Kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bakal dibina di Rochor.
Bangunan khusus akan dibina untuk kolej tersebut, bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang kini sedang dibina.
Namun, kohort pelajar pertama SCIS, yang bakal memulakan pengajian pada 2028, akan ditempatkan di kampus sementara di 51 Bencoolen Street sehingga kampus Rochor itu siap dibina, menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pembinaan kampus SCIS di Rochor dalam ucapan bahasa Melayu yang disampaikannya untuk membuka tirai Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2025 di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 17 Ogos.
Menurut Encik Wong, bangunan berbeza untuk SCIS dan SUSS membolehkan dua institusi tersebut mencerminkan matlamat serta identiti unik masing-masing.
Menambah, beliau berkata kededua institusi tersebut bukan sahaja boleh berkongsi kemudahan, malah pelajar SCIS boleh mengambil kursus sains kemasyarakatan dari SUSS sebagai sebahagian pengajian mereka.
“Melalui pengalaman ini, para pelajar SCIS dan SUSS boleh berinteraksi dengan baik dan lebih mendalam. Ini juga akan memperkaya kehidupan kampus mereka,” ujar beliau.
Dalam kenyataannya, Muis berkata kampus SCIS akan menampilkan elemen seni bina Islam dan menerapkan prasarana khusus untuk memenuhi keperluan pelajar.
Encik Wong mengumumkan penubuhan SCIS dalam ucapan pertama di NDR pada 2024. Menyusuli itu, beliau mengumumkan di Forum M Kuasa Tiga (M3) pada 10 November 2024 bahawa SCIS akan menawarkan dua laluan dalam jurusan pengajian Islam dan sains kemasyarakatan.
Penuntut kolej itu boleh meraih ijazah sarjana muda yang dianugerahkan SCIS di akhir pengajian mereka dalam bidang pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.
Semua penuntut akan dilatih dalam pengajian Islam, dengan tahun-tahun asas akan terdiri daripada latihan dalam pengajian Islam yang menyeluruh.
Bagi penuntut yang mahu meneruskan pengajian agama, mereka boleh mengikuti pengkhususan dalam bidang tersebut pada tahun ketiga dan keempat pengajian.
Sebaliknya, penuntut yang memilih laluan pengajian sains kemasyarakatan boleh mengambil modul sesuai yang ditawarkan SUSS.
Dalam kenyataannya pada 17 Ogos, Muis berkata kerjasama strategik dengan SUSS, terutama dalam menyediakan modul pembelajaran sains kemasyarakatan, akan mempersiapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran amali untuk berkhidmat lebih baik kepada masyarakat.
Menambah, ia berkata menempatkan kampus SCIS dekat dengan SUSS pula mencipta peluang interaksi bermakna antara pelajar dari latar belakang berbeza-beza.
“Pertukaran ini boleh membantu dalam membangun guru-guru dan ulama yang boleh memimpin masyarakat Muslim dalam konteks berbilang agama dan berbilang budaya di Singapura.” kata kenyataan itu.
Selain kerjasama dengan SUSS, SCIS juga bekerjasama dengan institusi antarabangsa seperti Dar al-Ifta dari Mesir, Universiti Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin dari Maghribi.
SCIS juga akan menawarkan Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang ditujukan kepada pelajar yang berkelulusan dari universiti Islam luar negara dan berhasrat menjadi guru agama Islam di sini.
Ia juga akan menawarkan Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS) yang ditujukan kepada pemimpin agama setempat, asatizah dan ulama yang berminat mengkaji masyarakat Muslim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg