Interaksi antara pelajar Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dengan pelajar Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada masa depan adalah penting bagi melahirkan asatizah generasi baru yang mampu membimbing masyarakat Islam dalam persekitaran berbilang budaya di Singapura.
Malah, dengan kedua-dua institusi dibina berhampiran satu sama lain di Rochor, para pelajar juga dapat berkongsi kemudahan dan ruang sekaligus mewujudkan peluang bagi pelajar berinteraksi dan memperkaya kehidupan kampus mereka.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam responsnya kepada pengumuman Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaannya pada 17 Ogos.
“Saya sambut baik pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Bahasa Melayu beliau pada Rapat Hari Kebangsaan.
“Saya juga berbesar hati dengan pengumuman PM Wong mengenai penubuhan kampus khusus bagi SCIS yang akan dibina sebelah kampus SUSS di Rochor,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
PM Wong berkata bangunan berbeza untuk SCIS dan SUSS membolehkan dua institusi tersebut mencerminkan matlamat serta identiti unik masing-masing.
Kedua-dua institusi tersebut bukan sahaja boleh berkongsi kemudahan, malah pelajar SCIS boleh mengambil kursus sains kemasyarakatan dari SUSS sebagai sebahagian pengajian mereka, tambahnya.
PM Wong turut mengumumkan bahawa Taman Warisan Melayu (TWM) akan membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 25 April 2026.
Ini setelah ia ditutup pada 30 Oktober 2022 bagi kerja pembinaan dan pemulihan semula bagi kemudahan serta bangunannya.
“Apabila dibuka semula tahun hadapan, Taman Warisan Melayu bakal dilengkapi dengan galeri-galeri dan program-program baru yang akan mempamerkan kekayaan dan keindahan budaya Melayu Singapura,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal turut meluahkan penghargaan kepada PM Wong yang telah menekankan iltizam pemerintah menyokong aspirasi masyarakat Melayu/Islam, termasuk melestarikan budaya dan warisan unik masyarakat.
Beliau mengiktiraf penghargaan PM Wong terhadap masyarakat Melayu/Islam yang memilih untuk menjadi warga Singapura dan yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan Singapura sepanjang 60 tahun yang lalu.
Semasa ucapannya, PM Wong berkata ketika Singapura berpisah daripada Malaysia pada 1965, kebimbangan rakyat sangat ketara kerana ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura mempunyai keluarga di Malaysia.
“Namun, anda memilih untuk jadi orang Singapura! Kerana anda percaya kepada prinsip sebuah masyarakat berbilang kaum yang adil dan saksama.
“Kita telah bekerjasama dan berganding bahu demi membina Singapura yang kita nikmati hari ini. Atas sumbangan dan sokongan padu anda, terima kasih!,” kata PM Wong.
Semasa ucapan PM Wong dalam bahasa Inggeris, beliau juga menyeru rakyat supaya terus menghidupkan Semangat Singapura sedang negara ini membuka lembaran baru selepas meraikan ulang tahunnya yang ke-60 (SG60).
Beliau berkata memiliki mentaliti ‘kita dahulu’ berbanding dengan mengutamakan diri sendiri sahaja adalah apa yang penting untuk memastikan Singapura dapat terus berdaya maju sedang negara melakar haluan seterusnya.
Mengulas tentang ucapan PM Wong, Dr Faishal berkata Semangat Singapura ini adalah “tekad bersama untuk mengatasi cabaran, keyakinan terhadap masa hadapan, dan kepercayaan antara satu sama lain”.
“Saya amat terharu dengan semangat sedemikian. Semangat inilah yang akan membawa kita maju bersama untuk melakar Kisah Singapura seterusnya,” kata Dr Faishal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg