Faishal: Keamanan, kestabilan S’pura bolehkan masyarakat rai Ramadan, Syawal dengan tenang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Keamanan, kestabilan S’pura bolehkan masyarakat rai Ramadan, Syawal dengan tenang

Mar 21, 2026 | 11:25 AM

Faishal: Keamanan, kestabilan S’pura bolehkan masyarakat rai Ramadan, Syawal dengan tenang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan) dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (paling kanan) beramah mesra dengan jemaah yang hadir selepas sesi pertama solat Aidilfitri di Masjid Sultan pada 21 Mac.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan) dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (paling kanan) beramah mesra dengan jemaah yang hadir selepas sesi pertama solat Aidilfitri di Masjid Sultan pada 21 Mac. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Keamanan dan kestabilan yang dinikmati masyarakat Islam di Singapura membolehkan mereka menjalankan ibadah sepanjang Ramadan dan menyambut perayaan seperti Aidilfitri dengan tenang.

Ini meskipun berlaku ketidaktentuan di negara lain.

Berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas solat Aidilfitri di Masjid Sultan pada 21 Mac, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, melahirkan rasa tersentuh dengan kesyukuran yang dipaparkan masyarakat semasa pertemuannya bersama mereka sepanjang Ramadan.

“Semoga bulan Syawal ini membawa keamanan dan keharmonian kepada kita semua serta mendekatkan kita dengan keluarga dan orang-orang yang kita sayangi.

“Semoga ia juga mengingatkan kita untuk terus menghargai nikmat yang telah kita kecapi di Singapura agar setiap anggota masyarakat dapat terus berkembang dan berjaya pada setiap peringkat kehidupannya, insya-Allah,” ujar beliau.

Sekitar 5,000 anggota jemaah hadir di Masjid Sultan yang terletak di Muscat Street untuk menunaikan solat Aidilfitri bagi sesi pertama yang bermula pada 8 pagi pada 21 Mac.

Sesi pertama itu dipimpin oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Masjid Sultan mengadakan dua sesi solat Aidilfitri, dengan yang kedua berlangsung pada 9.15 pagi dan dipimpin oleh Ustaz Hanan Farihin Jasmani.

Turut hadir ialah Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohd Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, serta anggota lembaga pentadbir masjid.

“Meskipun ketidaktentuan melanda beberapa negara, tetapi Alhamdulillah di Singapura, kita dapat menjalankan ibadah Ramadan… dan menjalankan aktiviti seharian dengan aman, damai dan dengan ketenangan jiwa,” ujarnya.

Dr Faishal turut menggesa agar masyarakat terus memelihara amalan baik yang telah disemai sepanjang Ramadan iaitu kesyukuran, kesopanan serta kesantunan, dan meraikan Hari Raya dengan bermakna dan penuh prihatin.

Beliau berkata:

“Sedang kita menyambut Hari Raya, kita juga harus ingat bahawa keadaan di luar negara masih tidak menentu.

“Kita doakan yang terbaik buat mereka yang menyambut (Hari Raya) jauh dari tanah air. Ini salah satu contoh mereka yang sedang menghadapi cabaran yang lebih sukar daripada apa yang kita lalui (di Singapura).”

Semasa menyampaikan khutbah Aidilfitri di Masjid Sultan, Dr Nazirudin turut menarik perhatian nasib sesetengah masyarakat Islam di negara lain yang menjalani ibadah semasa Ramadan dalam suasana tegang dan ketakutan dek pergolakan.

“Pastinya, kita juga terkesan dengan ujian yang sedang mereka hadapi. Kita berdoa agar Allah swt memelihara mereka yang tidak bersalah dan memulihkan keamanan.

“Kita juga terus yakin terhadap ketentuan Allah swt bahawa pasti terdapat hikmah di sebalik setiap kejadian,” kata beliau.

Sehubungan itu, dalam kata-kata aluannya sebelum bermulanya solat Aidilfitri, Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Sultan, Encik Mohd Puzi Mohamed, mengingatkan anggota jemaah bahawa Hari Raya bukan sekadar hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Bahkan, ia juga hari untuk mengeratkan ukhwah sesama insan, lebih-lebih lagi dengan berlatarbelakangkan pergolakan yang sedang berlaku di luar negara.

“Masyarakat di luar negara khususnya di Timur Tengah sedang bergelut dengan konflik dan masa yang sukar.

“Ini menjadi satu peringatan betapa berharganya keharmonian yang wujud di sini dan pentingnya untuk melindunginya,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg