Pesalah muda yang telah menjalani latihan pemulihan didapati tidak begitu cenderung untuk kembali melakukan jenayah.
Kadar residivisme atau pengulangan jenayah dua tahun bagi golongan sedemikian turun daripada 28.8 peratus kepada 16.3 peratus bagi kohort yang dibebaskan antara 2018 dengan 2021.
Ini lebih rendah daripada kadar residivisme dua tahun pesalah, secara keseluruhan, bagi kohort yang dibebaskan pada 2021, iaitu 22.0 peratus.
Berkongsi perangkaan tersebut kepada media, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata walaupun program latihan pemulihan telah membantu menyumbang kepada trend penurunan residivisme dalam kalangan pesalah berusia 14 hingga 21 tahun, beliau menekankan pentingnya sokongan di luar pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
“Satu aspek yang saya lihat daripada program yang diadakan di Pusat Latihan Pemulihan (RTC) adalah pemulihan pelatih juga disebabkan oleh sokongan daripada masyarakat dan keluarga.
“Dengan adanya sokongan tambahan daripada keluarga dan sumbangan daripada rakan kongsi kami, anda dapat melihat bahawa mereka hari ini mempunyai lebih ramai orang atau lebih banyak pilihan untuk bergantung setelah mereka dibebaskan.
“Setelah mereka dibebaskan dan di luar kawalan pegawai SPS, mereka mempunyai orang lain yang ingin menjaga mereka, yang prihatin terhadap mereka, dan saya rasa ini membawa perbezaan yang besar kerana mereka tidak bersendirian dalam perjalanan ini,” kongsi beliau.
Dr Faishal mendedahkannya kepada pihak media semasa lawatannya ke RTC pada 21 Ogos, untuk menghadiri Majlis Epilogue RTC selaku tetamu terhormat.
Dalam majlis kali itu, terdapat 14 pelatih pemulihan yang hadir dalam usaha SPS meraikan pencapaian mereka kerana menghampiri pengakhiran program pemulihan mereka dan bersedia untuk disepadukan ke dalam masyarakat.
Selain itu, 20 ahli keluarga turut hadir untuk menyambut pencapaian mereka.
Terletak di Tanah Merah Besar Road, pusat latihan pemulihan akhlak itu bertujuan memulihkan pesalah muda antara 14 dengan 21 tahun dan mempersiapkan mereka untuk disepadukan semula dengan masyarakat.
Semua Pelatih Pemulihan (RT) yang diterima RTC akan menjalani rejim Latihan Pemulihan, dengan tempoh penahanan minimum sama ada enam atau 12 bulan seperti yang dianggap sesuai oleh mahkamah untuk pemulihan mereka, kata SPS.
Dalam menyaksikan ahli keluarga yang hadir di majlis tersebut, Dr Faishal berkata sokongan keluarga juga penting dalam menerapkan sikap daya tahan dalam para pelatih.
“Kita harap dengan adanya proses untuk memantapkan keluarga... akan membuka laluan positif dari segi pembangunan mereka apabila mereka keluar dari RTC.”
Bagi Cik Daeng Norashida Sahak, seorang Pakar Pemulihan Kanan di RTC, beliau bertanggungjawab dalam bekerjasama dengan pelbagai rakan masyarakat untuk menghasilkan cara kreatif bagi meningkatkan penglibatan keluarga dalam RTC, seperti merombak Sesi Penglibatan Keluarga (FES).
“Harapan saya adalah hubungan para pelatih dan keluarga akan bertambah pulih dan penglibatan (keluarga) mereka amat penting dalam proses pemulihan para pelatih.
“Daripada satu tinjauan yang kami lakukan, ahli keluarga sangat mendorong dalam kami mengadakan sesi jalinan hubungan bersama anak mereka.
“Justeru, keluarga adalah sebahagian daripada perjalanan pemulihan mereka,” kongsi Cik Daeng Norashida, yang sudah berkhidmat di RTC selama tiga tahun.
“
“Dengan adanya sokongan tambahan daripada keluarga dan sumbangan daripada rakan kongsi kami, anda dapat melihat bahawa mereka hari ini mempunyai lebih ramai orang atau lebih banyak pilihan untuk bergantung setelah mereka dibebaskan. Setelah mereka dibebaskan dan di luar kawalan pegawai SPS, mereka mempunyai orang lain yang ingin menjaga mereka, yang prihatin terhadap mereka, dan saya rasa ini membawa perbezaan yang besar kerana mereka tidak bersendirian dalam perjalanan ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg