Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, akan menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) ke-21, dari 16 hingga 19 Oktober di Melaka.
Ini merupakan penyertaan pertamanya, di Mabims, sebagai wakil Singapura yang menyandang jawatan itu.
Ditubuhkan pada 1989, Mabims berperanan sebagai satu wadah dwitahunan serantau, yang menghimpunkan pihak berkuasa beragama Islam dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan sosioagama masyarakat Islam di rantau Asia Tenggara, menerusi kerjasama strategik dan inisiatif bersama.
Mesyuarat rasmi yang diadakan setiap dua tahun itu memberi peluang kepada para menteri menilai inisiatif sedia ada, memperkukuh hubungan kerjasama, serta membincangkan cabaran baru yang dihadapi masyarakat Islam di rantau ini.
Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 15 Oktober, Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), akan menyertai forum yang membincangkan cara memperdalam kefahaman mengenai kepimpinan keagamaan kontemporari dan strategi bersama dalam kalangan negara anggota Mabims.
Sepanjang lawatan beliau ke Melaka, Dr Faishal juga akan menghadiri majlis pembukaan Festival Halal Antarabangsa Mabims-Melaka 2025 sebagai tetamu khas.
Festival itu akan diadakan sempena Mesyuarat Menteri-menteri Mabims.
Festival Halal Antarabangsa Mabims-Melaka 2025 akan berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg