Sepanjang perjalanan haji mereka, keselamatan dan kebajikan jemaah Singapura kekal menjadi keutamaan dan mereka telah dijaga dengan baik, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 2 Jun, Dr Faishal berkata Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) bekerjasama rapat dengan ST&T International, ejen penjualan (GSA) pakej haji dan pihak berkuasa Saudi untuk menyediakan perkhidmatan perubatan kepada jemaah.

Sama ada jemaah berada di Madinah, Aziziyah atau Masjidil Haram, Dr Faishal, yang juga Ketua Delegasi Haji Singapura 2026, berkata perkhidmatan perubatan telah disediakan buat jemaah, memberi contoh bagaimana SPAO bekerjasama rapat dengan Pusat Perubatan Albayt di Masjidil Haram.

“Cuaca memang berbeza, dan terdapat ramai orang. Jadi dari semasa ke semasa, jemaah haji kita mungkin jatuh sakit, dan perlu ada perkhidmatan perubatan untuk mereka.

“Pada penghujung hari, kami ingin menunaikan haji dan kami juga ingin kembali kepada orang tersayang,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Dalam catatan Facebooknya juga, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, rakan kongsi dan pegawai SPAO yang sentiasa bertugas demi memastikan kebajikan jemaah haji Singapura terpelihara sepanjang hari-hari penting pada musim haji.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada jemaah yang sentiasa berusaha menjaga kesihatan, mematuhi nasihat yang diberikan, serta saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain.

Dr Faishal juga berkongsi bahawa beliau gembira kerana pengaturan penerbangan untuk jemaah haji Singapura yang telah selesai menunaikan haji untuk kembali ke Singapura berjalan lancar.

Kumpulan tersebut menaiki penerbangan Saudia Airlines SV856 dari Jeddah, yang membawa jemaah di bawah pengurusan tujuh GSA pakej haji yang dilantik.

Dua lagi penerbangan Saudia Airlines akan membawa pulang baki jemaah haji Singapura pada 5 dan 8 Jun.

Bagi baki jemaah yang bakal pulang ini, Dr Faishal berkata SPAO akan terus berada di sisi mereka bagi memastikan perjalanan pulang mereka berjalan lancar.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa kami berusaha sedaya upaya untuk menjaga keselamatan dan kebajikan jemaah haji kita.

“Jadi, kami berharap dapat bertemu anda apabila kami kembali ke Singapura dan kepada semua orang tersayang dan rakan-rakan kami, dan mohon doa untuk kami,” kata Dr Faishal.