahgunaan Kpod oleh rakyat Singapura di luar negara.

“Dengan penyenaraian sementara etomidate dan analog berkaitan sebagai dadah terkawal Kelas C (di bawah MDA), bidang kuasa sama terpakai bagi mereka yang menyalahgunakan etomidate di luar negara,” ujarnya.

Mereka yang didapati menyalahgunakan etomidate kali pertama akan berdepan denda $700 bagi mereka berusia 18 tahun dan ke atas, atau $500 bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Mereka juga perlu menghadiri sesi pemulihan sehingga enam bulan.

Penyalahguna kali kedua perlu menjalani pengawasan mandatori selama enam bulan, termasuk ujian dadah dan pemulihan.

Penyalahguna Kpod kali ketiga atau lebih berusia 16 tahun dan ke atas akan menjalani rejim 12 bulan, termasuk rawatan di pusat pemulihan dadah diikuti dengan ujian dan penyeliaan dadah.

Mereka yang berumur di bawah 16 tahun berdepan dengan pengawasan mandatori dan ujian dadah selama setahun.

Sejak pemerintah mengambil pendekatan lebih keras terhadap penyalahgunaan vape dan etomidate, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), telah mematahkan 76 percubaan menyeludup vape secara besar-besaran di pusat-pusat pemeriksaan, dari 15 September 2024 hingga 14 September 2025.

Ini di samping 57 percubaan menyeludup vape melalui saluran pos, dengan lebih 500,000 vape dan komponen terkait dirampas oleh pihak berkuasa dalam kes-kes terbabit, tambah Dr Faishal.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, akur pemerintah perlu bertindak pantas bagi meleraikan dan menghentikan penyalahgunaan bahan dan dadah terlarang secepat mungkin, termasuk Kpod.

Namun dengan bahan-bahan baru yang menyelinap masuk ke dalam masyarakat, ia mungkin memerlukan masa untuk mengkaji bukti klinikal dan kesannya ke atas masyarakat, kata beliau.

Encik Ong berkata demikian sebagai menjawab soalan susulan oleh AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Christopher de Souza, jika pemerintah dapat bertindak lebih pantas demi mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk mengklasifikasikan etomidate sebagai Dadah Kelas C di bawah MDA.

“Kami (pemerintah) perlu bertindak sepantas mungkin kerana proses (mengenal pasti dan mengkaji) mengambil masa apabila bahan baru itu digunakan masyarakat.

“Kami perlu melihat siapa yang menyalahgunakan (bahan ini). Adakah ia akan bertapak dan mula tersebar luas?,” kata Encik Ong.

Beliau menukil dadah Ketamin sebagai contoh, dengan pihak berkuasa perlu mengenal pasti bukti klinikal, bahaya dan tahap ketagihan dadah itu, antara lain.

MOH sedang mengkaji pembentangan rang undang-undang baru pada suku pertama 2026 untuk memberikan pegawainya kuasa bertindak lebih pantas, katanya.

Beliau berkata: “Sungguhpun dengan ketiadaan data klinikal komprehensif mengenai unsur bahaya, ketagihan, kebergantungan, kami boleh mengambil tindakan terlebih dahulu di bawah kuasa (baru) MOH, dengan kerjasama agensi lain, untuk memerlukan pemulihan (dan) pengawasan mandatori.”

Beliau berkata 74 individu telah tampil menyertai program henti vape antara 1 dengan 14 September – meliputi program seperti QuitVape dan I Quit.

Beliau menambah sekitar 6,000 vape dan komponen terkait telah terkumpul antara 25 Julai dengan 31 Ogos melalui inisiatif Bin The Vape atau membuang vape di tong khusus serata Singapura sejak ia dilancarkan pada 25 Julai.

Encik Ong berkata demikian sebagai menjawab soalan AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berhubung jumlah vape dan komponen terkait yang telah terkumpul di bawah inisiatif tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg