Kempen ‘Dadah Itu Haram’ tekan penting lindungi insan tersayang daripada dadah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kempen ‘Dadah Itu Haram’ tekan penting lindungi insan tersayang daripada dadah

Kadar rampasan ‘Ice’ naik, tingkat usaha pastikan rakyat tidak mudah terpengaruh
Mar 2, 2026 | 1:32 PM

Kempen ‘Dadah Itu Haram’ tekan penting lindungi insan tersayang daripada dadah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan), mengagihkan bubur dan peket kurma kepada anggota jemaah di Masjid Khalid di Joo Chiat Road pada 1 Mac semasa acara kempen, ‘Dadah Itu Haram’.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan), mengagihkan bubur dan peket kurma kepada anggota jemaah di Masjid Khalid di Joo Chiat Road pada 1 Mac semasa acara kempen, ‘Dadah Itu Haram’. - Foto CNB

Kempen ‘Dadah Itu Haram’ (DIH) bukan sekadar menyebarkan pesanan antidadah dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Ia juga bertujuan memberi peringatan tentang pentingnya melindungi insan tersayang daripada kancah dadah memandangkan terdapat peningkatan dalam penggunaan dadah di seluruh dunia, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Berucap pada acara kempen DIH pada 1 Mac di Masjid Khalid, Dr Faishal berkata dengan kadar methamphetamine atau dikenali sebagai Ice yang dirampas di Asia Tenggara meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadikan usaha memastikan rakyat Singapura tidak terpengaruh atau terjejas olehnya semakin penting.

“Mereka (pengedar dadah) masih sedang berusaha membekalkan (dadah) kepada rakyat kita, rakan-rakan Singapura kita,” kata Dr Faishal, yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

“Tetapi saya ingin memberi jaminan kepada anda Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), bersama anda semua, kita akan berusaha lebih keras untuk memastikan kita dapat melindungi rakyat kita daripada kancah dadah,” tambahnya.

Dr Faishal berkata demikian semasa berucap kepada sukarelawan yang menyertai acara, ‘Date Your Loved Ones Today!’, salah satu acara utama di bawah program jangkauan Ramadan anjuran Biro Narkotik Pusat (CNB).

Semasa acara tersebut, Dr Faishal turut bersama-sama sukarelawan mengagihkan 500 peket bubur kepada jemaah di Masjid Khalid yang terletak di Joo Chiat Road.

Beliau turut menyertai sukarelawan selepas itu untuk mengedarkan bubur dan peket kurma mengandungi mesej kempen DIH kepada pelanggan dan orang ramai di bazar Ramadan di Wisma Geylang Serai (WGS) dan kawasan sekitarnya.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), CNB berkata acara tersebut bertujuan mengingatkan keluarga supaya meluangkan masa bersama orang tersayang, mengeratkan hubungan keluarga bagi membina daya tahan terhadap penyalahgunaan dadah.

“Dalam semangat Ramadan ini, dan untuk mendekati seberapa ramai orang tentang mesej antidadah, kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi dan sukarelawan untuk mengagihkan bubur dan paket kurma yang mengandungi mesej kempen DIH,” kata jurucakap CNB.

Acara anjuran bersama Masjid Khalid dan Perkhidmatan Masyarakat Mawar (MCS) itu menyaksikan bilangan sukarelawan meningkat seganda kepada kira-kira 100 orang, berbanding sekitar 50 pada 2025.

Sukarelawan itu termasuk wakil daripada kumpulan belia IM Volunteers Network SG (IMVNSG), Bikers Subuhan, A Team SG Fishing, sukarelawan Rangkaian Sokongan SGBebasDadah (DFSG), sukarelawan DIH serta kumpulan bekas pesalah atau ‘desistor’ seperti Goal Aspiration, Hufi Bersatu, Agents of Change SG dan MCS.

‘Desistor’ adalah istilah yang digunakan bagi bekas pesalah yang tidak melakukan jenayah selepas dibebaskan.

Semasa acara tersebut, Dr Faishal turut memberi penghargaan kepada sukarelawan daripada kumpulan bekas pesalah ini, yang anggotanya merupakan bekas penagih dadah, yang telah membuka lembaran baru dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Saya ingin memuji keberanian anda yang telah terjejas akibat dadah, tetapi anda masih turun padang untuk menyebarkan mesej ini.

“Ini adalah tahap keberanian dan keikhlasan tertinggi dalam membantu orang lain, bangkit semula dari tempat anda berada dan membawa kebaikan kepada orang lain,” ujar Dr Faishal.

Menurut CNB, kira-kira 46,000 paket kurma telah diagihkan kepada rakan kongsi untuk acara mereka, dan juga semasa acara itu pada 1 Mac.

Kurma tersebut telah diedarkan kepada 70 masjid di seluruh negara termasuk badan seperti Persatuan Muhammadiyah, Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Rumah Peralihan Pertapis dan Rise Above, serta ke enam madrasah sepenuh masa.

Badan masyarakat dan perniagaan lain yang menerima kurma tersebut termasuk Project Pencil SG, Persatuan Perkhidmatan Sosial Muslim India (IMSSA), Kampong Glam Cafe, Islamic Restaurant, Jamiyah, Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) dan The Wandering Dervishes, kata CNB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg