Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim telah berhubungan dengan kontinjen Operasi Lionheart (OLH) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) melalui panggilan maya di ibu pejabat SCDF pada 4 April.
Diketuai oleh Ketua Pasukan OLH, Kolonel Tay Zhi Wei, kontinjen OLH seramai 80 anggota telah berada di Myanmar sejak 29 Mac untuk menjalankan operasi pencarian dan menyelamat susulan gempa bumi yang dahsyat.
Sejak itu, OLH sudah berlangsung selama tujuh hari, 150 jam selepas gempa di Myanmar berlaku.
Dalam video yang dimuat naik Dr Faishal di Facebooknya pada 5 April, beliau mengucapkan penghargaannya kepada kontinjen itu menerusi panggilan itu.
“Semasa perbualan kami, saya menyampaikan rasa terima kasih saya kepada kontinjen OLH atas usaha bersama mereka membantu dalam bencana di Myanmar, termasuk operasi bersama selama lapan jam dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyelamatkan seorang mangsa dari bangunan kediaman yang hampir runtuh di Naypyidaw,” tulisnya.
Dr Faishal juga sempat bertanyakan kesejahteraan kontinjen tersebut dan berbual dengan COL (NS) Raizan Abdul Razak.
COL (NS) Raizan merupakan salah seorang daripada 11 Anggota Perkhidmatan Negara Sedia Beroperasi (ORNSmen) SCDF yang dikerahkan ke Myanmar.
Sebagai Timbalan Ketua Pasukan, COL (NS) Raizan menegaskan kepentingan Latihan Dalam Kem mereka dan bagaimana ia memastikan ORNSmen mengekalkan kesiapsiagaan operasi untuk misi-misi seperti ini, kata Dr Faishal.
“Di sini, kami menghadapi kesukaran yang sukar dibayangkan sebagai seorang rakyat Singapura yang biasa.
“Setiap orang mempunyai pemahaman yang lebih baik mengapa kami perlu kembali ke latihan dalam kem (ICT), bagaimana alat berfungsi, mengapa kami begitu mengambil berat bila melakukan latihan NS kami,” ujarnya.
Dr Faishal turut mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pegawai Muslim di sana.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kontinjen OLH atas dedikasi mereka yang tidak berbelah bagi terhadap perkhidmatan.
“Jaga diri, dan kami menantikan kepulangan anda ke Singapura selepas misi ini,” tambah Dr Faishal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg