Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaishal: Harungi saat-saat sukar bersama sebagai satu masyarakat
Faishal: Harungi saat-saat sukar bersama sebagai satu masyarakat
Jemaah haji S’pura berada dalam keadaan sihat, dapat sokongan penuh meski cuaca panas
Faishal: Harungi saat-saat sukar bersama sebagai satu masyarakat
Semangat Aidiladha bukan sahaja meliputi aspek fizikal ibadah korban, malah ia juga terserlah dalam cara umat Islam menghadapi saat-saat sukar, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam ucapan Hari Raya Aidiladha yang disampaikan dari padang Arafah, Arab Saudi pada 26 Mei, Dr Faishal berkata menghadapi cabaran ini memerlukan orang ramai untuk bersikap tenang, saling memahami, dan komited untuk saling membantu sebagai satu masyarakat.
Beliau merujuk kepada kegenjotan upacara korban secara langsung di Singapura, apabila pengendali tempatan, The Meat Brothers (TMB), tidak dapat membawa masuk korban ternakan dari Australia tepat pada waktunya bagi ibadah korban musim ini.
Ia disebabkan kelewatan pihak pembekal untuk mendapatkan kelulusan permit eksport yang diperlukan daripada pihak berkuasa Australia.
“Beberapa urusan korban tempatan telah berdepan cabaran tahun ini (2026),” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
“Terima kasih saya ucapkan kepada sohibul (pelaksana) korban, rakan-rakan masjid dan anggota masyarakat atas kesabaran serta kefahaman mereka.”
Dr Faishal, yang berada di Tanah Suci selaku Ketua Delegasi Haji Singapura 2026, juga berkata bahawa jemaah haji Singapura berada dalam keadaan sihat walafiat dan mendapat sokongan yang sepenuhnya.
Ini meskipun jemaah haji berdepan dengan cuaca panas menghampiri 47 darjah Celsius sepanjang musim haji 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 29 Mei.
Satu hantaran Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 26 Mei menyatakan kesemua jemaah Singapura telah tiba di Arafah – sesetengah tiba sejak malam sebelumnya, dan sebahagian lagi pagi 26 Mei dari Mina.
Difahamkan jemaah telah dinasihatkan agar berada dalam khemah sehingga 4 petang semasa di Arafah pada 26 Mei melainkan untuk ke tandas dan mendapatkan makanan tengah hari memandangkan suhu di sana mungkin boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius.
Sementara itu, pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), pasukan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), pasukan perubatan, sukarelawan dan rakan kongsi juga giat berganding bahu menjaga kebajikan mereka sepanjang perjalanan ini, tambah Dr Faishal.
Dalam satu hantaran Facebook pada 20 Mei, Muis mengalakkan jemaah Singapura supaya mengutamakan kebajikan mereka semasa menunaikan haji dengan kerap minum air, berehat dalam kawasan berteduh, dan menggunakan payung atau pelindung kepala semasa di ruang terbuka.
“Di Arafah, saya dapat lihat betapa bermaknanya detik ini bagi jemaah kita. Ramai telah menunggu dan membuat persiapan selama bertahun-tahun,” kata Dr Faishal.
“Mereka juga membawa bersama mereka doa keluarga dan orang tersayang di Singapura.
“Saya harap kita terus mendoakan jemaah kita, sebagaimana mereka turut memanjatkan doa untuk Singapura dan insan-insan yang mereka sayangi.”
Dr Faishal turut menyentuh tentang penyediaan ruang solat tambahan di Singapura bagi solat Aidiladha oleh pihak masjid dan kumpulan kariah tempatan.
Ini, katanya, telah membolehkan lebih ramai keluarga menunaikan solat Hari Raya Haji dengan lebih mudah dan selesa.
“Saya juga menghargai usaha gigih Muis, masjid-masjid kita, para sukarelawan dan rakan-rakan kerja yang terus menyokong jemaah kita di Tanah Suci dan masyarakat kita di Singapura,” kata Dr Faishal.
Menerusi program SalamSG Korban, beliau berkata sifat murah hati masyarakat Islam Singapura akan disalurkan secara meluas bagi membantu para asnaf dan keluarga yang memerlukan, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.
Menurut beliau, nilai murni sebegitu amat perlu dipupuk bersama agar masyarakat dapat terus menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah, memberi dengan penuh kesyukuran, serta berkhidmat dengan penuh keikhlasan.
Beliau menambah, dengan berbuat demikian, masyarakat bukan sahaja berupaya mempertingkatkan kehidupan individu yang memerlukan, malah turut mempererat lagi ikatan utuh yang menyatupadukan seluruh masyarkat.
“Semoga Hari Raya Aidiladha ini memperbaharui keazaman kita dan mengingatkan kita untuk terus saling mengambil berat antara satu sama lain kerana hanya dengan bersatu hati, kita mampu melangkah maju bersama.
“Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Singapura. Maaf zahir dan batin,” kata Dr Faishal.
