Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Agama, tanggungjawab sivik boleh wujud bersama di negara majmuk seperti S’pura

Kongsi pengalaman S’pura semasa sertai Forum Perdana sempena Mabims di Melaka
Oct 17, 2025 | 7:31 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah) berucap di Forum Perdana pada 16 Oktober sempena Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21. Bersama beliau adalah (dari kiri) moderator forum, Encik Mohd Hariri Mohamad Daud; Menteri di Jabatan Pejabat Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Mohd Naim Mokhtar; Setiausaha Umum Kementerian Agama Indonesia, Profesor Dr Kamaruddin Amin; dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, Encik Mohammad Rosli Ibrahim.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah) berucap di Forum Perdana pada 16 Oktober sempena Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21. Bersama beliau adalah (dari kiri) moderator forum, Encik Mohd Hariri Mohamad Daud; Menteri di Jabatan Pejabat Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Mohd Naim Mokhtar; Setiausaha Umum Kementerian Agama Indonesia, Profesor Dr Kamaruddin Amin; dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, Encik Mohammad Rosli Ibrahim. - Foto FB/ASSOC PROF MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Pengalaman Singapura sebagai negara berbilang agama dan moden memberi peringatan kepada rakyatnya bahawa kepercayaan dan tanggungjawab sivik boleh wujud bersama, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ini dapat tercapai dengan rasa saling hormat dan persefahaman bersama, kata beliau.

Dalam satu hantaran Facebook pada 17 Oktober, beliau berkata kepelbagaian merupakan tunjang dalam perpaduan, lebih-lebih lagi di Singapura memandangkan pelbagai agama dan bangsa hidup secara majmuk.

“Pengalaman Singapura sebagai sebuah negara kontemporari dan majmuk menunjukkan bahawa nilai keagamaan dan tanggungjawab awam dapat wujud seiring dalam suasana saling menghormati dan memahami,” ujarnya.

Beliau berkata demikian berlatarbelakangkan kemunculannya di pentas Forum Perdana di Melaka, Malaysia, buat kali pertama pada 16 Oktober.

Bersama beliau di pentas tersebut termasuk Menteri di Jabatan Pejabat Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Mohd Naim Mokhtar; Setiausaha Umum Kementerian Agama Indonesia, Profesor Dr Kamaruddin Amin; dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, Encik Mohammad Rosli Ibrahim. Moderatornya ialah Encik Mohd Hariri Mohamad Daud.

Forum itu disiarkan secara langsung di saluran televisyen nasional Malaysia, RTM1.

Dr Faishal berada di Melaka bagi menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21, dari 16 hingga 19 Oktober.

Ia merupakan penyertaan pertamanya di Mabims, sejak menjadi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dalam ucapannya di Forum Perdana tersebut, Dr Faishal berkongsi pendekatan Singapura bagi memperkukuh kehidupan beragama dalam masyarakat kontemporari untuk memacu pencapaian sosial dan ekonomi.

Pada waktu yang sama, ini dilakukan sambil memupuk nilai murni seperti amanah, kesyukuran, dan keikhlasan sebagai sebahagian daripada identiti Singapura.

Beliau memberi perbandingan Singapura dengan rantau Nusantara – meliputi negara Mabims – yang mempunyai pelbagai budaya dan konteks, meskipun ia membentuk hampir 25 peratus daripada penduduk Islam secara global.

“Walaupun kita beragama Islam, kita hidup dalam negara-negara atau estet-estet yang berlainan, dengan sesebuah budaya dan konteks yang berbeza.

“Oleh demikian, adanya peluang untuk mempelajari aspek kehidupan menerusi amalan terbaik (budaya) masing-masing,” ujarnya ketika berhujah dalam forum itu.

Beliau turut berkata rantau Nusantara berpotensi menjadi hab pendidikan Islam kontemporari yang terkenal disebabkan kepelbagaian budaya rantau ini.

Selain itu, beliau menyentuh bab penjagaan alam sekitar kerana ia “merupakan satu tindakan berpandukan iman”.

“Sebagai khalifah di muka bumi, umat Islam bertanggungjawab menjaga dan memelihara alam sekitar kita. Ia bermula dari rumah hingga ke masyarakat yang lebih luas,” ujarnya.

Beliau berkata pertukaran pandangan dan pengalaman di forum itu bermakna dalam usaha Singapura “mempererat kesejahteraan rohani dan sosial masyarakat Islam di rantau ini”.

Sepanjang lawatan beliau ke Melaka, Dr Faishal menghadiri majlis pembukaan Festival Halal Antarabangsa Mabims-Melaka 2025 sebagai tetamu khas.

Festival itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Mabims.

Festival Halal Antarabangsa Mabims-Melaka 2025 berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Ditubuhkan pada 1989, Mabims berperanan sebagai satu wadah dwitahunan serantau.

Ia menghimpunkan pihak berkuasa beragama Islam dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan sosioagama masyarakat Islam di rantau Asia Tenggara, menerusi kerjasama strategik dan inisiatif bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg