Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menyeru para pemimpin agama dan delegasi serantau supaya memperkukuh nilai keseimbangan dan kesederhanaan yang menjadi ciri Islam di Asia Tenggara.
Ini sebagai satu model agar masyarakat Islam dapat menyesuaikan diri dengan dunia moden, berjaya dalam masyarakat berbilang budaya, dan memacu kemajuan serta pembangunan yang mampan, menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 16 Oktober.
Berkata demikian dalam ucapannya kepada para delegasi dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura di Seminar Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) yang berlangsung di Melaka, Malaysia, pada 15 Oktober, Mufti berkata:
“Sewajarnya kita berusaha bersama mengalihkan perhatian dunia ke arah timur, dan dengan lebih khusus, ke bumi Nusantara yang mana umat Islam di sini telah lama memperjuangkan nilai-nilai murni seperti keseimbangan dan kesederhanaan.
“Bukan mengejar nama, namun untuk memberikan contoh baik bagaimana Islam boleh berjaya dalam suasana dunia masa kini.
“Untuk mempersembahkan alternatif bagi keharmonian dan persefahaman dalam konteks kerencaman umat dan masyarakat.
“Untuk menunjukkan bagaimana gandingan nilai-nilai masyarakat Nusantara yang mengutamakan sikap rahmah, keluhuran dan kelembutan budi pekerti, yang dipertajam dengan nilai-nilai agama serta contoh baik dalam hubungan silang bangsa dan kepelbagaian budaya serta agama, telah berjaya menghasilkan keharmonian dan kedamaian.”
Seminar SOM diadakan sempena dengan Mesyuarat SOM ke-49 Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims).
Mesyuarat SOM menghimpunkan pegawai kanan agama dari empat negara anggota untuk membincangkan hal ehwal dan kerjasama Islam serantau yang bertemakan Memperkukuh Ummah MADANI Islam Serantau Menuju al-Falah.
Mufti menyatakan bahawa wacana antarabangsa mengenai Islam, secara tradisinya, tertumpu kepada negara-negara Arab di Timur Tengah atau masyarakat Islam minoriti di negara Barat, seolah-olah sebagai ukuran bagi kejayaan mahupun kegagalan umat Islam.
Meskipun akur bahawa terdapat sebab-sebab sejarah di sebalik tumpuan tersebut, beliau menegaskan bahawa perspektif sedemikian boleh memberikan gambaran yang tidak seimbang terhadap pengalaman umat Islam di peringkat global.
Lantas, Mufti menekankan bagaimana nilai belas kasihan, keluhuran dan budi pekerti di rantau ini, digabungkan dengan prinsip agama dan hubungan sihat antara kaum dengan agama yang berbeza, telah membantu mewujudkan keharmonian dan kestabilan sosial yang lebih baik.
Menggariskan kepentingan kepimpinan dalam membimbing masyarakat mencapai keseimbangan dan kemajuan yang mampan, beliau berkata terdapat tiga mutu penting dalam kepimpinan agama untuk masa depan.
Antara lain, ia memerlukan pemahaman kontekstual, pandangan berwawasan dan keluhuran.
Selain itu, Mufti turut menyentuh tentang konteks masyarakat berbilang budaya di Singapura di mana umat Islam mampu mengekalkan identiti dan amalan keagamaan mereka sambil kekal menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.
Beliau menegaskan bahawa semua lapisan masyarakat telah bekerjasama menjadikan kepelbagaian sebagai faktor yang memperkukuh perpaduan sosial, dan bukan melemahkannya.
“Banyak isu-isu dan konsep perlu ditangani agar tidak timbul kekeliruan bahkan konflik identiti bagi umat Islam Singapura.
“Namun, kita bersyukur berkat usaha pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, kerencaman bukan unsur yang melemahkan perpaduan sosial, sebaliknya telah membantu memperkukuhkannya,” ujarnya.
Justeru, Mufti yakin melalui platform Mabims, usaha membentuk ketamadunan yang unik dan sesuai dengan nilai Nusantara ini berpotensi memberi impak dan kesan yang amat besar bukan sekadar bagi umat Islam, tetapi juga masyarakat luas secara amnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg