Topic followed successfully
Go to BHkuFaishal: Keselamatan jemaah haji kekal keutamaan di tengah-tengah ketidaktentuan
Faishal: Keselamatan jemaah haji kekal keutamaan di tengah-tengah ketidaktentuan
Muis bekerjasama dengan HPB, Amtas tingkatkan kesihatan masyarakat agar dapat laksana haji dengan lancar
Faishal: Keselamatan jemaah haji kekal keutamaan di tengah-tengah ketidaktentuan
Kesejahteraan dan keselamatan jemaah haji kekal menjadi keutamaan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal akur sekiranya masih ada keprihatinan dan kebimbangan dalam kalangan jemaah haji berhubung dengan ketidaktentuan yang masih berterusan dek konflik di Timur Tengah.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa Muis sedang memantau situasi di Timur Tengah bersama Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) dan ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) pakej haji yang diluluskan Muis.
Ini agar ibadah haji pada 2026 dapat berjalan dengan lancar dan sebaik mungkin, ujarnya.
Berucap kepada 900 anggota jemaah haji di acara Program Sihat Untuk Haji atau Get Fit For Haj (GFH) di Our Tampines Hub (OTH) pada 12 April, Dr Faishal berkata Muis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Arab Saudi untuk memantau keadaan dengan teliti.
“Muis juga sedang bekerjasama dengan Amtas dan GSA rasmi untuk memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan selamat dan lancar. Saya sangat menghargai kesabaran anda dan berharap kita dapat terus bekerjasama dalam mengharungi cabaran-cabaran ini bersama.
“Kami akan berusaha untuk memaklumkan anda mengenai sebarang perkembangan lanjut,” ujarnya.
GFH merupakan program tiga bulan, dengan jemaah haji menyertai kegiatan berkaitan kesihatan anjuran GSA dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) – merangkumi ceramah kesihatan, senaman dan pemeriksaan kesihatan.
Menurut kenyataan Muis, lebih 90 peratus anggota jemaah haji telah menyertai GFH pada 2026, yang membuka tirainya pada Januari bagi jemaah haji bagi tahun ini.
Di samping aspek kesejahteraan dan keselamatan, Dr Faishal turut menekankan kepentingan kesihatan jasmani bagi jemaah haji.
Beliau menyertai jemaah dalam kegiatan berjalan pantas sejauh 2.4 kilometer dengan mengelilingi padang OTH, yang menurut Muis satu bentuk “persiapan fizikal penting bagi menempuhi ibadah haji yang mencabar”.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen masyarakat bagi memastikan jemaah haji bersedia dari segi fizikal, tambah Muis.
Dr Faishal berkata Muis sedang bekerjasama dengan HPB dan Amtas demi meningkatkan status kesihatan masyarakat agar jemaah tidak dihalang daripada menunaikan ibadah itu atas sebab kesihatan.
Ini susulan keperluan baru yang diperkenalkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah yang menunaikan ibadah haji pada 2026. Keperluan itu menuntut agar individu sedemikian mendapatkan sijil kesihatan dari doktor.
Sijil kesihatan tersebut – yang diperlukan untuk mendapatkan Visa Haji – antara lain mengesahkan jemaah bebas daripada penyakit kronik seperti buah pinggang dan masalah jantung. Individu sedemikian juga mesti mampu melaksanakan ibadah haji secara berdikari.
Dr Faishal berkata: “Jadi kalau kita lihat… sejak kebelakangan ini banyak perubahan yang telah dilakukan oleh pihak Arab Saudi.
“Justeru kita harus mengemaskini dan menyesuaikan sistem kita untuk memenuhi keperluan mereka. Apabila sudah sampai ke Tanah Suci, urusannya senang. Kita tak perlu risau tentang status kesihatan kita.”
Antara jemaah yang hadir dan menyertai kegiatan berjalan pantas itu ialah Encik Ab Majid Sahid, 71 tahun, dan Cik Alwiyah Dahlan, 67 tahun.
Pasangan suami isteri itu, yang bakal berangkat ke Tanah Suci pada 9 Mei dengan rombongan Hagel Travel & Tours, telah memulakan persiapan jasmani sekitar tiga bulan lalu.
Menurut Encik Ab Majid, mereka memulakan persiapan menerusi nasihat HPB melalui aplikasi Healthy 365 dan bermula dengan senaman ringan seperti berjalan-jalan di sekitar taman secara berkala.
Dengan tarikh keberangkatan yang semakin hampir, usaha itu dipergiat dan kini mereka melakukan senaman seminggu sekali.
Pesara yang menetap di Tampines itu berkata: “Ada kala kami ke pantai Changi dan berjalan pantas atau naik tangga... kami tinggal di tingkat empat, jadi seberapa boleh saya naik tangga (sebagai langkah persiapan).”
Bagi Encik Latib Parman, 77 tahun, dan pasangannya Cik Suliah Daris, 67 tahun, pula, pekerjaan masing-masing sebagai pembersih melatih mereka dalam persiapan menuju ke Tanah Suci.
Mereka akan berlepas dari Singapura pada 12 Mei dengan mengikuti rombongan Jalaluddin Travel & Services.
Cik Suliah berseloroh: “Pekerjaan kami memerlukan kami naik atau turun tangga, jadi (secara tidak langsung) itu cara kami buat persiapan. Kami juga jaga pemakanan dan minuman.”

