Topic followed successfully
Go to BHkuGSA sudah tetapkan proses pemulangan wang jemaah jika haji dibatal
GSA sudah tetapkan proses pemulangan wang jemaah jika haji dibatal
Amtas: Kesemua 900 jemaah S’pura akan naiki penerbangan langsung Saudia Airlines ke Madinah di bawah kerjasama kali pertama
GSA sudah tetapkan proses pemulangan wang jemaah jika haji dibatal
Kesemua sembilan ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) pakej haji yang diluluskan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sudah menetapkan proses pemulangan wang kepada jemaah sekiranya Singapura atau Arab Saudi mengarahkan larangan perjalanan atau membatalkan haji.
Menjelaskan demikian, Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata pemulangan wang itu akan meliputi kos penginapan di Makkah dan Madinah, khidmat masyair (kos bersangkutan perjalanan dan ibadah di Mina, Arafah, Muzdalifah) dan tiket penerbangan.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) selepas acara Program Sihat Untuk Haji atau Get Fit For Haj (GFH) di Our Tampines Hub (OTH) pada 12 April.
Ustazah Juyda, yang juga Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, berkata:
“Sekiranya kerajaan Arab Saudi mengumumkan larangan perjalanan misalnya, dan kami berharap ini tidak berlaku, insya-Allah, semua kos ini akan dikembalikan.
“Namun buat masa ini kerajaan Arab Saudi menyatakan negara itu selamat (untuk lakukan haji) dan mengalu-alukan kedatangan jemaah haji.”
Beliau turut berkata buat kali pertama, kesemua 900 jemaah haji Singapura akan menaiki penerbangan langsung oleh syarikat penerbangan Saudia Airlines dari Singapura ke Madinah. Sebelum ini jemaah boleh memilih untuk menaiki penerbangan Scoot atau Saudia ke Jeddah.
Ini adalah hasil kerjasama yang dijalin dengan syarikat penerbangan tersebut ke Madinah buat julung-julung kalinya, kata Ustazah Juyda.
Keberangkatan kumpulan jemaah haji pertama dijadualkan pada 9 Mei, dengan keberangkatan susulan pada 12 dan 14 Mei, ujarnya.
Hasil pemeriksaan BH di laman rasmi Lapangan Terbang Changi mendapati Singapura tidak mempunyai penerbangan komersial berjadual langsung ke Madinah.
Ustazah Juyda berkata usaha ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan jemaah ke Arab Saudi dan dilakukan bukan kerana ketidaktentuan di Timur Tengah ekoran konflik Iran.
“Perjalanan semua jemaah haji Singapura kali ini akan bermula di Madinah atas pengaturan Muis, susulan penelitian mereka terhadap pergerakan jemaah pada tahun-tahun sebelum ini.
“Dengan penerbangan melalui syarikat penerbangan Saudia, kali ini pergerakannya lebih tersusun dan diselaraskan. Aturan penerbangan ini juga ditetapkan sebelum kemelut yang berlaku di Timur Tengah,” ujarnya.
Semasa di Parlimen pada 8 April, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Muis akan bekerjasama dengan GSA dan penyedia perkhidmatan di Arab Saudi untuk meneroka kemungkinan memulangkan wang kepada jemaah sekiranya haji mereka terjejas oleh konflik Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Dr Faishal, yang turut hadir di acara itu, dalam ucapannya kepada sekitar 900 jemaah telah meminta agar jemaah bersabar dan terus memberikan kerjasama dalam mengharungi tempoh yang sukar ini.
“Muis sedang bekerjasama dengan Amtas dan GSA rasmi bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan selamat dan lancar. Kami akan berusaha untuk memaklumkan anda mengenai sebarang perkembangan lanjut,” ujarnya.
Dalam acara itu, Dr Faishal menyertai kegiatan berjalan pantas sejauh 2.4 kilometer bersama jemaah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan jasmani sebelum ke Tanah Suci.
Dalam satu kenyataan Muis pada 12 April, kegiatan itu merupakan acara kemuncak GFH – inisiatif di bawah bidang tumpuan kelima (FA5) berkaitan kesihatan di bawah M Kuasa Tiga (M³) – yang disokong Amtas, Lembaga Penggalakan Kesihatan dan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).

