Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lokasi kampus SCIS dekat SUSS di Rochor tingkat peluang penukaran

Aug 17, 2025 | 9:52 PM
Dr Nazirudin Mohd Nasir, SCIS SUSS
Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkata lokasi kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Rochor akan mempermudahkan penukaran kepakaran, kemahiran dan perspektif di antara pelajar, tenaga pengajar serta institusi. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK BERITA HARIAN

Lokasi kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Rochor akan mempermudahkan penukaran kepakaran, kemahiran dan perspektif di antara pelajar, tenaga pengajar serta institusi, kata Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Ini penting dalam memenuhi keperluan asatizah akan datang untuk terlatih bukan hanya dalam disiplin agama, bahkan juga dalam disiplin sains kemasyarakatan.

Dengan itu, diharap mereka dapat memahami keadaan masyarakat dan juga cabaran yang perlu ditangani dengan lebih hikmah, bijaksana dan cermat.

Dr Nazirudin berkata demikian ketika ditemui media pada 17 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di Rapat Hari Kebangsaan 2025.

Encik Wong telah mengumumkan bahawa SCIS, kolej Islam tempatan yang pertama, akan mempunyai bangunan kampus khusus di Rochor, bersebelahan kampus SUSS yang sedang dibina.

SCIS bertujuan membangunkan asatizah dengan pengetahuan dan kemahiran memberi bimbingan agama mengikut konteks kepada masyarakat Islam yang hidup dalam masyarakat majmuk seperti Singapura.

Ia akan menawarkan dua laluan dalam jurusan pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.

Sebelum ini, penuntut dikatakan bakal mengikuti kuliah dan kelas di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Bencoolen Street, dekat Masjid Bencoolen. 

SCIS dijangka menerima kumpulan 60 pelajar pertamanya pada 2028.

Diumumkan sebelum ini bahawa jika bilangan penuntut dalam satu kohort naik ke sekitar 100, kolej itu akan memerlukan premis lebih besar daripada Kampus Bencoolen. 

Menurut Dr Nazirudin, SCIS akan beroperasi di kampus di Bencoolen sebagai permulaan kerana ruang tersebut dapat menampung bilangan pelajar yang dijangkakan dan keperluan mereka pada peringkat awal.

Namun bagi jangka masa panjang, beliau menganggarkan lebih ramai pelajar akan menyertai program yang ditawarkan SCIS, dan dengan itu, kampus yang lebih besar dan tetap akan diperlukan.

Bagaimanapun, lebih penting lagi, keputusan menempatkan kampus SCIS di sebelah kampus SUSS merupakan hasil pertimbangan terhadap keperluan pembangunan kepimpinan asatizah dan kepimpinan agama pada masa depan, kata Dr Nazirudin.

Bercakap dengan media, beliau berkata sedang tumpuan SCIS kekal pada pengajian Islam, perkembangan isu semasa dan masa akan datang dengan cabaran lebih rumit dan berbilang dimensi, akan memerlukan kepakaran serta kemahiran asatizah masa depan dalam bidang sains kemasyarakatan dan disiplin lain.

“Di sini, peranan SUSS amat kritikal kerana ia membantu dalam kurikulum dan begitu juga pendedahan bagi pelajar kami di SCIS, sama ada dalam bilik darjah atau kelas seminar atau di luar.

“Kedudukan SCIS bersebelahan SUSS dapat mempermudahkan lagi penukaran pengalaman pelajar,” kata Dr Nazirudin.

“Pada masa sama, pelajar kita dapat terdedah dengan lebih mendalam kepada disiplin dan bidang sains kemasyarakatan dalam semua aspek pengajian mereka sebagai latihan menjadi asatizah masa depan dan ini akan memperkukuhkan lagi persiapan mereka untuk menjadi pemimpin agama yang cemerlang pada masa akan datang untuk membimbing masyarakat ke arah yang sebaik-baiknya,” tambah beliau. – NUR DHUHA ESOOF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg