Topik diikuti
Pergi ke BHkuKumpulan pertama jemaah haji S’pura 2026 kembali ke tanah air
Kumpulan pertama jemaah haji S’pura 2026 kembali ke tanah air
Terdiri daripada sekitar 300 anggota jemaah; baki jemaah bakal pulang 5 Jun dan 8 Jun
Kumpulan pertama jemaah haji S’pura 2026 kembali ke tanah air
Kumpulan pertama yang terdiri daripada 302 anggota jemaah haji Singapura selamat tiba di tanah air pada 3.30 petang, 1 Jun, selepas 25 hari menunaikan ibadah tersebut di Arab Saudi.
Kumpulan tersebut menaiki penerbangan Saudia Airlines SV856 dari Jeddah, yang membawa jemaah di bawah pengurusan tujuh agensi ejen penjualan (GSA) pakej haji yang dilantik.
Ini termasuk TM Fouzy Travel & Tours, Noor Mohamad Services & Travel, Shahidah Travel & Tours, Hagel Travel & Tours, Hahnemann Travel & Tours, Halijah Travels dan Jalaluddin Travel & Services.
Ruang ketibaan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi mula dipenuhi anggota keluarga sejak 3 petang, dengan ada yang membawa poster dan bersiap untuk merakam detik pertemuan semula tersebut dengan telefon bimbit.
Kepulangan kumpulan pertama itu turut disambut secara rasmi oleh Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, dan Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad.
Anggota keluarga yang ditemui Berita Harian (BH) meluahkan rasa gembira dan bersyukur jemaah Singapura selamat tiba di tanah air.
Cik Shaikhah Fairiya Shaikh Mohsin Alkhatib, 50 tahun, berkata perpisahan hampir sebulan itu pengalaman yang sukar kerana ini kali pertama mereka berjauhan selepas 24 tahun berkahwin.
“Kami tak pernah berpisah sebelum ini. Jadi memang agak susah. Hari-hari saya menangis, sedih sangat. Kami juga video call hampir setiap hari,” katanya.
Suaminya, Encik Muhd Lotfi Murad Jarhom, 55 tahun, turut meluahkan rasa syukur dapat bertemu sekali lagi dengan keluarga selepas pengalaman sekali seumur hidup itu.
Beliau yang ke sana bersama TM Fouzy Travel & Tours berkata: “Apabila kami berada di sana, kami dapat merasakan seperti sebahagian daripada satu ummah.
“Kita melihat orang daripada seluruh dunia, semuanya berdoa kepada Tuhan yang sama dan melakukan tawaf bersama-sama.”
Meskipun perjalanan itu memenatkan, guru sekolah menengah itu berkata peluang untuk beribadah bersama umat Islam dari pelbagai negara telah memperkukuh penghargaannya terhadap perpaduan masyarakat Islam sejagat.
Suasana di balai ketibaan itu turut kelihatan sibuk memandangkan 1 Jun merupakan cuti umum tambahan, dengan Hari Vesak jatuh pada 31 Mei.
Seorang lagi anggota jemaah, Encik Azman Sahari, 66 tahun, berkata detik paling meninggalkan kesan sepanjang ibadah haji itu adalah ketika berada di Arafah, Mina, dan Muzdalifah.
Tambah beliau, yang menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Cik Ame Rohani Sitepu, 60 tahun, mereka tidak pernah melakukan ibadah umrah sebelum ini.
“Itu adalah sesuatu yang benar-benar kami belum pernah alami sebelum ini.
“Bagi saya, itu merupakan antara cabaran utama kerana kami berada di sana selama tiga malam untuk menunaikan ibadah Jamrah.
“Alhamdulillah, syukur kami dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” kongsinya, yang telah ke sana bersama Noor Mohamad Services & Travel.
Seorang lagi anggota jemaah, Cik Salmah Samion, 63 tahun, menzahirkan penghargaan terhadap peranan Muis dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) yang sentiasa memastikan kebajikan jemaah terjaga.
Beliau, yang ke sana mengikut Hagel Travel & Tours, berkata:
“Ada wakil daripada Muis dan Amtas yang selalu pastikan yang kami menaiki bas tepat pada masanya, menjaga makan kita di tempat-tempat yang kita tinggal, terutamanya di Aziziyah.
“Alhamdulillah, kebanyakan anggota jemaah berada dalam keadaan yang baik. Sedikit-sedikit sakit itu perkara biasa. Tetapi alhamdulillah, semuanya dapat diatasi dan kami selamat kembali ke sini.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, melahirkan rasa syukur melihat jemaah Singapura sudah kembali ke pangkuan keluarga dalam kiriman di Facebook.
“Lebih ramai jemaah haji akan kembali ke Singapura sepanjang minggu ini.
“Pegawai Pejabat Hal Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) akan terus berada di sisi mereka bagi memastikan perjalanan pulang mereka berjalan lancar,” katanya.
Menurut Muis, baki jemaah haji Singapura dijangka pulang dalam dua lagi penerbangan Saudia Airlines pada 5 dan 8 Jun.
