Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat politik: Pertemuan sengit dijangka di GRC Marine Parade-Braddell Heights

Mereka jangka saingan PAP dan WP; tetapi tidak tolak saingan berbilang penjuru
Apr 5, 2025 | 5:30 AM
Selain bertemu penduduk, Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng (baris depan, tiga dari kiri); Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng (baris depan, dua dari kanan); dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (baris depan, kanan) meluangkan masa bersama penduduk kelompok Marine Parade dalam majlis buka puasa pada 17 Mac. Bersama mereka adalah penasihat kedua pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling (baris depan, kiri); Anggota Parlimen (AP) MacPherson, Cik Tin Pei Ling (baris depan, dua dari kiri).
Selain bertemu penduduk, Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng (baris depan, tiga dari kiri); Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng (baris depan, dua dari kanan); dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (baris depan, kanan) meluangkan masa bersama penduduk kelompok Marine Parade dalam majlis buka puasa pada 17 Mac. Bersama mereka adalah penasihat kedua pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling (baris depan, kiri); Anggota Parlimen (AP) MacPherson, Cik Tin Pei Ling (baris depan, dua dari kiri). - Foto FACEBOOK CHOO PEI LING

Sempadan kawasan undi GRC Marine Parade yang menjadi pentas antara persaingan paling sengit semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020 telah berubah.

Begitu juga dengan namanya, yang kini menjadi GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Namun penduduk di kawasan itu tetap boleh menjangka persaingan sengit pada GE2025; dengan kemungkinan melibatkan persaingan berbilang penjuru, kata penganalisis menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).

Sejak 2011, dua parti pembangkang – Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Pekerja (WP) – telah berusaha menambat hati pengundi di kawasan undi tersebut.

Pada GE2011, NSP meraih 43.36 peratus undi menentang pasukan PAP di GRC Marine Parade.

Menjelang GE2025, NSP telah menyatakan hasrat untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Pada GE2015, pasukan WP yang bertanding di GRC Marine Parade buat kali pertama meraih 35.93 peratus undi, berbanding PAP yang mendapat 64.07 peratus undi.

Pada GE2020 yang diadakan di tengah-tengah pandemik, WP meraih lebih banyak undi – 42.26 peratus – berbanding pasukan PAP yang meraih 57.74 peratus undi.

Pada masa itu, PAP menampilkan barisan menteri yang lebih muda di GRC Marine Parade susulan persaraan Menteri Kanan Emeritus Encik Goh Chok Tong, yang telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) Marine Parade selama 44 tahun.

Sejak beberapa bulan lalu, beberapa aktivis WP seperti karyawan teknologi maklumat (IT), Encik Nathaniel Koh, peguam Encik Fadli Fawzi dan peguam kanan, Encik Harpreet Singh Nehal, telah dilihat membuat lawatan rumah ke rumah di kawasan undi itu.

Peguam Encik Fadli Fawzi (tengah) dan Encik Harpreet Singh Nehal (kanan) dari Parti Pekerja (WP) kerap dilihat membuat lawatan di GRC Marine Parade.
Peguam Encik Fadli Fawzi (tengah) dan Encik Harpreet Singh Nehal (kanan) dari Parti Pekerja (WP) kerap dilihat membuat lawatan di GRC Marine Parade. - Foto FACEBOOK HARPREET SINGH NEHAL 

Pengarah akaun di platform risikan pasaran AlphaSense, Cik Jeraldine Phneah, dan eksekutif komunikasi, Encik Jackson Au, juga dilihat di beberapa lawatan WP yang diadakan di kawasan undi tersebut.

Pengarah akaun Cik Jeraldine Phneah (kiri) dan peguam, Encik Fadli Fawzi (dua dari kiri), telah dilihat membuat lawatan rumah ke rumah di GRC Marine Parade.
Pengarah akaun Cik Jeraldine Phneah (kiri) dan peguam, Encik Fadli Fawzi (dua dari kiri), telah dilihat membuat lawatan rumah ke rumah di GRC Marine Parade. - Foto FACEBOOK FADLI FAWZI

Kesan perubahan sempadan

Susulan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac, sebahagian pengamat politik berkata beberapa parti lain mungkin akan bertanding di GRC Marine Parade-Bradell Heights yang baru dibentuk.

Daerah mengundi Joo Chiat, yang diterajui Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, dikeluarkan.

GRC baru itu menyerap SMC MacPherson dan juga beberapa bahagian SMC Mountbatten dan SMC Potong Pasir, di mana parti-parti tersebut turut aktif.

Ini memandangkan pelbagai kawasan undi yang dahulunya merupakan SMC, telah ditandingi parti pembangkang yang berbeza-beza seperti Parti Kuasa Rakyat (PPP) di SMC MacPherson dan Suara Rakyat (PV) di SMC Mountbatten.

Selain WP dan NSP, ada kemungkinan parti lain juga akan berminat bertanding di sana, kata Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Teo Kay Key.

“Belum tahu sama ada mereka semua akan berminat untuk bertanding, bagi membentuk pasukan yang lebih besar, atau sama ada parti yang lebih besar akan bertanding di sana. Kita harus tunggu Hari Penamaan Calon,” kata Dr Teo.

Penganalisis hal ehwal antarabangsa kanan di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, dan Profesor Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, punya pandangan berbeza dan berkata senario tersebut mungkin tidak akan berlaku.

Malah, mereka bersependapat bahawa GRC tersebut hanya akan melihat pertempuran hala antara PAP dengan WP sahaja.

“Saya jangkakan GRC tersebut akan menyaksikan pertarungan antara PAP dengan WP sahaja. Pihak ketiga yang bertanding mungkin akan hilang deposit pilihan rayanya,” kata Profesor Tan.

Marine Parade masih kubu PAP?

Siap bertanding pasukan PAP (dari kiri) Penolong Profesor di Kelompok Kesihatan dan Sains Kemasyarakatan Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Choo Pei Ling; Naib Presiden Kanan di Teneo, Cik Hazlina Abdul Halim; Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Anggota Parlimen SMC MacPherson, Cik Tin Pei Ling; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, sempat bertemu media dalam lawatan mereka di Marine Terrace Market di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Siap bertanding pasukan PAP (dari kiri) Penolong Profesor di Kelompok Kesihatan dan Sains Kemasyarakatan Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Choo Pei Ling; Naib Presiden Kanan di Teneo, Cik Hazlina Abdul Halim; Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Anggota Parlimen SMC MacPherson, Cik Tin Pei Ling; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, sempat bertemu media dalam lawatan mereka di Marine Terrace Market di GRC Marine Parade-Braddell Heights. - Foto ZAOBAO
Sebelum mengadakan lawatan ke Pasar dan Pusat Makanan Eunos Crescent pada 30 Mac, Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri), Dr Tan See Leng (tiga dari kanan), Cik Diana Pang (dua dari kanan) dan Encik Mohd Fahmi Aliman (kanan) bertemu media. Cik Pang (dua dari kanan) diperkenalkan sebagai muka baru yang berpotensi menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.
Sebelum mengadakan lawatan ke Pasar dan Pusat Makanan Eunos Crescent pada 30 Mac, Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri), Dr Tan See Leng (tiga dari kanan), Cik Diana Pang (dua dari kanan) dan Encik Mohd Fahmi Aliman (kanan) bertemu media. Cik Pang (dua dari kanan) diperkenalkan sebagai muka baru yang berpotensi menjadi calon dalam pilihan raya akan datang. - Foto ST

PAP telah menguasai GRC Marine Parade selama 37 tahun - sejak 1988 - apabila sistem GRC dibentuk.

Pasukan PAP di sana buat masa kini terdiri daripada Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.

Dr Choo Pei Ling, yang merupakan penolong profesor di Kluster Kesihatan dan Sains Kemasyarakatan Institut Teknologi Singapura (SIT), juga telah dilihat aktif di Marine Parade, di mana beliau turut berkhidmat sebagai penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee.

Pada 22 Mac, mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, turut diperkenalkan sebagai bakal calon baru PAP.

Seorang lagi wajah baru PAP, pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang, 51 tahun juga dilihat di kawasan itu baru-baru ini. Cik Pang pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Wanita Fengshan dan Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (WIN) Persatuan Rakyat (PA).

Pemerhati politik memberitahu BH kehadiran wajah-wajah baru itu boleh menandakan perubahan dalam pasukan PAP di sana. Tetapi akur, pasukan PAP di sana masih kuat walau anggotanya diubah.

Sebagai contoh, Zamil penyelidik kanan di IPS, Dr Faizal Yahya berkata perubahan kepada sempadan pilihan raya ini mungkin memberi petunjuk bahawa Encik Tong bakal berpindah ke tempat lain.

“Secara kolektif, parti penyandang di GRC Marine Parade-Braddell Heights adalah kuat walaupun Joo Chiat yang dipimpin oleh Menteri Edwin Tong berpindah ke GRC East Coast.

“Mereka mempunyai pemegang jawatan politik yang menangani pelbagai isu di peringkat nasional dan tempatan serta AP SMC yang mempunyai prestasi undian yang kukuh,” kata Dr Faizal.

Profesor Tan berkata kehilangan Joo Chiat tidak akan menjejas GRC tersebut. Ini disebabkan penambahan SMC MacPherson, yang merupakan kubu kuat PAP.

Malah, Dr Faizal berkata perubahan kepada sempadan pilihan raya baru-baru ini boleh dilihat sebagai “satu kelebihan untuk PAP” susulan penyerapan SMC MacPherson, dan sebahagian daripada SMC Mountbatten.

“Kemasukan Cik Tin Pei Ling dari SMC MacPherson ke dalam GRC Marine Parade-Braddell Heights menunjukkan PAP bakal mendapat sokongan mereka. Cik Tin memenangi 71.74 peratus undi pada GE2020.

“Begitu juga, kemasukan Encik Lim Biow Chuan dari SMC Mountbatten yang bakal menunjukkan peningkatan sokongan daripada pengundi untuk PAP. Encik Lim memenangi 73.82 peratus undi pada GE2020,” kata Dr Faizal.

Dr Teo berkata sebagai sebuah kawasan undi, keputusan GE lepas yang diraih di SMC MacPherson menunjukkan “sokongan yang baik untuk PAP”, dan oleh itu, MacPherson boleh membantu meningkatkan sokongan untuk PAP dalam GRC yang baru itu.

Memandangkan kawasan tersebut bakal menjadi “titik panas” GE2025 di mana parti-parti akan membangkitkan isu nasional dan masyarakat, Profesor Tan berkata WP mungkin meletakkan “pasukan terbaik”nya di GRC Marine Parade-Braddell Heights, dan bukannya di GRC East Coast

Aspirasi rakyat

Dalam pada itu, walaupun perubahan sempadan secara kasarnya dilihat meningkatkan peluang PAP untuk memenangi GRC tersebut, Dr Mustafa berkata ia juga mungkin menjadi pedang “bermata dua” untuk PAP.

“Ia boleh menjadi kelebihan disebabkan ia parti penyandang. Ia juga boleh jadi satu kelemahan disebabkan ketidakpastian pandangan penduduk yang dikaitkan dengan perubahan sempadan kawasan pilihan raya.

“Memandangkan penyandang AP daripada parti pemerintah mempunyai pemahaman yang baik mengenai kawasan di bawah jagaan mereka, faktor kebiasaan ini akan menjadi kelebihan penting untuk memenangi GRC Marine Parade-Braddell Heights,” kata Dr Mustafa.

Aspirasi penduduk di kawasan undi itu juga telah berubah, dengan sebahagian penduduk yang ditemui mahukan suara alternatif untuk memberi pilihan.

Antaranya ialah Encik Rahman Azhari, 25 tahun, yang tinggal di GRC Marine Parade sejak beliau dilahirkan. Beliau yang bakal mengundi di GE akan datang buat kali pertama berkata:

“Saya senang hati jika pasukan PAP terus berkhidmat di sini. Tapi, pada masa sama, saya juga ingin melihat parti alternatif yang bertanding supaya saya boleh mempertimbangkan perspektif lain dan membuat keputusan sebagai seorang pengundi GE kali pertama,” tambahnya.

Isu dekat di hati penduduk

Suri rumah Cik Siti Fadillah Mohamed Noor, 47 tahun, yang tinggal di sebuah flat 2-bilik di Eunos Crescent, mengharapkan aktiviti Jawatankuasa Penduduk yang lebih inklusif dan keselamatan yang lebih baik untuk penduduk yang tinggal di flat sewa.

“Eunos Crescent mempunyai kemudahan penting seperti Pusat Kesejahteraan Masyarakat dan Pusat Penuaan Aktif yang menyokong warga emas dengan penglibatan sosial, program kesihatan dan aktiviti rekreasi.

“Secara keseluruhan, saya puas hati tapi saya rasa kemudahan bebas halangan perlu dipertingkatkan seperti membaiki laluan pejalan kaki yang tidak rata untuk akses kerusi roda dan memasang jubin kurang licin untuk mengelakkan bahaya semasa cuaca hujan,” kata Cik Fadillah.

Beberapa penduduk lain berkata isu perbandaran seperti kebersihan dan peningkatan prasarana awam di estet perumahan matang itu menjadi tumpuan utama keprihatinan mereka.

Antara peningkatan estet yang disukai mereka ialah pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung, peluasan laluan pejalan kaki supaya boleh dikongsi dengan penunggang basikal dan pengguna kerusi roda dengan lebih selesa, serta pemasangan permukaan lantai yang kurang licin.

Kontroversi melibatkan mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan Jin yang meletak jawatan sebagai Speaker dan mengundur diri sebagai AP pada Julai 2023 selepas hubungan sulitnya dengan AP GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui didedahkan dikesali, tetapi tidak lagi bermain di minda, kata mereka.

Seorang penjaja, Cik Emilia Sulastri Emran, 30 tahun, yang tinggal di GRC Marine Parade sejak 2022, berkata isu itu tidak akan menjadi faktor penentuan apabila beliau keluar mengundi pada GE2025.

“Hakikatnya, setiap program dan rancangan pembangunan dalam Marine Parade masih diteruskan,” kata Cik Emilia, yang tinggal di Eunos Crescent bersama tujuh anggota keluarganya.

Dr Mustafa berkata: “Kes yang melibatkan bekas Speaker Encik Tan mempunyai jangka hayat dan tidak mungkin menjadi faktor penentu bagaimana penduduk di GRC Marine Parade-Braddell Heights akan mengundi.

“Memberi tumpuan kepada pengurusan dan kemudahan di estet, di samping memenuhi keperluan isi rumah berpendapatan rendah di kawasan undi - berkemungkinan besar PAP mendapat sokongan pengundi yang besar di GRC Marine Parade-Braddell Heights,” tambahnya.

Apa Kata Penganalisis

“Kemasukan Cik Tin Pei Ling dari SMC MacPherson ke dalam GRC Marine Parade-Braddell Heights menunjukkan PAP bakal mendapat sokongan mereka. Cik Tin memenangi 71.74 peratus undi pada GE2020. Begitu juga, kemasukan Encik Lim Biow Chuan dari SMC Mountbatten yang bakal menunjukkan peningkatan sokongan daripada pengundi untuk PAP. Encik Lim memenangi 73.82 peratus undi pada GE2020.”
Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya.
Apa Kata Penganalisis

“(Perubahan sempadan) boleh menjadi kelebihan disebabkan (PAP) parti penyandang. Ia juga boleh jadi satu kelemahan disebabkan ketidakpastian sentimen penduduk yang dikaitkan dengan perubahan sempadan kawasan pilihan raya. Memandangkan penyandang Anggota Parlimen (AP) daripada parti pemerintah mempunyai pemahaman yang baik mengenai kawasan di bawah jagaan mereka, faktor kebiasaan ini akan menjadi kelebihan penting untuk memenangi GRC Marine Parade-Braddell Heights,”
Penganalisis hal ehwal antarabangsa kanan di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin.
Apa Kata Penduduk

“Pada saya, (kes Tan Chuan-Jin) tidak memberi kesan kepada kami kerana ia tidak ada kena mengena dengan kami. Itu isu peribadi dia sendiri. Semua orang buat kesilapan. Ia bukan isu besar di sini. Hakikatnya, setiap program dan rancangan pembangunan dalam Marine Parade masih diteruskan,”
Penjaja, Cik Emilia Sulastri Emran, 30 tahun, yang tinggal di Marine Parade sejak 2022.
Apa Kata Penduduk

“Saya akan berpuas hati jika parti PAP yang sama berkhidmat di GRC ini memandangkan kerja baik yang telah mereka lakukan setakat ini. Namun, saya juga ingin melihat parti alternatif yang bertanding supaya saya boleh mempertimbangkan perspektif lain dan membuat keputusan termaklum sebagai seorang pengundi GE kali pertama,”
Pengundi kali pertama, Encik Rahman Azhari, 25 tahun, yang telah tinggal di GRC Marine Parade sejak beliau dilahirkan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg